|
![]() |
|
TUANKU Nur Zahirah (empat dari kanan) dan Rosmah Mansor bergambar bersama orang kenamaan dari UAE dan tetamu jemputan pada Festival Fesyen Islam (IFF) di Jumeirah Beach Hotel, Dubai, semalam. |
DUBAI, 31 Mac Festival Fesyen Islam (IFF) membuka tirainya di sini semalam dengan menampilkan keunikan hasil ciptaan pereka fesyen dari beberapa negara Islam, yang turut diserikan oleh kehadiran Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.
Berlangsung di Jumeirah Beach Hotel di sini, pertunjukan fesyen, merangkap jamuan malam gala itu, menjadi titik penting dalam usaha penganjur IFF untuk menjadikan Kuala Lumpur, Jakarta dan Dubai sebagai ibu kota fesyen pakaian Islam.
Acara penuh berwarna-warni itu bermula sejurus selepas keberangkatan tiba Tuanku Nur Zahirah, yang kelihatan anggun dengan berpakaian baju biru berlabuci, dengan diiringi penaung IFF, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beberapa orang model kemudian tampil untuk memperagakan keanggunan dan kehebatan busana Muslimah yang terhasil daripada pengalaman, latar belakang dan kreativiti 10 pereka fesyen dari Malaysia, Indonesia, Pakistan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Mereka termasuk Datuk Tom Abang Saufi dan Radzuan Radziwill dari Malaysia, Ghea Panggabean (Indonesia), Deepak Perwani (Pakistan), serta Ameera dan Shabana Asif (UAE).
Pertunjukan itu turut disaksikan oleh anggota kerabat diraja Pahang dan Terengganu, orang kenamaan dari UAE dan ramai tetamu jemputan, termasuk Timbalan Menteri Palancongan Malaysia, Datuk Seri Sulaimen Abdul Rahman Abdul Taib dan Duta Malaysia ke UAE, Datuk Abdul Mubin Razali.
Acara kemuncak pertunjukan itu ialah persembahan songket oleh Yayasan Tuanku Nur Zahirah, yang mempamerkan karya unik yang dihasilkan daripada songket, hasil kreativiti pereka fesyen yang menyertai festival itu.
Diasaskan pada 19 Jun 2007, yayasan ini bermatlamat membantu anggota masyarakat Malaysia yang kurang bernasib baik memperoleh pendapatan daripada kekayaan seni warisan nenek moyang mereka.
Sempena pertunjukan itu, seutas jam tangan bertatahkan batu berharga dilelong pada harga 66,000 dirham (kira-kira RM58,500) dan hasil jualannya disumbangkan kepada Pusat Latihan Bagi Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik Al Noor.
IFF, yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2006 dan 2007, sebelum beralih ke Jakarta pada 2007 dan kini di Dubai, menjadi platform untuk mengetengahkan fesyen pakaian Islam, di samping membuka peluang ke arah mewujudkan rangkaian perniagaan di seluruh dunia dalam bidang berkenaan.
Festival ini diasaskan dan dipengerusikan oleh Datuk Raja Rezza Shah dari Malaysia.
Sementara itu, dalam ucapan beliau pada festival berkenaan, Rosmah berkata, fesyen pakaian Islam hari ini bukan saja perlu mengandungi ciri-ciri keislaman dan berasaskan akhlak, tetapi juga memenuhi ciri-ciri global.
Oleh itu, saya ingin menggesa pereka dan pengeluar pakaian Islam supaya menyedari hakikat bahawa produk mereka perlu memiliki ciri-ciri universal bagi membolehkannya mendapat sambutan di pasaran lebih meluas, kata beliau.
Bernama
IKLAN@UTUSAN
|