|
KOTA KINABALU 21 April – Hampir 90 peratus daerah di seluruh Sabah mengalami gangguan bekalan elektrik bermula dari pukul 6.45 petang sehingga tengah malam ini.
Pengurus Komunikasi Korporat Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Cendramata Cinteh berkata, gangguan bekalan itu berpunca daripada kerosakan di stesen jana kuasa di Inanam dan Karambunai.
Dianggarkan kira-kira dua juta penduduk Sabah terjejas ekoran gangguan tersebut.
“Kerosakan di kedua-dua stesen itu telah mengakibatkan stesen jana kuasa terdekat di Sepanggar menerima kesannya.
“Seterusnya, ia mengakibatkan gangguan kepada sistem utama SESB sehingga menyebabkan gangguan bekalan kira-kira 500 megawatt dialami di hampir keseluruhan Sabah.
“Kawasan yang terkecuali daripada mengalami gangguan bekalan elektrik hanyalah Labuan serta pedalaman Ranau dan Telupid,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.
Cendramata berkata, kerja membaik pulih sudah dimulakan sejak pukul 7.30 malam.
Antara bandar utama terjejas ialah Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Sementara itu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor lewat malam ini berkata, sehingga pukul 10 malam tadi, hampir kesemua kawasan telah dapat dipulihkan.
‘‘Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan beliau mahukan Petronas membekalkan gas bagi menyokong stesen janakuasa terlibat,’’ katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|