|
DALAM setiap pilihan raya, rakyat yang berperanan sebagai pengundi akan menentukan segalanya. Justeru, apabila pengundi beralih arah ke parti selain Barisan Nasional (BN), jalan terbaik bagi BN ialah menerima hakikat akan kegagalan ini dan tidak perlu bersifat defensif.
Sikap mempertahankan diri akan lebih memburukkan keadaan. Apa yang perlu dilakukan oleh BN ialah membuat bedah siasat akan kelemahan mereka dan juga mengambil langkah mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut.
Pelbagai analisis diberikan atas kegagalan BN. Bagaimanapun terbukti rakyat masih sayangkan BN dan masih lagi memberi kepercayaan untuk memerintah negara.
Pemimpin UMNO dan parti-parti lain dalam BN perlu mencari di manakah silap mereka sehingga rakyat menjauhkan diri.
BN perlu bijak memujuk hati pengundi yang telah beralih arah ibarat memujuk kekasih atau pasangan yang berjauh hati apabila keinginan-keinginan tidak dipenuhi dan tidak berasa bahagia lagi dalam perhubungan berkasih itu.
BN tidak mempunyai pilihan selain daripada memenangi kembali kepercayaan rakyat supaya rajuk rakyat tidak akan berpanjangan. Jika BN gagal berbuat demikian, keadaan lebih buruk akan berlaku pada pilihan raya akan datang.
Dalam pilihan raya, rakyat sebagai pengundi juga perlu menyedari walaupun kuasa mengundi di tangan mereka dan merekalah raja kerana kuasa menentukan kerajaan adalah kuasa mereka.
Mereka perlu mengetahui apakah yang sebenar diinginkan apabila turun mengundi.
Adakah mereka benar-benar yakin bahawa parti yang mereka pilih adalah parti yang dapat mengubat segala kekecewaan mereka.
Ataupun ia sekadar menunjukkan marah dan rajuk mereka kepada parti BN apabila tuntutan-tuntutan mereka tidak tercapai dan mendapati BN tidak lagi dapat memperjuangkan nasib mereka.
Ditakuti
Apa yang ditakuti ialah apabila mereka sekadar bereksperimen dan akhirnya mendapati jalan keluar yang mereka pilih bukanlah yang terbaik bagi mereka.
Apa yang lebih ditakuti ialah apabila menyedari mereka akan kehilangan lebih banyak keinginan-keinginan dan keistimewaan melalui pilihan mereka itu.
Mereka menyedari atas faktor-faktor di luar dugaan, mereka lebih banyak kehilangan hak dan keistimewaan mereka apabila mereka bermain dengan konflik diri mereka semasa mengundi.
Luka di hati semakin mendalam kerana apa yang berlaku tidak seperti apa diharapkan dan dijangkakan.
Mereka mula menyaksi keistimewaan mereka semakin hilang sedikit demi sedikit dan akhirnya mereka sendiri akan kerugian.
Ia bermula daripada perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru dan sekadar ingin menunjukkan protes kepada pihak pemerintah. Sememangnya diakui, pengundi semakin bijaksana dalam membuat pilihan termasuklah menentukan kuasa memerintah.
Apatah lagi apabila melibatkan pengundi di kawasan bandar yang kebanyakannya adalah daripada golongan berpendidikan tinggi.
Mereka bijak berhujah, berfikir dan tahu apa yang mereka inginkan dalam hidup mereka.
Namun natijah dalam kehidupan politik dan pembentukan sesebuah kerajaan, banyak elemen yang perlu diambil kira.
Dalam konteks negara berbilang kaum, perjalanan pembentukan kerajaan di peringkat negeri atau Persekutuan tidaklah semudah seperti yang difikirkan oleh pengundi yang bijak berhujah, berasional dan membuat pilihan tadi.
Apa pun, dalam pilihan raya, pengundi tetap berkuasa. Kuasa di tangan mereka. Mereka akan memilih apa yang mereka rasakan terbaik bagi mereka.
Apabila tidak memilih BN, tentu sekali, ada faktor yang mendorong ke arah ini. Perkara inilah yang perlu diberikan perhatian yang amat berat oleh pihak BN.
Diharapkan pengundi menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka kerana itulah yang telah mereka pilih.
Kini apa yang penting ialah rakyat memerlukan kebijaksanaan di dalam menguruskan segala perubahan yang berlaku kerana perubahan pasti akan berlaku di dalam kehidupan.
BN perlu berani menerima perubahan yang diinginkan oleh rakyat dan mengurusnya dengan baik sekali.
BN perlu bijak dalam menguruskan perubahan yang berlaku dalam arena politik negara dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk tidak lagi mengalami nasib yang sama atau lebih buruk lagi di pilihan raya umum yang akan datang.
IKLAN@UTUSAN
|