Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 13/03/2008
Jangan biarkan PKR ganti BN

Jangan biarkan PKR ganti BN

DENGAN kemenangan 31 kerusi di peringkat Parlimen dan 42 di Dewan Undangan Negeri (DUN), pencapaian Parti Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya sesuatu yang di luar dugaan.

Pada pilihan raya ke-11, PKR hanya menang di Permatang Pauh, manakala tiada satu kerusi DUN pun jatuh ke tangan parti itu.

Jika diteliti senarai calon yang bertanding atas tiket PKR, maka boleh saja dibuat rumusan mudah bahawa ia mewakili kepelbagaian kaum di negara ini.

Calon berbangsa Melayu, Cina dan India bertanding atas satu tiket iaitu PKR. Kawasan yang ditandingi juga tidak semestinya mengikut kaum biarpun keutamaannya calon Melayu misalnya akan diletakkan di kawasan Melayu.

Pendek kata kemenangan besar PKR pada pilihan raya lalu menunjukkan parti itu dipilih – waima atas niat apa sekalipun – oleh penduduk berbilang kaum di negara ini.

Semestinya penerimaan seumpama itu menjadi satu cabaran yang amat besar kepada Barisan Nasional (BN) sebagai satu-satunya parti yang sebelum ini menaungi pelbagai kaum di Malaysia.

BN menjadi pilihan rakyat berbilang kaum kerana di dalamnya ada MCA yang mewakili kaum Cina, MIC (India) dan parti-parti di Sabah serta Sarawak yang mewakili suku kaum masing-masing.

Namun trend keputusan pilihan raya baru-baru ini menyaksikan kemerosotan sokongan terhadap BN dan sejumlah undi diserahkan kepada PKR.

Kemerosotan paling jelas berlaku pada undi bukan Melayu.

Sesuatu yang mesti diingat bahawa majoriti undi yang diperoleh oleh calon-calon PKR juga besar, justeru kemenangan mereka bukan satu kebetulan yang tidak dirancang.

Malah dengan terbentuknya kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh PKR, manakala di Pulau Pinang dan Perak, Timbalan Menterinya juga dari PKR, populariti parti itu sebagai wakil kepada pelbagai kaum juga semakin meningkat.

Perkembangan ini mesti dipandang serius oleh BN. Ini kerana jika PKR berjaya menjaga hati para pengundinya dan pada masa yang sama mampu menunaikan janji-janji mereka, maka tidak mustahil PKR akan menjadi alternatif kepada BN.

Untuk memastikan kemungkinan itu tidak berlaku, maka semua parti komponen yang bernaung di bawah BN mesti belajar secara bersungguh-sungguh daripada catatan 8 Mac 2008.

UMNO, MCA dan MIC tidak perlu malu untuk mengakui kesilapan sendiri dan pada masa yang sama belajar untuk tidak mengulanginya untuk tempoh lima tahun sementara menunggu pilihan raya ke-13 nanti.

Begitu juga dengan parti-parti etnik di Sabah dan Sarawak tidak boleh selesa diri kerana dalam tempoh itu nanti rakyat di sana akan dilanda gelombang teknologi maklumat yang membawa pelbagai cerita di hujung jari mereka.

Paling pasti jika segala kelemahan tidak ditangani, sentimen rakyat ditolak tepi dan kata nasihat tidak dituruti, maka tidak mustahil PKR menjadi alternatif kepada BN.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN