VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 24/03/2008

Takhrij al-hadis sahkan kesahihan hadis

SEMUA mengetahui secara umum bahawa al-Quran dan hadis sahih adalah sumber pengetahuan dan perundangan Islam yang autentik. Al-Quran merupakan wahyu Allah yang dijamin dan dipelihara daripada diubah-ubah oleh manusia.

Sebagaimana firman Allah swt, Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (al-Hijr: 9)

Kebenaran wahyu dalam al-Quran adalah bersifat mutlak dan keimanan kepada ayat-ayat atau kalam Allah adalah wajib. Al-Sunnah pula merupakan perkataan, perbuatan dan taqrir (perakuan) Nabi Muhammad saw. Al-Sunnah juga berfungsi menjadi penjelas, penguat, penghurai nas-nas al-Quran.

Al-Sunnah juga merupakan wahyu daripada Allah swt sesuai dengan firman-Nya, Dan ia (Nabi Muhammad s.a.w) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. (al-Najm: 3)

Ringkasnya al-Quran dan al-Sunnah merupakan dua sumber perundangan atau syariat bagi umat Islam.

Al-Sunnah dalam sejarah penulisan dan pembukuannya menghadapi cabaran dari sudut campur aduk sehingga melahirkan hadis-hadis palsu atau maudu’. Hadis palsu merupakan hadis yang direka oleh musuh Islam, terutamanya daripada golongan zindiq dan hadis tersebut disandarkan kepada Nabi Muhammad saw.

Perbuatan golongan ini merupakan satu pendustaan dan sikap keji untuk memusnahkan kefahaman umat Islam terhadap agamanya. Hamad bin Raid Ibnu Darham al-Azdi berkata: “Orang-orang Zindiq memalsukan hadis-hadis Rasulullah saw sebanyak 14,000 hadis”.

Menurut Ibn ‘Addi pula ketika Abd. al-Karim bin Abi al-‘Auja’ ditangkap dan kemudiannya diserahkan kepada Muhammad bin Sulaiman bin Ali yang memerintahkan supaya dipenggal lehernya, berkatalah ia: “Demi Allah! Aku telah memalsukan hadis sebanyak 4,000 hadis”.

Hadis-hadis palsu ini amat bahaya kepada umat Islam kerana ia membuka peluang paling terbuka kepada kesesatan dan syirik kepada Allah. Apatah lagi hadis-hadis palsu yang berhubung dengan akidah dan usuluddin.

Sebab itulah para ulama hadis dalam ilmu mustalah hadis mengkategorikan hadis kepada beberapa jenis. Antaranya ialah hadis sahih, hasan, daif mahupun maudu’.

Bagi menilai kesahihan hadis dan darjahnya serta sanad yang meriwayatkan matannya (teks hadis), para ulama menggunakan satu kaedah yang dinamakan takhrij al-hadis. Ilmu takhrij hadis ini menjadi satu keperluan untuk dipelajari dan diketahui umat Islam bagi menilai kesahihan dan sumber hadis Nabi Muhammad saw.

Definisi Takhrij Hadis

Menurut pakar bidang hadis di Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Radzi Othman, takhrij hadis didefinisikan sebagai suatu usaha untuk memastikan asal-usul sesebuah hadis itu melalui kitab-kitab hadis yang muktabar dengan sanadnya yang lengkap daripada pengarangnya hinggalah kepada Nabi Muhammad saw.

Dengan kata lain, ia merupakan suatu proses mengeluarkan semula seberapa banyak maklumat tentang asal-usul sesebuah hadis itu secara bersama apabila setiap hadis itu dinyatakan.

Sementara itu, Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor pula mendefinisikan takhrij hadis sebagai “menunjukkan tempat adanya hadis dalam sumber-sumber asal yang dikeluarkannya dengan sanad, kemudian menyatakan kedudukannya ketika diperlukan.”

Sejarah Takhrij

Sejarah bermulanya takhrij hadis agak lewat. Pada zaman awal Islam terutamanya pada zaman kelahiran kitab-kitab hadis yang bermula pada awal abad ke-2 Hijrah sehingga zaman kecemerlangannya pada abad ke-3 Hijrah, kitab-kitab takhrij hadis masih belum wujud.

Ini kerana para ulama hadis ketika itu tidak memerlukan kitab takhrij hadis lantaran keilmuan mereka yang begitu luas dan ingatan yang mendalam dan kuat mengenai hadis dan kitab-kitab hadis serta metodologi penulisannya.

Mereka berkemampuan mengenal pasti sumber hadis dan kedudukan sesebuah hadis. Apatah lagi hadis-hadis pada ketika itu masih diterima dan diriwayatkan secara bersanad daripada syaikh atau guru-guru mereka. Keadaan ini berterusan sehingga beberapa abad lamanya sehingga sampai kepada satu keadaan yang memerlukan kepada kaedah-kaedah tertentu bagi tujuan memudahkan usaha mendapatkan sesebuah hadis.

Keadaan demikian timbul setelah ramai para ulama dan huffaz hadis meninggal dunia dan pengetahuan mengenai hadis dan kitab-kitab hadis berkurangan. Apatah lagi dengan kemunculan pelbagai karya agama yang memuatkan hadis tanpa sanad dalam pelbagai bidang. Ini menyebabkan usaha untuk mengenal pasti sumber dan status sesebuah hadis menjadi semakin sukar.

Berdasarkan faktor inilah ulama hadis telah berusaha mencipta beberapa kaedah dan metod bagi memudahkan para penuntut ilmu khususnya pencinta hadis untuk merujuk dan mengenal pasti sumber dan status sesebuah hadis.

Secara umumnya, ilmu takhrij ini mula diperkenalkan pada abad ke-6 Hijrah. Kitab takhrij yang pertama dihasilkan ialah kitab Takhrij Ahadith al-Muhadhdhab fi al-Fiqh al-Syafi’i li al-Syirazi oleh Muhammad bin Musa al-Hazimi (m.584H).

Kemudiannya kitab-kitab takhrij semakin bertambah khususnya pada abad ke-8 Hijrah. Antara yang paling masyhur ialah kitab Nasb al-Rayah li Ahadith al-Hidayah oleh Al-Hafiz al-Zaili, al-Mughni ‘an Haml al-‘Asfar fi al-‘Asfar fi takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar oleh al-Hafiz al-Iraqi (m.806H), al-Talkhis al-Habir fi Takhrij Ahadith al-Rafi’ al-Kabir oleh al-Hafiz Ibn Hajar (m.852H) dan Manahil al-Safa fi Takhrij Ahadith al-Syifa’ li al-Qadi ‘Iyad oleh al-Suyuti (m.911H).

Kemunculan kitab-kitab takhrij ini terus berkembang sehingga lahir pelbagai jenis kitab takhrij berdasarkan kepada kaedah-kaedah tertentu. Antaranya ialah kitab al-Jami’ al-Saghir oleh al-Sayuti dan kitab al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Hadith al-Nabawi yang ditulis oleh sekumpulan orientalis diketuai Anderjan Winsenk (m.1939) dengan kerjasama Muhammad Fuad Abd al-Baqi.

Dewasa ini dengan kemunculan komputer dan perisian, para sarjana Islam mengambil peluang menerokai bidang takhrij hadis dengan cuba mengadakan perisian-perisian bagi memudahkan proses mentakhrijkan hadis. Melalui CD-Rom usaha untuk mentakhrijkan hadis pada masa kini menjadi lebih mudah dan cepat.

Kepentingan

Dalam kalangan ahli akademik, terutamanya dalam penulisan ilmiah yang melibatkan penulisan tesis, jurnal, kertas kerja dan sebagainya, aplikasi takhrij hadis memang merupakan satu kemestian. Elok juga, sekiranya kemestian itu dipanjangkan secara sedar dan bertanggungjawab terhadap pengkarya dan penulis dalam penulisan artikel dalam apa jua genre sekiranya mereka memetik hadis-hadis Nabi Muhammad saw. Sekurang-kurangnya mereka hendaklah menggunakan metod termudah dalam takhrij hadis dengan menyatakan sumber ringkas asal-usul dan darjah hadis. Kepentingan takhrij hadis ini amat penting dalam suasana bagi menilai kesahihan sumber hadis rentetan serangan-serangan musuh-musuh Islam dari luar dan dalam yang mencipta hadis-hadis palsu.

Selain itu, mengaplikasikan metod takhrij hadis memberi beberapa manfaat lain seperti dapat mengetahui lafaz sebenar hadis sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Ini kerana kemungkinan hadis tersebut disebut secara ringkas atau dengan maknanya sahaja.

Pemahaman terhadap hadis menjadi lebih baik dengan mengetahui sebab timbulnya hadis dan latar belakang peristiwa yang mendasari hadis. Ini kerana perkara tersebut hanya disebut dan diterangkan dalam kitab asal hadis atau syarahnya.

Di samping itu juga, dengan mentakhrij hadis kita dapat mengumpul sebanyak mungkin riwayat hadis yang membicarakan topik yang sama tetapi berlainan lafaz, riwayat dan sanad. Akhirnya, dengan adanya keikhlasan penulis untuk menyatakan sumber petikan hadis dari kitab asalnya setelah melakukan proses takhrij hadis, ia dapat menambah keyakinan umat Islam terhadap apa yang dibahas dan dibicarakan tentang hadis-hadis yang dipetik.

Kesimpulan

Oleh yang demikian adalah disarankan kepada semua pihak terutamanya para penulis artikel sama ada ilmiah atau pun tidak supaya sentiasa berhati-hati dalam menukilkan hadis Nabi saw. Adalah lebih baik dan beramanah kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, sekiranya kita menyemak terlebih dahulu hadis yang ingin diketengahkan kepada masyarakat agar ia benar-benar bersumberkan dari Nabi Muhammad saw.

Dalam hal ini, pengetahuan tentang ilmu bagaimana mentakhrijkan hadis merupakan satu keperluan kepada mereka yang ingin menutur bicara hadis sama ada melalui lisan mahupun tulisan. Agar dengan sikap hati-hati itu kita terselamat dari dosa yang cukup besar dengan mendakwa sesuatu itu hadis dari Nabi saw, namun sebenarnya tidak sedemikian.

* DR. MOHD NIZAM SAHAD ialah pensyarah Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.