VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 September 2014 / 28 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
TIMUR

ARKIB : 19/03/2008

Gula kabung lahirkan usahawan tani

KUALA LIPIS 18 Mac – Projek tanaman pokok kabung secara komersial merupakan antara agenda utama pembangunan berasaskan pertanian di daerah Lipis bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani di kawasan luar bandar.

Projek tanaman pokok kabung seluas 50 hektar di Kampung Peruang, Benta dekat sini menjadi perintis kepada perusahaan gula kabung untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Seramai 18 pengusaha menjalankan projek itu secara secara kecil-kecilan dan mendominasi pasaran sekitar Pekan Benta dan Bandar Kuala Lipis.

Kini, perusahaan gula kabung mengorak langkah apabila Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW) dan kerajaan negeri membina beberapa kemudahan termasuk sebuah bengkel perusahaan serta peralatan mesin yang meningkatkan lagi pengeluaran.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pusat Pertumbuhan negeri, Datuk Soffi Tan Sri Razak berkata, menerusi projek perusahaan gula kabung itu, ia diharap dapat mengubah mentaliti petani daripada kaedah pemprosesan secara tradisional kepada teknologi moden untuk menghasilkan produk berkualiti termasuk dari segi pembungkusan dan pemasaran.

Usaha itu, menurutnya, bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk mengubah sikap dan persepsi petani serta pengusaha agar menggunakan teknik baru, teknologi moden dan amalan pertanian terbaik.

‘‘Tanaman ini akan mengeluarkan manisan yang boleh diproses menjadi gula kabung untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di pasaran tempatan dan sasaran kita agar makanan ini boleh menembusi pasaran luar.

‘‘Hasrat kita untuk membesarkan perusahaan ini bagi meningkatkan lagi pendapatan penduduk luar bandar di samping peluang dalam industri pengeluaran bahan makanan berasaskan gula kabung dengan menggunakan teknologi moden,” katanya.

Soffi berkata, Kampung Peruang dan Kampung Budu akan diwartakan sebagai pusat perusahaan gula kabung di sini kerana ia menjadi aset pelancongan.

‘‘Kita akan memperluaskan projek tanaman pokok kabung di tanah-tanah terbiar di kawasan secara besar-besaran,” katanya.

Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta memberi jaminan kerajaan akan memberi bantuan dan bimbingan teknikal kepada pemilik tanah dan koperasi yang berhasrat menanam sendiri pokok tersebut.

Dalam pada itu, katanya, KPLBW memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk membina bangunan untuk memproses gula kabung, peralatan, bilik pameran dan jualan di Kampung Peruang bagi membesarkan industri itu.

‘‘Kesemua 18 pengusaha gula kabung ini perlu mengubah sikap dengan menjadikan pengeluaran bahan makanan ini secara besar-besaran yang boleh menambah pendapatan pada masa akan datang,” katanya.

Perusahaan gula kabung itu juga, tambahnya, dapat merancakkan lagi pengeluaran kuih-muih untuk dikomersialkan di samping menarik ramai pelawat menerusi program homestay.

Katanya, projek itu antara usaha kerajaan menaik taraf kampung tradisional menjadi pusat pertumbuhan baru membabitkan penglibatan proaktif penduduk dalam sektor pertanian, pelancongan dan industri kecil dan sederhana (IKS).

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Peruang, Mustafa Yunus, 50, berkata, kerja-kerja membuat gula kabung sejak 15 tahun lalu mampu memberi pulangan lumayan kepadanya untuk menyara keluarga.

‘‘Kerja ini memerlukan ketekunan dan kesabaran bermula daripada mengambil nira sehingga memasak menjadi gula dan dijual ke pekan sehari dan menerusi tempahan orang ramai,” katanya.

Mustafa memberitahu, setiap hari sebanyak 20 hingga 40 buku gula kabung dihasilkan bergantung kepada jumlah air nira yang berjaya dikumpulkan.

Dia berkata, permintaan terhadap gula kabung terus meningkat terutama ketika bulan Ramadan kerana ia bahan penting untuk membuat inti atau manisan kuih selain buahnya boleh dijadikan halwa untuk digunakan sebagai campuran dalam minuman.

Seorang pengusaha, Maseriah Talib, 46, berkata, dia melakukan kerja memasak manisan itu dalam kawah di bangsal belakang rumah sehingga menjadi pekat sebelum diisi ke dalam acuan daun mengkuang untuk dikeraskan dalam tempoh lima minit.

Katanya, kebiasaannya tiga tabung buluh berukuran 1.5 meter boleh menghasilkan 13 buku gula kabung setiap hari.

‘‘Saya menjual RM3.50 sebuku kepada pelanggan yang datang ke rumah dan juga menerusi tempahan daripada peniaga Bandar Benta dan Raub,” katanya.

Maseriah memberitahu, dia memperoleh pendapatan sebanyak RM1,300 sebulan hasil jualan gula kabung yang cukup untuk perbelanjaan dapur dan persekolahan anak.

Dia juga berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana membantu membiayai perusahaan gula kabung dengan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membina bangsal dan membeli peralatan memproses gula itu.

Katanya, beberapa buah stesen televisyen tempatan dan luar negara pernah membuat dokumentari selain menerima lawatan pelancong asing untuk melihat lebih dekat perusahaan gula kabung secara tradisional di rumahnya.

Maseriah menambah, gula kabung bukan sahaja dicampur untuk menyedapkan masakan kuih-muih tradisional Pahang malah sering dijadikan buah tangan atau cenderamata khas kepada pembesar di majlis tertentu di daerah Lipis.

Dalam perkembangan lain, kata Soffi, kerajaan negeri juga sedang menumpukan kepada projek tanaman jagung manis secara komersial di Lipis.

Menurut beliau, usaha itu mendapat kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Haiwan dan syarikat pengeluar makanan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.