|
MACHANG 11 Mac – Anak seorang penoreh getah di Kampung Belukar Panjang di sini, Kua Chiu Huay diumumkan sebagai pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi negeri Kelantan.
Bagi Chiu Huay, 19, (gambar) kemiskinan keluarganya tidak menghalangnya daripada belajar dengan gigih untuk mencapai kecemerlangan, sebaliknya ia menjadi pendorong kuat.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah di sini, yang memperoleh Lima Prinsipal A itu memberikan tumpuan penuh sepanjang tempoh pembelajaran dalam bilik darjah.
“Apabila tidak faham saya terus bertanya kepada guru dan akan mengulang kaji setiap pelajaran di rumah pada sebelah malam dengan menggunakan kaedah menulis nota ringkas,” katanya.
Sementara itu, ayahnya, Kua Bon Seng, 48, berkata, anaknya amat gigih mengulang kaji pelajaran walaupun pada masa sama, terpaksa juga menolongnya menoreh terutamanya pada waktu cuti sekolah.
Mereka berdua ditemui pada majlis pengumuman keputusan STPM 2007 di SMK Hamzah di sini yang diisytiharkan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Ismail Md. Noor.
Seorang lagi pelajar cemerlang STPM, Noradilah Othman dari SMK Putra, Kota Bharu berkongsi kejayaannya dengan selalu mengadakan perbincangan berkumpulan setiap hari selepas waktu persekolahan.
“Saya kebiasaannya bersama dengan rakan lain akan berada di sekolah sehingga waktu petang untuk mengadakan perbincangan dan kadang-kadang ada juga guru dan pengetua yang bersama dengan kami.
“Pada sebelah malam pula, saya akan memperuntukkan waktu sehingga tiga jam untuk mengulang kaji pelajaran,” kata anak kepada Penyelia syarikat Air Kelantan cawangan Kubang Kerian.
Bagi seorang lagi pelajar cemerlang, Mohd. Saiful Faizal Mohd. Zin, selain mengulang kaji pelajaran, dia sering diingatkan oleh kedua ibu bapanya agar menghormati dan menghargai para guru yang gigih mendidik.
“Saya selalu ingat pesan mereka, walau setekun mana kita belajar tetapi sekiranya tidak mendapat restu daripada guru, maka ilmu yang diperoleh itu tidak membawa keberkatan,” katanya.
IKLAN@UTUSAN
|