|
KUALA LUMPUR 1 April – Semua pemimpin UMNO diminta menghentikan segera perbincangan isu kuota bagi pemilihan Majlis Tertinggi (MT) sebaliknya memberi keutamaan terhadap usaha memulihkan masa depan parti itu.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polemik kuota pemilihan MT itu hanyalah satu proses dalam UMNO dan isu itu tidak harus dibincangkan dalam tempoh yang panjang.
Menurut beliau, masalah utama UMNO sekarang bukanlah isu kuota tetapi yang lebih penting adalah mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada parti tersebut.
‘‘Isu kuota hanya isu kecil dalam parti berbanding tanggungjawab besar yang perlu dimainkan oleh pemimpin UMNO untuk mengekalkan kedudukan UMNO sebagai sebuah parti yang dihormati dan diyakini rakyat,’’ katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan pertama di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.
Jelas beliau, pemimpin UMNO sepatutnya segera turun padang untuk menemui akar umbi termasuk di negeri-negeri yang ditawan pembangkang bagi memberi suntikan semangat baru supaya mereka tidak terasa diabaikan oleh parti.
Muhyiddin berkata, beliau menerima banyak maklum balas daripada pelbagai peringkat yang bertanyakan apakah tindakan UMNO untuk memulihkan parti selepas pilihan raya.
‘‘Saya tidak nafikan sepatutnya pada masa sekarang semua pemimpin termasuk saya perlu turun padang untuk pulihkan parti tetapi ramai masih belum lakukannya.
‘‘Memang banyak perkara yang perlu kita selesaikan terutama dalam isu kedudukan sistem pentadbiran yang mana seperti status pegawai daerah dan ketua-ketua kampung yang dilantik semasa pentadbiran kerajaan BN,’’ tambahnya.
Menurutnya, jadi dalam keadaan sekarang perkara utama yang perlu segera ialah turun padang dan menggerakkan semula UMNO dan pastikan ia masih sebuah parti paling efektif dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.
Beliau berkata, langkah itu telah dimulakan oleh parti-parti komponen BN dan UMNO juga perlu segera melakukan demikian supaya dapat mengukuhkan hubungan kerja sesama parti dengan lebih mantap.
Tegas beliau, BN tidak akan menjadi sebuah parti yang kuat sekiranya UMNO lemah dan UMNO juga akan menjadi lemah jika parti-parti komponen lain tidak kukuh.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|