Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 08/04/2008
Bersara bila tiba masa -Tetapi tidak akan berhenti dalam keadaan politik sekarang – PM

Bersara bila tiba masa -Tetapi tidak akan berhenti dalam keadaan politik sekarang – PM


KESYUKURAN...Abdullah Ahmad Badawi bersama pemimpin-pemimpin parti komponen BN Sabah semasa majlis kesyukuran dan makan malam BN Sabah di Kota Kinabalu malam tadi. Pada siang Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti komponen BN tersebut.


KOTA KINABALU 7 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau sedia melepaskan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya kini apabila tiba masanya.

Katanya, beliau tidak akan pegang jawatan itu lebih lama daripada yang sepatutnya dan akan menyerahkan kepada pengganti apabila tiba masa yang sesuai.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, pada masa ini beliau masih mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan terhadap negara selain memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan stabil.

“Saya tidak akan memegang jawatan bertahun-tahun lamanya. Sudah tentu tidak. Saya tidak akan memegang jawatan lebih lama daripada yang sepatutnya.

“Saya akan bersara satu hari nanti tetapi saya tidak akan berhenti dalam keadaan politik sekarang.

“Saya tidak boleh berhenti pada ketika parti dalam keadaan begini. Saya tidak boleh berhenti pada ketika kami sedang menyiapkan pelaksanaan projek pembangunan. Kami telah pun berjanji kepada rakyat. Kami akan melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti komponen BN Sabah di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau ada memikirkan tarikh untuk bersara selepas menamakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

Semalam, Abdullah berkata Najib adalah penggantinya sebagai Presiden Umno dan antara mereka tidak pernah ada masalah.

Abdullah turut meminta mana-mana pihak supaya tidak mempertikaikan kenyataannya bahawa Najib suatu masa nanti akan mengambil alih tempatnya.

“Pada masa ini kita perlu laksanakan secara lebih agresif pembangunan, kita perlu buktikan dan tunaikan kepada rakyat, ada benda yang kita telah janjikan.

“Datuk (Seri) Najib lebih faham daripada apa yang kamu faham,'' katanya.

Perdana Menteri, turut menafikan dakwaan bahawa beliau enggan bertanggungjawab di atas kemerosotan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Katanya, beliau telah membuat pengakuan mengenai kekurangan dan kelemahan di bawah kepimpinannya yang menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dengan BN pada Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO, semalam.

“Saya dah buat kenyataan seperti ini beberapa kali dan saya rasa bertanggungjawab, kerana saya tahu ada juga kesalahan dan kekurangan daripada saya sebagai ketua parti dalam banyak perkara khususnya berkaitan pelaksanaan program yang dijanjikan dalam manifesto dahulu,” katanya.

Beliau berkata, semua itu adalah bagi memenuhi keperluan dan tuntutan rakyat selain menunaikan janji manifesto pilihan raya BN.

Tambah beliau, pada masa sama sebahagian besar rakyat sedar bahawa kerajaan BN telah melakukan pelbagai perubahan seperti menambah baik pasukan polis dan usaha membasmi rasuah tetapi mungkin semua itu masih belum memadai.

Berikutan itu katanya, rakyat masih lagi memberi kepercayaan kepada kerajaan BN untuk memerintah agar pelbagai tindakan yang telah dilaksanakan sebelum ini terus diperbaiki dan dipertingkatkan keberkesanannya.

“Maka sebab itu dalam pilihan raya ini mereka masih memberi sokongan untuk membolehkan saya meneruskan apa yang belum selesai dan apa yang belum elok, belum cukup.

“Mereka juga beri mandat yang diperoleh itu bukan teruk sangat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang hanya perlukan lapan kerusi sahaja lagi untuk cukup dua pertiga majoriti.

“Sebab kemerosotan undi memang benar berlaku dan ini bukan sesuatu untuk saya kata tidak mahu bertanggungjawab langsung, (seolah-olah) bukan saya, orang lain bersalah,” tegasnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN