VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA SUKAN

ARKIB : 26/04/2008

Bunyamin-Baddrol berguru dengan Ballack, Drogba


BAKAT besar Bunyamin Umar (kiri) dan Baddrol Bakhtiar dikenali sebagai `2B’ terus menyerlah selepas menimba ilmu dan pengalaman berlatih di Chelsea, baru-baru ini.


SATU peluang keemasan sekali seumur hidup yang menjanjikan masa depan yang lebih baik buat bola sepak negara dengan kehadiran Baddrol Bakhtiar dan Bunyamin Umar berlatih di kelab gergasi Liga Perdana England (EPL), Chelsea, baru-baru ini.

Sekalipun tempoh perguruannya cuma dua minggu, dua pemain belia negara ini sudah mengumpul setiap saat kesempatan berharga di akademi kelab Stamford Bridge itu untuk diterapkan semula ke arena bola sepak Malaysia.

Bukan calang-calang pemain berpeluang berlatih dua sesi dengan skuad utama The Blues yang melibatkan bintang handalan Didier Drogba dan Michael Ballack antara 6 hingga 21 April lalu tetapi Bunyamin dan Baddrol membuktikan tuah menyebelahi mereka.

Malah kebenaran Chelsea memberikan ruang bagi sesi latihan itu cukup mengejutkan apatah lagi ketika kesibukan The Blues membuat persediaan padat dalam menghadapi pusingan kalah mati Liga Juara-juara Eropah dan EPL yang tiba bersilih ganti setiap minggu.

Dua bakat baru UPB-MyTeam dan Kedah ini sekadar bertaraf Liga Malaysia namun jurulatih dan pegawai pasukan EPL itu melayani mereka dengan baik dan mesra malah diakui oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah yang kebetulan berada di London.

Lawatan tiga jam baginda ke kemudahan kelab kedua terhandal EPL di barat London itu, berlangsung ketika Bunyamin dan Baddrol menghabiskan kebanyakan masa dengan skuad simpanan dan belia di bawah bimbingan Brendan Rodgers yang berbangsa Ireland.

Kata Sultan Ahmad: “Malaysia berbesar hati dengan kesediaan Chelsea untuk menerima pemain Malaysia (Baddrol dan Bunyamin yang kedua-duanya berusia 20 tahun) berlatih bersama, untuk berkongsi pengalaman mereka yang lebih luas mengenai bola sepak England dan antarabangsa.”

Baddrol yang mengumpul hampir 10 gol daripada Liga Super, Piala FA dan Piala AFC musim ini dan Bunyamin, masing-masing pernah beraksi dalam kejohanan jemputan bawah 19 tahun antarabangsa - Piala Juara-juara Belia (CYC) di Malaysia, tahun lalu.

CYC yang mulanya dikritik hebat kerana kosnya yang dianggap keterlaluan dan membazir, terbukti membuka jalan mudah untuk pemain Malaysia menimba ilmu dengan barisan kelab handalan Eropah yang menyertainya, Ogos tahun lalu.

Sebelum itu, FAM dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan penganjur CYC, Gifted Group Limited turut menghantar Asraruddin Putra Omar (Selangor) dan Khairul Fahmi Che Mat (Harimau Muda) berlatih dengan kelab Belanda, PSV Eindhoven dari 16 hingga 24 November tahun lalu.

PSV juga merupakan salah satu daripada barisan kelab remaja handalan Eropah dalam CYC dan hanya mampu menewaskan Malaysia yang turut dibarisi Asraruddin dan Baddrol, 2-0 dalam persaingan peringkat Kumpulan D untuk mara ke suku akhir.

Namun pemilihan Bunyamin juga bukan dibuat sebarangan kerana anak jati Sik, Kedah ini pernah menjaringkan gol tunggal dengan sepakan jarak jauh dalam penampilan sulungnya dengan skuad negara yang tewas 4-1 kepada Bahrain dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia di Manama, Oktober lalu.

Mengenai latihan di Chelsea, kata Bunyamin, mereka tidak menghadapi masalah dengan keadaan cuaca dan cepat menyesuaikan diri tetapi cukup bertuah kerana menimba pengalaman yang berharga apabila diberi peluang berlatih dengan skuad utama bimbingan Avram Grant.

“Ballack (perantara Jerman) dan Drogba mempamerkan kesungguhan berlatih yang menepati taraf profesionalisme pemain antarabangsa. Mereka datang sejam lebih awal daripada yang dijadualkan. Drogba (penyerang dari Ivory Coast) kadangkala membuat latihan tambahan secara sukarela selepas sesi bersama pasukan,” katanya.

Menurut Baddrol, mereka tidak dibenarkan berlatih lebih giat dengan skuad berkenaan kerana dikhuatiri mengalami kecederaan tetapi sesi bersama pasukan belia dan simpanan Chelsea tetap ibarat satu peluang keemasan yang mungkin sukar diperoleh lagi sepanjang karier bola sepak.

“Kami belajar cara berfikir dan bertindak dengan pantas dalam corak yang agresif - satu suasana yang jauh berbeza dengan bola sepak Malaysia. Kami harap dapat menggunakannya balik apabila kembali ke liga dan mewakili negara,” kata sayap kiri Kedah itu.

Agak mengecewakan gandingan muda negara ini ialah mereka tidak dibenarkan bergambar buat tatapan dan kenang-kenangan peribadi dengan sesiapa sahaja bintang handalan Chelsea kerana telah menjadi dasar rasmi pengurusan kelab itu.

Namun persoalan peminat tanah air yang perlu dijawab oleh FAM, MSN atau Gifted selepas ini ialah apakah kesannya kepada bola sepak Malaysia dan bentuk langkah susulan untuk menempatkan mereka bermain dalam persaingan sebenar antarabangsa khususnya Eropah?

Naik atau turunkah bola sepak kita lagi selepas ini? Atau adakah penghantaran Bunyamin-Baddrol ini tidak lebih daripada hubungan muhibah semata-mata seperti mana sekian ramai bintang tempatan yang ke sana tetapi akhirnya kembali menyerlah di bawah tempurung Liga Malaysia sahaja.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.