|
KUALA LUMPUR 30 April — Semua tanggungjawab pengeluaran sijil Halal Malaysia yang sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini diserahkan kepada Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC).
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa penyerahan secara rasmi tugas itu kepada HDC dibuat di ibu pejabat JAKIM di Putrajaya pada 17 April lepas disaksikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Namun, katanya, soal keseragaman undang-undang halal dan semua persoalan mengenainya akan dilakukan dengan kerjasama JAKIM.
Wan Mohamad berkata semua 163 pegawai JAKIM yang bertanggungjawab mengendalikan ujian secara saintifik dan Islamik masih diberikan tugas untuk meneruskan kerja mereka walaupun selepas urusan itu diambil alih oleh HDC.
Katanya ini bagi memastikan garis panduan pensijilan halal akan tetap menggunakan kaedah yang selama ini diguna pakai oleh JAKIM.
“Dengan pengambilalihan tugas ini juga bermakna HDC turut bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal Malaysia termasuk bagi produk dari negara luar yang menggunakan logo JAKIM,” katanya.
Wan Mohamad berkata semua persoalan pembayaran untuk mendapatkan pensijilan dari peringkat antarabangsa juga akan diserahkan kepada HDC.
Semua pengiktrafan oleh negara OIC dan Bangsa-bangsa Bersatu terhadap sijil halal yang telah dikeluarkan JAKIM yang dahulunya ditadbir urus oleh JAKIM kini akan dilakukan oleh HDC yang berpangkalan di Cyberjaya.
HDC turut dipertanggungjawab untuk meningkatkan martabat serta penerimaan pensijilan halal Malauysia di peringkat dunia.
“Perubahan itu juga sekali gus mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan serta hub halal dunia,” katanya.
Wan Mohamad berkata beberapa syarikat pengeluaran makanan antarabangsa sudah memberikan omitmen untuk menggunakan logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM selama ini.
— BERNAMA
IKLAN@UTUSAN
|