|
KUALA LUMPUR 19 Mac – Datuk Seri Rafidah Aziz yang digugurkan daripada barisan Kabinet baru menyangkal dakwaan bahawa beliau akan meletakkan semua jawatan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan akan terus mengekalkan jawatan Naib Presiden UMNO atas kapasitinya sebagai Ketua Pergerakan Wanita dan sekali gus menerajui Wanita BN selagi khidmatnya dikehendaki.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu berkata, beliau tidak berkecil hati dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggugurkannya daripada jemaah menteri tetapi sedih kerana buat pertama kalinya Wanita UMNO tidak mempunyai wakil dalam Kabinet sebagai menteri penuh.
Bagaimanapun, beliau berkata, pergerakan itu tidak akan menghantar bantahan rasmi mengenai perkara tersebut kerana tidak mahu dianggap kemaruk jawatan.
‘‘Tidak payah bantah. Nanti orang kata saya yang hendakkan kedudukan,’’ katanya pada sidang akhbar khas pada hari terakhir di kementerian yang diterajuinya sejak 1987 di sini, hari ini.
Sidang akhbar itu yang turut dihadiri beberapa Exco Wanita UMNO dibuat bagi menjelaskan andaian kononnya beliau akan berundur daripada politik sebagai membantah tindakan Perdana Menteri menggugurkannya daripada Kabinet.
Rafidah menegaskan beliau tidak akan bersara daripada politik malah akan terus memberi sumbangan selama khidmatnya diperlukan.
‘‘Selagi Wanita UMNO mahukan saya, saya akan terus aktif dalam politik,” katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|