|
KUALA LUMPUR 29 Mac – Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu sistem kuota yang dilaksanakan semasa beliau memegang jawatan Presiden UMNO dimansuhkan kerana telah disalah gunakan pemimpin- pemimpin parti.
Bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri itu memberitahu, sistem kuota itu telah disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin yang berkuasa dengan menghalang Bahagian UMNO mencalonkan orang lain dalam pemilihan parti.
“Pada masa dulu, sistem kuota itu bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pemimpin parti yang benar-benar ingin bertanding dan untuk mendapat pencalonan dari 60 bahagian bagi bertanding jawatan presiden adalah mudah.
“Tahun 2004 menyaksikan ia disalahgunakan di mana bekas Naib Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang ingin bertanding untuk jawatan presiden UMNO hanya mendapat satu pencalonan sahaja itupun dari bahagiannya sendiri.
“Keadaan ini berlaku kerana bahagian-bahagian UMNO telah diberi amaran tidak mencalonkan Tengku Razaleigh,” katanya.
Beliau yang merupakan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-46 pertubuhan itu di sini hari ini.
Dr. Mahathir diminta mengulas mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat Khamis lepas memutuskan pemilihan semua jawatan dalam parti akan tetap diadakan.
Perhimpunan Agung UMNO dan pemilihan pemimpin utama parti, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri akan berlangsung pada 16 hingga 20 Disember 2008.
Pemilihan peringkat cawangan akan bermula 17 Julai hingga 24 Ogos dan diikuti pemilihan peringkat Bahagian UMNO pada 9 Oktober sehingga 9 November 2008.
“Tidak ada kebebasan di dalam UMNO sekarang dan sebab itu sistem kuota perlu dimansuhkan kerana mereka berpendapat melawan Presiden merupakan satu penghinaan.
“Semasa saya menjadi Presiden UMNO, Tengku Razaleigh mendapat pencalonan daripada 60 Bahagian UMNO dengan mudah dan mereka bebas untuk berkempen di seluruh negara untuk menghentam saya,” ujar beliau.
Dr. Mahathir menegaskan, pertandingan di dalam UMNO adalah baik dan tidak ada pemimpin yang boleh menyalahgunakan parti untuk kepentingan peribadi.
Perlembagaan UMNO menetapkan mereka yang hendak bertanding jawatan Presiden UMNO mesti mendapat 30 peratus pencalonan dari 191 Bahagian UMNO di seluruh negara manakala Timbalan Presiden 20 peratus, Naib Presiden 10 peratus dan ahli Majlis Tertinggi sebanyak lima peratus.
Ketika diberitahu bahawa pemimpin-pemimpin utama UMNO tidak mahu pertandingan jawatan Presiden berlaku, Dr. Mahathir berkata, pemimpin-pemimpin itu telah dilatih untuk berkata ya sahaja.
IKLAN@UTUSAN
|