VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 25/04/2008

Hadiah kambing jadi bisnes


Hamidon Tambih sering melawat dan memeriksa perkembangan ternakannya di Sungai Pelek, Sepang, Selangor.


BIDANG penternakan kambing ternyata memerlukan kesabaran yang tinggi selain diiringi minat dan pengalaman yang secukupnya sebelum terfikir untuk menceburinya.

Ramai berpendapat, penternakan kambing merupakan suatu projek yang mudah untuk diusahakan dan mampu meraih keuntungan dalam masa yang singkat.

Sehubungan itu, minat orang ramai terhadap bidang ini semakin mendapat sambutan hangat dan lokasi penternakan boleh dikatakan tumbuh seperti cendawan lepas hujan di negara ini.

Walaupun ini merupakan suatu tanda yang positif kepada perkembangan industri penternakan, namun terdapat golongan yang tidak mempunyai asas pengetahuan dan hanya menjadikan kejayaan pengusaha lain sebagai alasan untuk mencari keuntungan serta menceburinya.

Sehinggakan, ada individu yang sanggup mencagar aset peribadi bagi menceburkan diri dalam pengusahaan ternakan tersebut.

Risikonya jika menjadi pengusaha secara membabi buta ini boleh dikatakan amat tinggi. Ini kerana seseorang pengusaha itu perlu mengetahui selok-belok dunia penternakan sebelum melibatkan diri.

Ia penting bagi menjamin kestabilan pengusahaan yang berterusan dan tidak terhenti separuh jalan disebabkan faktor kerugian yang berpunca daripada tiada perancangan awal.

Bagi seorang penternak, Hamidon Tambih, 39, yang sudah berkecimpung dalam bidang penternakan sejak usia muda lagi, berdasarkan pengalamannya, boleh dikatakan ramai yang berminat untuk menceburi bidang tersebut dan berbelanja ratusan ribu ringgit bagi menceburinya tanpa mendapat pendedahan yang secukupnya.

“Kegelojohan golongan tersebut nyata memakan diri sendiri kerana melibatkan diri tanpa mempunyai pengetahuan asas dalam mengendalikannya. Boleh dikatakan hanya segelintir yang berjaya kekal dalam bidang tersebut.

“Saya bukan hendak menakut-nakutkan golongan yang berminat malah mengalu-alukannya, tetapi nasihat saya kepada umum, kesabaran merupakan elemen yang penting selain disematkan dengan minat bagi menjayakan diri dalam bidang ini,’’ katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di Sungai Pelek Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Beliau yang masih menyandang jawatan pengurus projek kanan di sebuah syarikat kontraktor ketika ditemui nyata tidak kedekut untuk berkongsi pengalamannya sejak mula melibatkan diri dengan dunia penternakan sehingga ke hari ini.

Semuanya bermula daripada bapanya yang mengusahakan ternakan lembu, secara tidak langsung minat untuk menjadi penternak sudah dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.

Tambah beliau, minat untuk menceburkan bidang penternakan kambing bermula selepas menerima hadiah anak kambing yang baru dilahirkan daripada hasil ternakan kambing secara kecil-kecilan.

Bermula dari detik itu, Hamidon berazam untuk memperluaskan bidang ternakan pada suatu hari kelak.

Lebih menarik, berkat simpanan wang saku semasa berada di zaman persekolahan, beliau memulakan ternakan secara kecilan dengan 15 ekor kambing.

Ekoran itu, beliau lebih suka meluangkan masa dengan kambing ternakannya daripada membazir masa dan melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Namun, dalam sibuk membantu bapanya dan menjaga ternakannya sendiri, pelajaran tetap diutamakan.

Berlandaskan disiplin diri yang tinggi dan pengurusan masa yang terancang beliau boleh juga dikatakan cemerlang dalam bidang akademiknya.

Justeru itu, selepas menamatkan zaman persekolahan, beliau mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Oleh yang demikian, beliau hanya berpeluang untuk menjaga kambing pada cuti semester.

Sementara beliau sibuk mengejar segulung ijazah, kesemua ternakannya dijaga dan diuruskan oleh bapanya.

Selepas menamatkan zaman universitinya pula, beliau telah mendapat tawaran bekerja yang memerlukan beliau berpindah ke Pulau Pinang.

Ini menyebabkan beliau tidak boleh memfokus terhadap bidang ternakan pada ketika itu, walaupun begitu, beliau masih tetap mahu meneruskan ternakan kambing walaupun terikat dengan pekerjaannya.

Kambing-kambing yang dibelanya hanya dijual kepada jiran-jiran dan kenalan untuk dijadikan sajian bagi majlis kenduri-kendara.

Pada ketika itu, beliau mengekalkan antara 20 dan 30 ekor kambing ternakan yang dibantu oleh bapanya.

Setelah projek di Pulau Pinang itu berjaya diselesaikan, beliau berpindah pulang dan mengambil keputusan untuk menternak kambing secara komersial.

Dalam pada itu juga, beliau bersama bapanya telah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi mengusahakan ternakan lembu dan beralih kepada ternakan kambing secara optimum.

Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti permintaan kambing lebih tinggi berbanding lembu masa kini serta kos pemakanan yang tinggi.

Kini, impian Hamidon menjadi kenyataan kerana beliau mempunyai 300 ekor kambing yang terdiri daripada jenis Boer, Jamnapari dan Saneen.

Kini, beliau bukan sahaja memelihara baka induk yang berkualiti, malah membekalkan daging, susu serta mempunyai rumah sembelih sendiri di ladang penternakannya.

Mempunyai sebidang tanah seluas 0.8 hektar (dua ekar) itu, beliau membina sebuah kandang yang dipecahkan kepada beberapa bahagian bagi mengasingkan kambing-kambing ternakannya itu.

Kandang yang dibina itu mampu menampung kapasiti sehingga 400 ekor kambing pada suatu masa.

Dalam pada itu, kandang yang hanya terletak di belakang rumah keluarganya itu dikelilingi kawasan ladang kelapa sawit dan ini sekali gus memudahkan proses meragut dilakukan oleh kambing ternakannya.

Ancaman penyakit

Tambah beliau, beliau membelanjakan sekitar RM3,000 sebulan bagi membeli palet yang termasuk dalam kos pemakanan ternakan.

Secara purata, dianggarkan kos pemakanan bagi seekor kambing adalah pada RM15 hingga ke RM20 sebulan.

Hamidon menambah, kambing-kambing beliau merupakan kambing yang diimport dari Australia dan Indonesia.

Beliau lebih cenderung untuk membela kambing jenis Boer, Jamnapari dan Saneen berbanding kambing Katjang (baka tempatan).

Ini adalah kerana saiz baka kambing tempatan adalah lebih kecil walaupun mempunyai diet pemakanan yang sama seperti kambing jenis Boer, Jamnapari dan Saneen.

Dari segi permasalahan pula, beliau menjelaskan kambing-kambing ternakannya perlu dijaga dengan teliti kerana sekiranya seekor kambing diserang ancaman penyakit seperti kurap, kambing tersebut perlu diasingkan dan dirawat sebelum ia menjangkiti kambing-kambing lain.

Jelasnya lagi, beliau pernah meminjamkan kambing jantan milik beliau kepada seorang pengusaha lain untuk tujuan baka.

Disebabkan pengusaha tersebut tidak menjaga kebersihan kandang ternakannya serta tidak mengambil berat aspek kesihatan ternakan, kambing baka yang dipinjamkan itu dijangkiti kurap.

Beliau amat kesal dan sedih apabila kambing tersebut dipulangkan.

Bagi mengatasi masalah tersebut, kambing tersebut disuntik dengan vaksin anticacing, Ivomax dan kemudiannya beliau menyapu minyak hitam pada bahagian yang dijangkiti.

Jangkitan kurap pada kulit kambing tersebut didapati tanggal selepas tempoh dua minggu dan selepas tempoh sebulan, bulu sudah mula tumbuh kembali

Kaedah ini dikatakan sangat efektif dan beliau turut memberitahu bahawa kos rawatan yang dibelanjakan hanya pada sekitar RM300 ke RM400 sebulan untuk seluruh ternakannya.

Pernah suatu ketika beliau mengalami pengalaman pahit apabila 40 ekor kambing ternakannya mati akibat serangan cirit-birit ekoran masalah banjir.

Keistimewaan penternak kambing ini ialah dia boleh mengenali setiap kambing ternakannya dari segi usia dan dari baka mana terhasil walaupun kesemua kambing tersebut kelihatan agak serupa.

Itu antara kelebihan beliau walaupun hanya mengunjungi ladang ternakannya pada hujung minggu kerana sibuk dengan urusan pejabatnya.

Beliau bersama-sama tiga orang pekerjanya membuktikan bahawa kesabaran perlu disematkan sekiranya ingin berjaya dalam bidang pengusahaan ternakan ini selain faktor minat dan pengetahuan asas yang secukupnya.

Bagi sesiapa yang berminat serta ingin mendapatkan khidmat nasihat boleh menghubungi Hamidon Tambih di talian 019-2304735.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.