VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 September 2014 / 23 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 30/03/2008

Vena Varikos pada kaki


VENA timbul boleh berlaku pada bahagian muka (kiri) dan kaki sementara vena varikos yang teruk akan menyebabkan salur vena timbul dengan lebih jelas, seperti pada kaki (gambar tengah) di samping menyebabkan ulser kaki.


Pergerakan darah di dalam badan manusia adalah melalui dua saluran iaitu arteri atau saluran nadi yang mengalirkan darah dari jantung ke seluruh badan, dan vena (vein) atau pembuluh darah yang membawa darah dari seluruh badan balik ke jantung.

Aliran darah di dalam arteri mempunyai tekanan kuat dan deras berdasarkan kekuatan degupan jantung seseorang.

Manakala pengaliran darah di dalam vena adalah lebih lemah berdasarkan pergerakan otot-otot anggota badan dan juga otot kecil yang terdapat di dalam dinding vena sendiri.

Apabila seseorang itu berdiri, darah akan berkumpul dengan banyak di bahagian kaki akibat dari kesan tarikan bumi dan tekanan aliran darah yang rendah.

Perjalanan darah di dalam vena menjadi lancar dan tidak berkumpul di kaki melalui pergerakan otot-otot anggota badan.

Selain itu, otot kecil yang terdapat di dalam dinding vena turut mengepam darah kembali ke jantung dan terdapat juga injap-injap di dalam vena yang menghalang darah kembali ke bahagian kaki (mengalir songsang).

Sistem pengaliran darah vena di kaki di bahagi kepada dua iaitu, vena luaran (saphenous vein) yang mengalir di bawah permukaan kulit dan vena dalaman (deep vein) yang mengalir berhampiran tulang dan otot.

Vena varikos (vericose Vein)

Varikos adalah daripada perkataan Latin yang bermakna “berpintal”, yang memberi gambaran vena yang berpintal dan bergelembung.

Varikosa boleh berlaku di beberapa bahagian badan dan diberi nama tertentu seperti ‘oesophageal varices’ jika berlaku di saluran makan, varicocele di dalam zakar dan buasir di dubur.

Vena varikos adalah istilah yang digunakan apabila fenomena ini berlaku di kaki. Pada asasnya vena varikos berpunca daripada peningkatan tekanan darah di dalam vena yang terlalu tinggi. Ini menyebabkan kerosakan pada sistem injap vena dan melemahkan dinding vena hingga menghasilkan vena yang bergelembung dan berpintal.

Pada kebiasaannya, vena varikos berlaku pada sistem vena luaran (saphenous vein) di satu atau kedua-dua belah kaki.

Ia kelihatan seperti gerombolan urat yang membonjol pada sebelah dalam paha dan kaki dari bahagian pangkal paha hingga ke buku lali. Ada juga vena varikos berlaku pada vena kecil di bawah kulit dan ia menyerupai kaki labah-labah berwarna merah atau biru. Ini dipanggil telangectasis.

Punca dan risiko

Punca dan risiko berikut boleh menyebabkan peningkatan tekanan dalam vena:

* Keturunan: Keadaan semulajadi di mana terdapat kekurangan injap atau kelemahan pada injap dan dinding vena.

* Umur: Mengikut kajian, vena varikos kerap berlaku di kalangan umur 40 hingga 49 tahun. Ini mungkin disebabkan kerosakan pada injap dan dinding vena yang berpunca dari pelbagai sebab dalam kehidupan harian.

* Berdiri terlalu lama: Ini berlaku di kalangan mereka yang kerap berdiri terlalu lama seperti tentera dan polis, pekerja kilang, jururawat dan sebagainya.

* Gemuk berlebihan: perut yang buncit menyebabkan halangan pada aliran darah dalam vena ke jantung.

* Kehamilan: Vena varikos berlaku masa kehamilan akibat daripada tekanan rahim yang membesar menghalang aliran darah dalam vena ke jantung, atau kesan daripada hormon estrogen dan progesteron yang melemahkan dinding vena.

* Trauma kecederaan melibatkan vena, terutamanya di kaki.

* Darah beku dalam vena: Ini kerap berlaku di kalangan mereka yang terbaring lama akibat penyakit dan sebagainya.

* Penyakit-penyakit lain yang menyebabkan naiknya tekanan dalam vena. Ini termasuklah penyakit hati seperti cirrhosis, lemah jantung, air dalam perut (ascitis).

Tanda dan simptom

Kebanyakan pengidap vena varikos tidak merasa sebarang masalah walaupun pada kaki mereka terdapat vena varikos.

Sebahagian mereka yang mengidap vena varikos mempunyai simptom berikut:

* Bengkak kaki

* Kaki terasa berat, tidak selesa, berdenyut dan hangat.

* Kerap terkena kejang otot.

* Rasa gatal di sekitar vena yang terlibat.

* Perubahan warna kulit yang bertambah gelap terutama berhampiran buku lali.

* Kudis di buku lali yang sukar baik.

Komplikasi vena varikos

Penyakit vena varikos biasanya tidak banyak mendatangkan mudarat sekiranya ia tidak diabaikan.

Apabila diabaikan, tekanan darah dalam vena akan bertambah tinggi sehingga menyebabkan darah mendak di kaki dan aliran darah lembap.

Keadaan ini akan mengakibatkan kaki bengkak dan pesakit susah untuk berjalan.

Darah yang mendak ini mengandungi aras karbon dioksida dan produk racun yang tinggi dari metabolisma tisu di samping aras oksigen yang rendah.

Untuk jangka pendek ia menyebabkan pesakit kerap merasa kekejangan otot dan gatal pada kulit.

Akibat aliran darah yang amat perlahan di bahagian kaki, banyak sel darah yang akan pecah menyebabkan zat besi (ferum) meresap ke tisu mengakibatkan warna kulit bertukar lebih gelap atau kehitaman.

Apabila resapan ini bertambah teruk, darah tidak dapat mengalir ke bahagian kulit menyebabkan terjadinya kudis atau ulser yang kronik.

Ulser ini tidak mudah disembuhkan jika masalah vena varikos tidak diatasi lebih dahulu.

Prosedur mengesan vena varikos

Buat permulaan, doktor akan membuat pemeriksaan fizikal dengan pesakit dalam keadaan berdiri, untuk pastikan jika pesakit menghidapi vena varikos.

Walaupun tidak sukar untuk mengenalpasti penyakit ini, doktor perlu membuat beberapa lagi ujian fizikal untuk pastikan kedudukan injap yang rosak.

Pemeriksaan doppler membolehkan pakar bedah mendengar aliran darah dalam vena kaki.

Ia juga dapat mengesan sebarang kerosakan pada injap dan boleh memastikan sistem vena dalaman berfungsi dengan baik sekiranya pembedahan hendak dilakukan pada vena luaran.

Pemeriksaan Venografi menggunakan x-ray setelah vena kaki dimasukkan cecair kontras pula jarang digunakan sekarang kerana ia boleh menimbulkan komplikasi seperti darah beku dan thrombophlebitis.

Rawatan

Tidak semua pesakit vena varikos memerlukan rawatan agresif seperti pembedahan, terutamanya jika ia vena varikos yang kecil.

Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan simptom dan juga mengelakkan komplikasi.

Rawatan permulaan selalunya berbentuk konservatif dan ia memerlukan kerjasama pesakit menjayakan rawatan agar vena varikos yang kecil tidak bertambah teruk dan berkomplikasi.

Rawatan konservatif

1. Memakai stokin. Kini terdapat pelbagai stokin untuk merawat vena varikos. Stokin boleh memberi tekanan kompresi antara 18-50 milimeter Merkuri (mmHg). Kompresi ini boleh membantu mengimbangi tekanan dan isi padu darah dalam vena.

2. Membuat senaman, terutamanya berjalan jaki.

3. Mengurangkan berat badan bagi mereka dengan berat badan berlebihan.

4. Elakkan berdiri atau duduk yang terlalu lama.

5. Apabila berehat, pesakit digalakkan meninggikan aras kaki lebih tinggi dari aras jantung untuk melancarkan aliran darah kembali ke jantung.

6. Kini terdapat ubatan yang boleh membantu melancarkan perjalanan darah dalam vena. Walau bagaimanapun, keberkesanannya di kalangan kes vena varikos terus atau yang berkomplikasi adalah terhad.

Prosedur rawatan lanjut

Untuk kes vena varikos yang teruk, berkomplikasi atau atas sebab kosmetik (akibat rupa kulit kaki yang hodoh) terdapat beberapa prosedur berikut yang boleh dilakukan oleh doktor.

1. Sclerotherapy: Doktor akan menyuntik ubatan cecair khas bertujuan mematikan vena yang bermasalah, Ini berkesan sekiranya dilakukan dengan teknik yang betul. Kesilapan suntikan boleh menyebabkan kesakitan yang amat dan menghasilkan kudis (ulser) yang sukar sembuh.

2. Rawatan cahaya laser: Ini digunakan untuk merawat telangiectasis dan vena varikos yang kecil di bahagian muka atau kaki.

3. Rawatan photoderm: Rawatan ini menggunakan katheter yang dimasukkan ke dalam saluran vena. Alat khas di hujung katheter akan mengeluarkan haba panas yang mematikan vena yang bermasalah.

4. Stripping: Prosedur ini menggunakan wayar panjang khas yang dimasukkan ke dalam vena saphenous dari buku lali ke pangkal paha, dan kemudiannya ditarik keluar kesemua vena terbabit.

5. High ligation: Pembedahan ini dilakukan pada pangkal paha di mana vena saphenous diikat dan sambungan antara vena femoral dan vena saphenous diputuskan.

6. Avulsion: Melalui beberapa pembedahan kecil di kulit kaki, vena varikos ditarik keluar sedikit demi sedikit sehingga tiada bonjolan vena varikos yang ketara. Selalunya pembedahan ini ditambah dengan prosedur ‘high ligation’ untuk mendapat hasil rawatan yang lebih berkesan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.