Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
PENDIDIKAN

ARKIB : 12/03/2008
Calon lulus STPM naik 91.62%

Calon lulus STPM naik 91.62%

KUALA LUMPUR 11 Mac – Sebanyak 56,896 atau 91.62 peratus calon lulus penuh sekurang- kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007 berbanding 63,149 atau 90.87 peratus pada 2006.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dzulkifli Abdul Razak berkata, keputusan tersebut menunjukkan prestasi pelajar yang mengambil peperiksaan itu meningkat sebanyak 0.75 peratus.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 3,687 atau 5.94 peratus dan 23,101 atau 37.20 peratus calon lulus penuh masing-masing dalam lima dan empat mata pelajaran yang diambil.

Bagaimanapun, hanya 25 calon mendapat gred A dalam lima mata pelajaran berbanding 34 orang pada 2006.

Seramai 66,047 calon menduduki peperiksaan itu dan sebanyak 23 mata pelajaran yang terdiri daripada 56 kertas soalan telah ditawarkan pada peperiksaan STPM 2007.

“Sementara itu, jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara. Di bandar, calon aliran Sains dan Sastera lebih baik daripada di luar bandar,” kata Dzulkifli ketika mengumumkan keputusan prestasi STPM dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang di sini hari ini.

Seramai 16 pelajar termasuk tiga calon kategori istimewa yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu menerima anugerah daripada MPM pada majlis itu.

Calon di kawasan bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A mencatatkan kadar 13.71 peratus berbanding calon di luar bandar iaitu 4.62 peratus.

Dzulkifli berkata, bilangan calon yang menjawab soalan dalam bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik pula mencatatkan peningkatan daripada 85.6 peratus pada 2006 kepada 91.9 peratus tahun lalu.

“Penggunaan bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran tersebut didapati tidak menjejaskan calon dalam peperiksaan STPM kali ini,” katanya.

Beliau berkata, MPM berpuas hati dengan keputusan keseluruhan peperiksaan tahun lalu kerana ia tidak banyak perbezaan dengan keputusan STPM yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, MPM akan memberi lebih penekanan kepada jurang yang wujud antara pelajar di bandar dan luar bandar pada masa depan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN