VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 September 2014 / 24 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 12/04/2008

Krisis makanan global


seorang wanita mendukung anaknya sambil melaungkan slogan semasa tunjuk perasaan di hadapan Jabatan Pertanian di bandar Quezon, Manila pada 27 Mac lalu ekoran krisis bekalan beras yang semakin meruncing di Filipina. AFP


AWAL 2008 bermula dengan krisis makanan yang agak membimbangkan apabila pengeluaran beberapa jenis tanaman kontan seperti beras, gandum dan jagung susut mendadak di negara-negara pengeluar utama.

Bagai yang diramal oleh kebanyakan pemerhati di seluruh dunia, kegawatan krisis makanan itu tidak menunggu masa yang lama untuk meledakkan kebimbangan global.

Kesannya semakin dirasakan kini apabila kebanyakan negara berdepan dengan krisis kekurangan bekalan makanan utama yang serius dengan penyusutan yang disifatkan terburuk sejak 1980.

Di Asia termasuk Malaysia, benua ini meskipun merupakan negara pengeluar beras terbesar dunia, namun tidak dapat mengelak daripada kekurangan bekalan waima untuk kegunaan domestik.

Indonesia pula, mula bergelut dengan kenaikan harga barang seperti gula, gandum dan minyak masak sejak awal tahun ini lagi dan rakyatnya masih merasai tekanannya sehingga ke hari ini.

Begitu juga dengan Filipina dan Thailand yang semakin kekurangan beras memaksa kerajaan negara itu mengeluarkan stok simpanan beras negara untuk diagihkan kepada penduduk.

Krisis makanan ruji yang semakin menyusut dan mahal terutamanya beras dan gandum ini membimbangkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mengenai kemungkinan akan berlakunya lebih banyak rusuhan terutamanya di negara-negara miskin.

Ketika ini, bekalan makanan yang berkurangan menyebabkan rakyat di Haiti, Cameroon, Mesir, Argentina dan Burkina Faso merusuh dan FAO meramalkan situasi sama bakal menular di lebih banyak negara lain.

Ia berdasarkan laporan Bank Dunia yang meramalkan 33 buah negara bermula dari Mexico sehinggalah ke Yemen turut mengalami tekanan daripada kenaikan berterusan harga makanan dan minyak.

Negara-negara kaya di rantau Arab juga tidak terlepas daripada krisis kenaikan harga barangan keperluan terutamanya harga gandum yang naik dua kali ganda sejak enam bulan terakhir.

Di Yemen iaitu negara paling miskin di rantau itu, harga beras, minyak masak dan makanan meningkat sehingga 20 peratus dalam dua bulan kebelakangan ini.

Namun apa yang paling membimbangkan Program Makanan Dunia (WFP) ialah kenaikan harga barangan berterusan akan memberi kesan kepada kira-kira empat juta pelarian rakyat Mesir, Iraq, Yemen dan Palestin yang dibantu oleh organisasi berkenaan.

Menghentikan

Mesir pula dalam reaksi kenaikan harga beras berterusan turut menghentikan eksport beras mereka bermula awal bulan ini hingga Oktober depan bagi memastikan harga bekalan makanan itu kekal murah di pasaran domestik.

Peningkatan harga barang ini seperti dipersetujui oleh kebanyakan masyarakat dunia adalah kesan daripada lemahnya ekonomi dunia berikutan kenaikan berterusan harga minyak mentah.

Ketika ini, minyak mentah mencecah AS$110.87 (RM349.24) setong dan dijangka bakal mencecah harga tertinggi dalam sejarah iaitu sehingga AS$118 (RM371.7) setong sehingga akhir bulan ini.

Kenaikan harga tepung yang disifatkan tertinggi dalam tempoh 26 tahun juga dikaitkan dengan perubahan iklim kesan daripada pemanasan global yang mula dirasai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beberapa wilayah tanaman gandum di Kanada dikatakan kering-kontang dan tidak lagi sesuai untuk tanaman manakala ladang sedia ada pula musnah akibat kekeringan melampau.

Cuaca yang tidak menentu juga memberi kesan kepada negara pengeluar tepung utama lain termasuk Amerika Syarikat, negara-negara Eropah, India dan Australia.

Peningkatan mendadak harga gandum dan beras selain pengeluaran yang terhad turut dikaitkan dengan permintaan yang sangat tinggi di China dan India, dua buah negara yang ekonominya berkembang sangat pantas ketika ini.

Dengan kadar pertumbuhan dalam negara kasar (GDP) sekitar lapan hingga 10 peratus, rakyat China dan India kini menjalani kehidupan yang mewah sekali gus meningkatkan permintaan beras dan gandum untuk kegunaan domestik.

Krisis kekurangan bekalan makanan terutamanya bijirin seperti gandum, jagung dan soya semakin menghimpit negara miskin apabila negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia sanggup membeli dengan harga yang tinggi untuk tujuan penyelidikan biofuel bagi menggantikan minyak mentah yang semakin mahal.

Jelaslah, kenaikan harga barangan kini sudah menjadi isu global dan Malaysia pastinya tidak boleh mengelak daripada turut menerima kesan yang sama.

Sebagai pengguna dengan kuasa yang sangat terhad dalam mengawal dan menentukan harga barangan keperluan di pasaran, harapan kini pastinya diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk menyekat kenaikan harga secara berterusan dan melampau.

Selain faktor global, kenaikan harga barang diburukkan lagi dengan isu domestik terutamanya yang dicetuskan oleh pembekal yang dengan sengaja mengambil kesempatan menyorok barangan keperluan.

Keadaan ini menyebabkan barangan keperluan seperti gula dan beras berkurangan dan mendapat permintaan yang sangat tinggi sekali gus memberi peluang kepada peniaga untuk menaikkan harga sesuka hati.

Sebagai langkah penyelesaian segera, kerajaan boleh mendepani situasi itu dengan mengimport barangan yang kononnya didakwa berkurangan oleh pembekal dalam kuantiti yang lebih besar.

Namun, ia bukanlah penyelesaian jangka masa panjang kerana selain memberikan kuasa kepada pembekal untuk menentukan harga barangan di pasaran, kerajaan juga menanggung kerugian apabila terpaksa mengimport dalam kuantiti yang tinggi.

Malaysia barangkali boleh mengelak daripada ketidaktentuan harga beras dengan meningkatkan produktiviti tanaman ini di negeri-negeri pengeluar utama seperti Kedah dan Sarawak.

Krisis kekurangan tepung pula boleh diatasi dengan Malaysia membuka ladang tanaman gandum sendiri di lokasi-lokasi yang dikenal pasti berpotensi dan sesuai dengan tanaman tersebut.

Perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil melihat kepada percubaan Indonesia pada 2000 yang mengimport teknologi India untuk membangunkan sektor tanaman gandum di negara berkenaan.

Hasilnya, Indonesia kini menyertai senarai negara pengimport gandum utama dunia selain berjaya mengekang krisis kenaikan harga tepung yang sering berlaku sebelumnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.