|
![]() |
|
SIAPA pilihan BAM? Sama ada (putaran jam) Tan Chun Seang, Sairol Amar Ayob, Yeoh Kay Bin, Lee Tsuen Seng, Mohd. Arif Abdul Latif atau Mohd. Roslin Hashim? |
KUALA LUMPUR – Kesilapan dua tahun lalu dijangka mendorong Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk hanya memilih yang berpengalaman bagi mengisi kuota perseorangan keempat ke Piala Thomas di Jakarta, bulan depan.
Dan melihat kepada situasi terkini, BAM dijangka menggunakan opsyen empat perseorangan dan enam pemain beregu untuk membawa cabaran Malaysia pada kejohanan 11-18 Mei itu.
Ia merupakan opsyen yang sama digunakan pada Piala Thomas 2006 di Jepun kerana kekuatan beregu dianggap lebih baik berbanding perseorangan.
Bagaimanapun opsyen tersebut mengundang masalah ketika itu apabila Wong Choong Hann mengalami kecederaan di suku akhir dan Kuan Beng Hong yang disenaraikan sebagai perseorangan keempat tidak mampu mengambil alih tugas dengan baik.
Beng Hong mempamer aksi gemuruh ketika bertindak sebagai perseorangan ketiga dalam permainan penentuan menentang Denmark di separuh akhir dan kalah kepada pemain tidak ternama, Joachim Persson, sekali gus menyumbang kepada kekalahan 2-3 Malaysia.
Ketua jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock mengakui, Malaysia perlu menurunkan pemain berkualiti dan berpengalaman sebagai perseorangan keempat jika BAM hanya menyenaraikan empat perseorangan.
Bagaimanapun persoalannya, siapa paling layak untuk mengisi kedudukan itu pada ketika prestasi yang ditunjukkan kebanyakan pemain perseorangan, kecuali Lee Chong Wei tidak meyakinkan akhir-akhir ini.
“Kami tidak lupa dengan apa yang berlaku di Jepun dua tahun lalu dan pengalaman itu akan dijadikan panduan dalam memilih pemain kali ini sebab itulah hanya yang terbaik dan berpengalaman akan menjadi perseorangan keempat.
“Dulu kita boleh dianggap seimbang tetapi masih gagal untuk ke perlawanan akhir, sekarang saya tidak fikir kita memiliki barisan yang seimbang dan itu menjadikan keadaan amat sukar.
“Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan akan bermesyuarat di Johor Bahru pada 20 April ini untuk menentukan opsyen dan pemain yang bakal disenaraikan ke Piala Thomas, iaitu sejurus tamat Kejohanan Asia (ABC, 15-20 April),’’ kata Kim Hock semalam.
Jika pengalaman dijadikan kriteria utama dalam memilih pemain, maka dua pemain remaja paling menonjol ketika ini, Tan Chun Seang dan Mohd. Arif Abdul Latif sudah boleh melupakan hasrat untuk beraksi.
Namun jika kedua-dua mereka sudah terkeluar daripada senarai, siapa yang paling layak untuk melengkapkan kuota keempat, pada ketika Chong Wei, Wong Choong Hann dan Muhammad Hafiz Hashim sudah pasti mengisi kedudukan tiga perseorangan utama.
Adakah BAM akan memilih salah satu daripada dua pemain KLRC, Lee Tsuen Seng dan Sairol Amar Ayob, yang diketepikan daripada Kejohanan ABC atau memilih Mohd. Roslin Hashim, yang tidak memiliki rekod meyakinkan tetapi sarat dengan pengalaman beraksi di Piala Thomas.
Atau, opsyen yang ada adalah Yeoh Kay Bin, yang pemilihannya ke Kejohanan ABC mencetus rasa tidak puas hati di kalangan segelintir pemain.
“Pemilihan perseorangan keempat memang paling menyukarkan ketika ini kerana kita tidak memiliki pemain yang betul-betul menonjol untuk diketengahkan.
“Kita kena pilih yang betul-betul berkualiti kerana pemain ini haruslah seorang yang bersedia untuk berdepan situasi getir apabila keadaan memaksa dia turun dalam perlawanan penentuan.
“Sebab itu kami kena tunggu hingga tamat Kejohanan ABC untuk membuat penilaian, selain melihat apa yang berlaku pada Terbuka India (1-6 April),’’ katanya lagi.
Sementara itu pemain-pemain skuad Piala Thomas dan Uber negara hanya menjalani kem motivasi di Bukit Jalil, yang berlangsung dari 28 April hingga 7 Mei ini.
Menurut Kim Hock, masa yang terlalu suntuk menyebabkan mereka tidak mampu mengadakan kem di luar Kuala Lumpur.
Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas adalah di Kuala Lumpur pada 1992 dan kali terakhir kita melayakkan diri ke final adalah di Guangzhou, China pada 2002 apabila kalah 2-3 kepada Indonesia.
IKLAN@UTUSAN
|