Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 21/04/2008
Bencana alam - 10 kenderaan nyaris hanyut

Bencana alam - 10 kenderaan nyaris hanyut

MUAR 20 April – Sekurang- kurangnya 10 buah kenderaan termasuk kereta, lori dan van milik peniaga pasar malam di pekan Panchor di sini nyaris tercampak ke dalam Sungai Muar apabila tebingnya runtuh hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, semua kenderaan terlibat yang diletakkan di tebing sungai tersebut iaitu tujuh buah van, dua kereta serta sebuah lori kecil tergelongsor ke arah sungai dan tanahnya pula mendap hampir lima meter.

Tebing sepanjang kira-kira 100 meter itu dipercayai runtuh disebabkan pergerakan tanah di bahagian dasarnya yang tidak kukuh berikutan kerja-kerja menambak yang sedang giat dijalankan di kawasan itu sejak tiga bulan lalu.

Tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan kerana peniaga dan pengunjung pasar malam itu sempat menyelamatkan diri.

Salah seorang peniaga terlibat, Shamsul Bahrin Sati, 50, berkata, dia sedang berniaga apam balik di tapak pasar malam itu ketika tiba-tiba tanah di kawasan tersebut mendap.

"Beberapa minit sebelum kejadian, saya dapat merasakan pergerakan tanah dan tidak menyangka ia akan menyebabkan tebing kawasan itu akan runtuh.

“Sebaik sahaja ia berlaku, semua sempat menyelamatkan diri tetapi saya nampak 10 buah kenderaan termasuk van saya tergelongsor ke tebing sungai dalam tempoh lima hingga 10 minit,” katanya.

Berikutan kejadian itu, kenderaan-kenderaan terlibat mendap bersama runtuhan tanah, tetapi tidak dihanyutkan ke sungai kerana jarak antara tebing yang runtuh itu dengan sungai ialah kira-kira dua meter.

Kesemua kenderaan itu berjaya ditarik oleh kira-kira 50 penduduk kawasan pekan Panchor dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dalam tempoh setengah jam kemudian.

Sementara itu, salah seorang saksi, Nor Shamsul Shamsudin, 28, berkata, dia menerima panggilan daripada rakannya mengenai kejadian itu dan bergegas ke tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Saya nampak enam buah kenderaan masih berada di dasar tebing berdekatan sungai bersama-sama barangan yang dijual.

“Tebing itu runtuh secara mendadak dan saya mendapati beberapa peniaga yang tinggal di rumah kedai berdekatan sungai itu turut meninggalkan rumah mereka kerana terdapat kawasan yang retak,” katanya yang menetap di Pagoh.

Ketua Kampung Sungai Renggam, Bardan Ahmad Kastik, 62, berkata, dia berada di tempat kejadian kira-kira 15 minit sebelum kejadian.

Jalan untuk memasuki kawasan tanah runtuh itu, katanya, terpaksa ditutup manakala rumah kedai sudah dikosongkan kerana berlaku hakisan dan tanah mendap.

“Turut tumbang ialah sebatang tiang elektrik di kawasan pasar malam itu kerana kedudukannya berdekatan dengan sungai.

“Langkah berjaga-jaga turut diambil oleh pihak berkuasa termasuk polis, bomba dan penyelamat, serta JPA3 dan Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, semua kenderaan yang terlibat tidak dihanyutkan ke sungai dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN