VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 April 2014 / 16 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 20/04/2008

Tangani segera krisis makanan

Dunia kini berdepan dengan krisis makanan yang agak serius. Kebanyakan negara bukan sahaja sedang menghadapi kenaikan harga barangan makanan yang ketara berikutan peningkatan harga minyak mentah global, tetapi juga kekurangan bekalan makanan, kerana masalah cuaca dan bencana alam.

Krisis terbaru ialah kenaikan harga beras dunia berikutan kekurangan bekalan apabila Vietnam, pengeksport kedua terbesar dunia selepas Thailand menggantung eksport akibat pengeluaran padinya terjejas teruk kerana kemarau dan serangan serangga.

Harga beras dunia kini berada pada paras AS$1,000 (RM3,140) setan metrik berbanding AS$800 (RM2,512) setan metrik akhir tahun lalu. Para penganalisis menjangkakan harga beras dunia akan meningkat antara AS$1,200 (RM3,868) hingga AS$1,400 (RM4,396) setan metrik dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kesukaran memenuhi permintaan yang tinggi dan untuk meningkatkan pengeluaran dalam masa yang singkat.

Di rantau ASEAN, Filipina paling teruk terjejas apabila harga beras di republik itu telah meningkat 100 peratus sehingga menyebabkan berlaku demonstrasi jalanan membantah kenaikan harga komoditi tersebut. Di sesetengah negara, seperti Haiti, keadaan lebih buruk lagi apabila berlaku rusuhan sehingga menyebabkan lima orang terbunuh dan tercetus pergaduhan antara penjual dan pembeli, apabila pembeli berasa marah kerana penjual menjual beras stok lama pada harga yang tinggi.

Malahan Senat negara itu juga telah memecat Perdana Menterinya, Jacques Edouard Alexis pada Sabtu lalu, berikutan berlaku rusuhan berhari-hari berpunca daripada kos sara hidup yang tinggi di negara Carribean itu. Begitulah keadaannya, apabila perut sudah ‘kebulur’, manusia bisa ‘hilang akal’ lalu membuat perhitungan sendiri.

Malaysia tidak terkecuali mula merasai kesan kenaikan harga beras global, apabila harga beras di pasaran tempatan telah meningkat lebih 20 peratus, sejak Ahad lalu terutama harga beras import.

Jaminan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini bahawa harga beras tidak akan naik, nyata tidak ‘cukup kuat’ untuk menahan tekanan kenaikan harga beras dunia itu daripada melanda negara ini.

Ini kerana harga beras ditentukan oleh negara pengeluar dan pasaran dunia.

Kerajaan tidak dapat mengawal kenaikan harga beras import kerana ia bukan barang kawalan, menyebabkan ia dimanipulasi oleh pihak tertentu termasuk menaikkan harganya. Kerajaan hanya mempunyai kuasa mengawal harga beras tempatan yang mengandungi 15 peratus beras hancur.

Sebagai negara pengimport beras, Malaysia tidak dapat lari daripada berdepan dengan krisis tersebut kerana negara ini masih mengimport kira-kira 30 peratus daripada keperluan berasnya atau kira-kira 700,000 tan metrik setahun dari Thailand dan Vietnam.

Krisis makanan menjadi bertambah buruk apabila kenaikan harga minyak mentah dunia yang berterusan seperti roket sejak pertengahan tahun 2006 daripada kira-kira AS$48 setong sehingga melepasi AS$115 setong pada masa ini telah mengakibatkan berlaku kemelesetan ekonomi dunia, sehingga menyebabkan banyak negara menghadapi kadar inflasi yang tinggi dan harga barangan makanan meningkat mendadak.

Sebelum ini, negara juga telah mengalami kenaikan harga gula, tepung, minyak masak, ikan, daging dan harga ayam dan barangan makanan lain, termasuk bawang dan lada antara 20 hingga 30 peratus berikutan kenaikan harga minyak.

Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh kerajaan bagi mengawal kenaikan harga barangan tersebut, walaupun berkali-kali memberi jaminan dan amaran akan bertindak tegas menangani fenomena tersebut.

Mengekang

Pada umumnya, Malaysia ‘bernasib baik’ masih mampu mengekang kenaikan kadar inflasi secara konsisten kerana kedudukan ringgit yang kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), yang dapat menyerap kenaikan harga barangan terutama barangan makanan secara berkesan.

Pengukuhan nilai mata wang tempatan itu menyebabkan kos import barangan makanan dapat dipertahankan secara konsisten dan memperlahankan kenaikan inflasi dalam negara. Bagaimanapun, dalam jangka panjang negara tidak mampu mempertahankan kenaikan kadar inflasi berikutan kenaikan ketara harga barangan, kerana negara-negara pengeksport akhirnya terpaksa menaikkan harga barangan eksport, termasuk makanan bagi menampung kerugian yang dialami akibat kejatuhan nilai mata wang mereka.

Fenomena inilah yang telah berlaku di peringkat global apabila negara pengeskport barangan makanan seperti Thailand yang mengeksport beras, Australia dan Brazil (gula) dan tepung juga dari Australia, China, India dan AS terpaksa menaikkan harga barangan makanan tersebut bagi menampung kejatuhan nilai mata wang mereka.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Rabu lepas mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu pengukur pertumbuhan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 5.4 peratus pada pertengahan pertama tahun ini tetapi akan mula merosot kepada lima peratus pada pertengahan kedua 2008, kesan daripada kenaikan harga minyak dunia dan kemelesetan ekonomi di AS.

MIER juga menjangkakan Malaysia akan menghadapi kenaikan kadar inflasi, yang merupakan pengukur peningkatan harga barangan pengguna bagi setiap negara.

Bank Negara Malaysia meramalkan kadar inflasi negara pada tahun ini akan naik antara 2.5 peratus hingga tiga peratus berbanding dua peratus pada tahun lalu.

Kesan krisis makanan dunia dan kenaikan harga barangan makanan termasuk beras, gula, minyak masak, tepung, ikan, daging dan ayam serta barangan keperluan lain, termasuk gas dan petrol di negara ini jika tidak ditangani dengan segera dan bijaksana boleh mengancam keselamatan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pakar kepada Majlis Harga Negara (MHN), Datuk Dr. Kamal Salih berkata, masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan beras yang merupakan makanan asasi penduduk di negara ini jika dibiarkan boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau menyarankan MHN mengambil tindakan segera dan berkesan bagi meningkatkan keyakinan rakyat bahawa bekalan beras bukan sahaja mencukupi tetapi juga harganya dapat dipertahankan.

Dalam menghadapi krisis makanan sekarang, kerajaan disaran melaksanakan tiga langkah bagi menangani isu kenaikan harga barangan makanan termasuk harga beras iaitu langkah segera, jangka pendek dan langkah jangka panjang.

Katanya, langkah segera ialah dengan menubuhkan stok penimbal kebangsaan bagi barangan makanan utama termasuk beras.

Ini kerana pada masa ini, selain, kenaikan harga beras dalam pasaran tempatan, negara juga berdepan dengan kekurangan beras sehingga ‘kantung’ simpanan Bernas hampir ‘kontang’.

Stok simpanan beras Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) berjumlah 600,000 tan metrik dan hanya mampu bertahan dalam tempoh tiga bulan.

Kamal berkata, stok simpanan beras negara untuk tujuan pengedaran perlu dikaji semula dari sebulan kepada tiga bulan.

‘‘Langkah itu penting bagi membolehkan negara menyediakan bekalan beras yang mencukupi bagi keperluan negara semasa menghadapi keadaan kecemasan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, jawatankuasa penasihat mencadangkan, MHN menimbangkan untuk menubuhkan stok penimbal beras negara bagi memastikan bekalan beras negara mencukupi pada bila-bila masa.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu serius meningkatkan penguatkuasaan untuk mengelakkan kenaikan harga beras dan barangan makanan yang lain, termasuk membanteras kegiatan menyorok barangan makanan dan penyeludupan.

Dalam situasi sekarang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu bertindak tegas terhadap peniaga-peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan makanan termasuk beras atau menyorok barangan makanan.

Pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dengan golongan yang sengaja menaikkan harga barangan, menyorok dan menyeludup barangan makanan termasuk beras, demi keselamatan negara. Pengguna di negara ini menaruh harapan besar kepada MHN dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar dapat melindungi kepentingan mereka.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Syed Omar Syed Rastan berkata, bagi langkah jangka pendek, kerajaan menggalakkan petani menggunakan teknologi baru, benih bermutu serta sistem pembajaan yang betul bagi meningkat pengeluaran padi tempatan.

Katanya, memandangkan kawasan tanah sawah yang terhad di negara ini, penggunaan tanah sawah yang sedia ada perlu dioptimumkan bagi meningkatkan pengeluaran padi. Pada masa ini Population Carrying Capacity (PCC) (Muatan Membawa Populasi) bagi satu hektar tanah bendang hanya boleh menampung keperluan beras untuk 24 orang penduduk.

‘‘Jika kita hendak mencapai sasaran pengeluaran padi sebanyak 90 peratus bagi keperluan negara, kita perlu meningkatkan pengeluaran PCC beras sebanyak dua kali ganda sehektar supaya dapat menampung keperluan untuk 48 orang,’’ katanya.

Teknologi

Langkah ini hanya boleh dilakukan dengan menggunakan teknologi yang tinggi, pengurusan air yang baik, benih yang bermutu dan sistem pembajaan yang betul serta petani-petani yang mahir.

‘‘Pemindahan teknologi dan pengembangan dalam penanaman padi perlu berlaku secara efektif bukan sahaja melibatkan petani tetapi juga pegawai-pegawai pertanian,’’ tambah beliau.

Pada masa ini, kawasan penanaman padi di negara ini adalah seluas kira-kira 650,000 hektar dengan pengeluaran kira-kira dua juta tan metrik setahun, hanya mencukupi menampung 73 peratus keperluan 27 juta penduduk Malaysia, katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu membenarkan harga padi tempatan dinaikkan.

Ini akan menggalakkan kira-kira 80,000 petani padi di negara ini untuk menceburi sektor tersebut secara lebih serius, selain dapat meningkatkan pendapatan mereka dan meringankan beban dari segi kos kenaikan baja, katanya.

Pada masa ini, kerajaan membayar harga padi kepada petani tempatan sebanyak RM720 bagi setiap tan metrik sehektar dan subsidi RM248 bagi satu tan metrik sehektar. Sedangkan harga beras di pasaran tempatan mencecah RM2,100 setan metrik, manakala harga beras di pasaran antarabangsa pula telah mencecah RM2,700 setan metrik.

Sebagai langkah jangka panjang pula, katanya, kerajaan perlu membuka kawasan jelapang padi yang baru untuk meningkatkan pengeluaran beras bagi menampung keperluan beras penduduk Malaysia yang semakin meningkat.

Sehubungan itu, cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya Sarawak menjadi negeri jelapang padi baru bagi negara adalah langkah yang ke hadapan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.