Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
HIBURAN

ARKIB : 18/04/2008
Ke mana arah tuju Anugerah Planet Muzik?

Ke mana arah tuju Anugerah Planet Muzik?

MISI utama penganjuran Anugerah Planet Muzik (APM) hanya satu iaitu memartabatkan muzik nusantara ke peringkat global selain membuktikan muzik Melayu juga mampu berdiri setanding dengan muzik antarabangsa.

Sejak kali pertama APM dianjurkan pada tahun 2001 di Singapura, saban tahun acara muzik itu tidak terlepas diheret ke kancah kontroversi.

Bukan saja dengan perjalanan anugerah yang dikatakan semakin lama semakin membosankan serta tiada perubahan, malah pemilihan pemenang dan senarai pencalonan juga ada kalanya dipertikaikan sehingga ada yang mengatakan penganjuran APM sekadar melahirkan jaguh kampung sahaja.

Tahun demi tahun, ramai yang sudah mula meragui kredibiliti APM sehingga timbul pertikaian ke mana arah tuju APM dalam memberi ruang kepada artis dari Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk menembusi pasaran muzik negara masing-masing.

Sebagai contoh, isu artis Indonesia yang mudah menerobos pasaran Malaysia sudah lama dipertikaikan dan menjadi bahan perbualan hangat sehingga ada artis tempatan yang berasakan sudah tiba masanya pihak-pihak tertentu membuat sesuatu dalam mengurangkan kebanjiran artis Indonesia ini.

Lalu, menerusi penganjuran APM itu sendiri, ramai yang berpendapat, ia platform yang cukup berpengaruh untuk membawa karya artis Malaysia menembusi pasaran muzik Indonesia.

Namun, entah di mana silapnya, tidak ramai artis kita yang berjaya menembusi negara bekas jajahan Belanda itu terutama sekali mereka yang pernah menggenggam trofi APM yang dikatakan sungguh berprestij itu.

Tidak baguskah muzik kita sehingga tidak mampu untuk diterima masuk ke sana?

Adakah dengan kemenangan mereka di APM tidak membawa sebarang erti kepada pemerhati muzik negara serumpun?

Atau APM lebih kepada pengagihan anugerah kepada artis tiga negara serumpun ini dalam menyedapkan hati mereka yang bertanding?

Nama-nama seperti Vince, Dia Fadila, Nikki, Noryn Aziz, Jaclyn Victor dan Sarah Raisuddin (sekadar menyebut beberapa nama), semuanya pernah merangkul gelaran terbaik di APM tetapi dilihat tiada langsung usaha untuk membawa mereka ini ke peringkat lebih jauh.

Menjawab kesemua persoalan ini, Pengarah Urusan Beyond DDB Malaysia, Amin Hussen mempunyai pandangannya tersendiri.

“Saya sendiri tidak faham mengapa isu atau persoalan sebegini sering kali timbul. Kalau mereka bertanyakan soalan ini kepada saya di awal penganjuran APM, bolehlah saya memberikan jawapannya.

“Tahun ini, APM sudah memasuki tahun kelapan dan masih ada lagi yang membangkitkan isu pencalonan akhir yang diumumkan baru-baru ini. Sudah saya jelaskan sebelum ini, kesemuanya diadili oleh sembilan juri profesional mewakili tiga negara serantau.

“Malah, sebelum menjadi juri pun, kami sudah mengingatkan mereka agar ‘lucutkan’ warganegara masing-masing dan adili dengan hati serta minda yang terbuka.

“Apa yang membuat kami bangga sebenarnya adalah APM mendapat sokongan yang padu daripada anak tempatan sendiri baik dari syarikat rakaman hinggalah ke artis itu sendiri.

“Ini kerana mereka tahu bahawa APM merupakan platform untuk mereka memperkenalkan bakat serta karya mereka kepada pemerhati muzik dari Indonesia dan juga Singapura.

“Menerusi APM jugalah, kami dapat membantu anak tempatan menjual bakat mereka kepada orang luar,” katanya pada satu pertemuan dengan Hits, baru-baru ini.

Tambahnya, semua pencalonan yang diterima setiap tahun untuk semua kategori dipandang secara positif dan langsung tidak terbit soal prejudis dalam memilih artis-artis untuk dipertandingkan.

Namun begitu, tambah Amin, soal menembusi pasaran Indonesia misalnya, di luar bidang kuasa pihaknya kerana semuanya bergantung kepada usaha artis dan syarikat rakaman itu sendiri untuk membawa muzik mereka lebih jauh lagi.

“Mungkin mereka fikir dengan penganjuran APM, peluang mereka untuk menembusi pasaran luar lebih luas tetapi mereka tidak sedar ia melibatkan banyak perkara yang bukan mudah sebenarnya untuk dilakukan,” ujarnya.

Jika diperhalusi satu demi satu catatan kejayaan industri muzik tanah air, barangkali, ada kebenarannya.

Sepanjang lapan tahun diadakan, bukannya sedikit pendedahan terhadap artis Malaysia yang diberikan tetapi sebaliknya cukup meluas.

Malah, artis-artis yang diberi peluang membuat persembahan di APM juga bukan calang-calang kerana kesemuanya hadir dalam pakej serta membawa jalur muzik yang berbeza.

Setidak-tidaknya ia mampu membuka mata mereka yang hadir bahawa Malaysia juga sebenarnya tidak ketandusan penyanyi yang berbakat serta mampu untuk dibawa jauh dari gelanggang tempatan.

Persoalan utama yang sering timbul ialah bagaimana muzik Indonesia saban tahun mendominasi hampir keseluruhan kategori di APM sehingga ada yang mendakwa muzik kita ketinggalan serta tidak mampu bersaing dengan hebat.

Saban tahun juga, kita hanya akan mendominasi kategori popular sahaja. Kategori utama seperti Album Terbaik dan Lagu Terbaik semuanya menyaksikan pemenang dari Indonesia.

Kekecewaan

Cuma untuk tahun lalu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sedikit sebanyak berjaya menebus kekecewaan apabila menjadi artis Malaysia pertama memenangi kategori Lagu Terbaik menerusi lagu Biarlah Rahsia meskipun albumnya, Transkripsi yang dikatakan album terbaiknya setakat ini gagal dinobatkan sebagai Album Terbaik dan tewas di tangan kumpulan Samsons yang mempertaruhkan album Naluri Lelaki.

Adalah tidak adil sebenarnya untuk kita menuding jari kepada satu pihak juga kerana APM merupakan sebuah pentas untuk kita sama-sama menikmati alunan dan mendalami muzik nusantara.

APM juga sepatutnya menjadi medan untuk anak tempatan membuka anak tempatan untuk menghasilkan karya yang lebih baik serta belajar mengenai muzik yang dipersembahkan oleh negara serumpun yang lain demi kemajuan industri muzik kita juga.

Usah dipersoalkan tentang fenomena muat turun mahupun penjualan album yang tidak membanggakan kerana semua harus terima hakikat itu adalah trend terkini yang perlu dipandang secara positif.

Apa yang perlu dilakukan adalah untuk memperbaiki diri kita serta berani mencari perubahan dalam membangunkan semula muzik Malaysia.

Adakah kita mahu terus ditertawakan dalam diam setiap kali berlangsungnya APM yang menyaksikan kita gagal meraih kategori terbaik melainkan hanya gah dengan gelaran populariti sahaja?

Perkara ini yang perlu kita pandang secara positif dan apa yang kita lihat kini, kebangkitan serta populariti lagu-lagu independen mula mendaki carta dan diminati ramai.

Bukan untuk meniru tetapi formula pembaharuan itu perlu dicari dalam muzik tempatan. Satu ketika dahulu, muzik kita cukup diagungkan di Indonesia sehinggakan ada yang menganggap muzik Malaysia jauh lebih ke hadapan berbanding muzik mereka waktu itu.

APM juga tidak terlepas menjadi mangsa pertanyaan ramai pihak apabila nama-nama pencalonan yang ada kalanya membariskan nama-nama yang langsung tidak pernah didengar di Malaysia.

Menurut Amin, perkara itu juga di luar bidang kuasanya kerana semuanya berdasarkan kepada senarai yang dihantar oleh syarikat rakaman serta stesen-stesen radio untuk kategori popular.

“Perkara ini tidak besar mana pun dan saya melihatnya adalah sebagai satu yang normal. Jika ada nama artis yang tidak kita kenali dan tidak pernah langsung mendengarkan namanya, itu adalah kerana nama-nama itu popular di negara mereka.

“Begitu juga sebaliknya dengan artis kita. Mungkin nama Siti Nurhaliza sudah biasa didengari tetapi nama lain mungkin agak kekok pada pendengaran mereka.

“Saya mengambil contoh kumpulan Vagetoz yang berjaya dicalonkan untuk Kumpulan Paling Popular. Ada yang bertanya kepada saya siapa kumpulan tersebut dan bagaimana nama yang tidak dikenali itu memasuki senarai akhir sedangkan mereka merupakan nama besar di Indonesia,” ujarnya merungkai persoalan yang sering menjadi mainan media dan peminat hiburan.

Dan Ahad ini, (20 April) bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sekali lagi akan menyaksikan nama-nama besar serta popular seperti Kris Dayanti, Gigi, Dewa 19, Kerispatih, Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Anuar Zain, Mila, Aliff Aziz dan Gita Gutawa yang bertanding di gelanggang APM.

Acara itu sangat penting untuk mencari jalan penyelesaian memartabatkan muzik nusantara menerusi pentas APM.

Namun di sebalik itu, apa yang dapat dilihat adalah menerusi penganjuran APM ini ia dapat menggabungkan tiga negara serumpun ini untuk sama-sama memeriahkan satu-satunya acara anugerah yang mengiktiraf hasil karya muzik serantau.

Mungkin pada masa akan datang adalah lebih baik dan bernas seandainya diadakan forum mahupun persidangan di kalangan pemuzik, artis, wakil syarikat rakaman mahupun yang terlibat secara langsung atau tidak dalam industri muzik untuk mencari jalan untuk terus mengangkat muzik nusantara ke peringkat lebih tinggi.

Setidak-tidaknya, semua masalah, kelemahan serta kekurangan boleh diperbaiki dan mencari formula untuk menjadikan muzik nusantara lebih baik dan berkualiti dan tidak hanya menganjurkan acara anugerah dan berhibur selama dua jam.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN