|
KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-12 yang baru berlangsung menyaksikan barisan pemimpin terpilih diberi mandat menunaikan kewajipan mereka sebagai pemimpin.
Pemimpin beragama Islam sebagai umat manusia yang diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan segala urusan dan pentadbiran alam selaku wakil Allah di bumi (khalifah fil ardhi) dengan tugas untuk mengatur, mentadbir di bumi Allah S.W.T perlu menjalankan tugas berpandukan kepada wahyu, syariat dan petunjuk Allah S.W.T.
Tugas pemimpin antara lainnya juga ialah menegakkan kebenaran Islam, memelihara karamatul-Insan (nilai kemanusiaan), memakmurkan bumi Allah S.W.T, menjalankan urusan amar makruf dan nahi mungkar.
Selain itu, matlamat kepimpinan dalam Islam ialah untuk pengabdian diri kepada Allah S.W.T, mencapai keredaan, keberkatan dan rahmat daripada Allah S.W.T serta Rasul-Nya.
Selain itu, matlamat kepimpinan dalam Islam ialah untuk mencapai kesempurnaan akhlak yang mulia dan menyeru membuat kebaikan dan mencegah kejahatan.
Pemimpin Islam juga perlu mencapai kebahagiaan, kesenangan, kesejahteraan dan keselamatan manusia sejagat dunia dan akhirat.
Sebaik-baik kepimpinan ialah kepimpinan Rasulullah S.A.W kerana kepimpinan baginda sentiasa berpandukan kepada wahyu, syariat dan petunjuk Allah S.W.T. Kita sebagai umat Muhammad S.A.W bertanggungjawab untuk menyambung risalah dan perjuangan baginda untuk kebaikan seluruh umat manusia.
Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Isra‘ayat 81, maksudnya “Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”
Pemimpin Islam yang diberi kepercayaan untuk mentadbir perlu menjalin ikatan yang padu di antara pemimpin dan rakyat sepertimana dalam firman Allah S.W.T dalam surah An-Nisa’ ayat 58.
Ayat tersebut bermaksud, sesungguhnya Allah menyuruh kami supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerima), dan apabila kamu menjalankan hukuman di antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.
Amanah
Ayat ini bertujuan memberi bimbingan kepada para pemimpin agar sentiasa amanah dalam melaksanakan tugasnya, supaya berlaku adil apabila menyelesaikan masalah manusia dan menjatuhkan hukuman.
Ayat 59 surah An-Nisa’ pula menyeru supaya rakyat (penduduk) patuh dan taat kepada pemimpin yang telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai amanah dan adil kecuali apabila pemimpin itu memerintah dengan maksiat maka tidak patut lagi dipatuhi arahan pemimpin itu. Kerana, sekali-kali tidak boleh taat bagi makhluk dalam hal-hal yang derhaka kepada Allah S.W.T.
Sekiranya berlaku kekecohan dan perselisihan antara satu sama lain, maka hendaklah segera kembali kepada jalan penyelesaian mengikut kaedah dan petunjuk dari kitab Allah dan sunah Rasul-Nya.
Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika dilantik menjadi khalifah (pemimpin) telah berucap di khalayak ramai. Katanya: “Wahai saudara-saudara, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memegang kekuasaan atasmu, padahal aku bukanlah terbaik di antaramu, jika aku berlaku baik bantulah aku tetapi jika aku melakukan kesalahan betulkan aku. Kejujuran adalah amanah, dusta adalah khianat. Barangsiapa yang lemah di antara kamu akan menjadi kuat di sisiku sehingga aku kembalikan haknya. Insya-Allah. Barangsiapa yang kuat di antara kamu akan menjadi lemah di sisiku sehingga aku ambil hak orang lain di tangan yang serupa. Taatilah aku selagi aku taat kepada Allah dan Rasul-Nya, apabila aku menderhaka kepada Allah dan Rasulnya, maka kamu tidak taat kepadaku’’.
Jelasnya, adalah amat penting bagi pemimpin yang dilantik oleh rakyat perlu beramanah bagi tidak melakukan maksiat. Adalah juga menjadi kewajipan rakyat memberikan sokongan dan kerjasama bagi perkara yang baik dan berkebajikan. Sepertimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ma’idah ayat 2, maksudnya “Bekerjasamalah kamu atas dasar kebaikan dan takwa, dan jangan sekali-kali bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya seksa Allah itu amatlah berat.’’
* DR. SAPORA SIPON Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
IKLAN@UTUSAN
|