Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 13/03/2008
Akibat jadi parti elit

Akibat jadi parti elit

BUAT pertama kali dalam sejarah Malaysia merdeka, gabungan parti utama Perikatan/Barisan Nasional gagal mendapat dua pertiga kerusi Parlimen dan kehilangan lima buah negeri kepada parti pembangkang.

Negeri-negeri ini termasuk yang termaju di Malaysia – Selangor dan Pulau Pinang, dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Nyatalah suatu perubahan besar telah dibuat oleh rakyat Malaysia berbilang kaum.

Setelah lebih 50 tahun di bawah pentadbiran BN, rakyat berbilang kaum telah mula kecewa, marah dan hilang kepercayaan terhadap mereka.

Kepada BN ia nyata suatu amaran keras: “Perbaiki diri kamu, atau kami akan hapuskan kamu”. Perbaiki diri - inilah yang harus dilakukan oleh BN, khasnya UMNO, sekarang. Suatu kritikan diri yang menyeluruh dan mendalam harus dibuat dengan segera. Falsafah perjuangan, (adakah bersifat kebangsaan, humanis, demokratik dan internasional?); semangat perjuangan (adakah bertujuan membela rakyat?); pembangunan dan pendidikan parti (adakah selaras dengan falsafah perjuangan?); dasar pemerintahan (adakah adil dan demokratik?); pelaksanaan dasar, dan gaya pemerintahan – semua ini, dan lain-lain yang bersangkutan, mesti diletak di bawah teropong kritikan.

Dalam masa setahun ia harus selesai dan mula dilaksanakan. Inilah yang harus mereka lakukan. Tidak kurang dari satu revolusi! Kerana daki sudah tebal! Kemerosotan telah dibiarkan terlalu lama. Alang-alang hendak berjuang untuk bangsa, tidak kurang daripada ini yang harus mereka lakukan.

Bolehkah mereka lakukan? Ini tanggungjawab kolektif. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku pemimpin nombor satu, harus mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ini. Majlis Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO secara kolektif memikul tanggungjawab untuk melakukan perubahan ini.

Jika mereka gagal, sejarah akan berulang. Mungkin ia tidak akan menunggu empat atau lima tahun lagi dalam pilihan raya umum ke-13. Sekarang zaman sains dan teknologi, masa berjalan sepuluh kali, malah seratus kali, lebih cepat.

Sekarang tiga buah parti pembangkang, DAP, Pas dan PKR, telah dicampak oleh keadaan ke dalam lautan politik Malaysia untuk menguji kebolehan mereka memerintah lima buah negeri, pendek kata, untuk memerintah Malaysia. Bolehkah mereka berbuat demikian? Lebih baik daripada yang telah ditunjukkan oleh BN?

Satu peluang keemasan telah diberi kepada mereka oleh rakyat Malaysia. Kita harap mereka akan menyesuaikan diri dengan kehendak rakyat, berdasarkan falsafah politik yang telah kita gariskan. Kita harap mereka tidak akan terperangkap dan mengurung diri dalam penjara puak kecil masing-masing.

Kita harap mereka akan meletakkan kepentingan rakyat semua kaum mengatasi kepentingan sempit kepartian masing-masing. Kita harap mereka akan berpegang teguh kepada janji.

Satu daripada kelemahan UMNO dan parti-parti gabungan dalam BN ialah kemerosotan mereka menjadi parti elit, terpisah daripada rakyat dan tenggelam dalam lembah kepentingan diri dan hawanafsu.

Tiga parti pembangkang (istilah ‘pembangkang’ sebenarnya tidak sesuai) yang sekarang tercampak ke atas peterana kuasa mesti elak daripada bahaya ini.

Jadilah dan didiklah diri masing-masing sebagai manusia yang bermoral dan beramanah tinggi. Manusia makhluk yang berakal dan bebas membentuk dirinya.

* KASSIM AHMAD seorang penulis bebas.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN