|
Rencana Pengarang
PILIHAN Raya Umum Ke-12 telah berlalu dengan selamat mengikut lunas Perlembagaan dan perundangan negara.
Rakyat pula telah menyatakan pilihan mereka dengan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat untuk memerintah walaupun kehilangan majoriti dua pertiga.
Dengan kemenangan di 140 kawasan Parlimen, dari segi undang-undang dan Perlembagaan negara ini, BN layak untuk membentuk kerajaan.
Oleh itu, ia berhak menentukan siapa yang bakal menerajui kepimpinannya tanpa perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Sebagai proses dalam sebuah negara, ia sudah tentu perlu ada Perdana Menteri dan ia sudah pasti daripada kalangan pemimpin parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.
Dalam kes BN, walaupun hakikatnya mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah, namun ia masih lagi berjaya mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan.
Tewas di empat negeri dan gagal mempertahankan majoriti dua pertiga bukan bermakna parti itu perlu dibubarkan dan pemimpin ditukar 100 peratus.
Sebagai Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan calon untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas partinya secara sah diisytiharkan memenangi pilihan raya umum kali ini.
Untuk itu berilah sokongan dan peluang kepada Abdullah untuk terus menerajui negara.
Tetapi pada masa yang sama semua komponen parti dalam BN terutama UMNO, MCA dan MIC perlu duduk dan berbincang punca mereka dilanda tsunami politik pada pilihan raya umum kali ini.
Adakah ini menunjukkan BN selama ini tidak mempunyai mekanisme sistem amaran awal untuk mengesan gerak dan riak rakyat.
Apakah selama empat tahun selepas pilihan raya umum 2004, jentera BN tidak berupaya membaca resah dan gelisah rakyat hingga akhirnya ia diturunkan pada kertas undi.
Punca kekalahan terburuk BN dalam sejarah pembentukannya sejak 1973 menggantikan nama Perikatan perlu dicari.
Kenapa begitu teruk BN dihukum? Adakah disebabkan marah rakyat kepada parti atau sekadar meluahkan rasa tidak puas hati kepada pemimpin?
Jika pemimpin yang menjadi sasaran rakyat, sudah tentu perlu ada yang bertanggungjawab supaya BN tidak terus dihukum pada pilihan raya umum akan datang.
Oleh itu BN perlu melakukan satu bedah siasat terperinci supaya kehilangan empat lagi negeri kepada pembangkang dan kegagalan mempertahankan majoriti dua pertiga bukannya datang dengan sendiri. Ada sebab dan musabab di sebaliknya yang memerlukan analisis terperinci supaya ia tidak berulang.
Buat masa ini berilah sokongan kepada pemimpin untuk terus menggerakkan parti dan menyusun strategi bagi memerintah negara.
Tetapi pada masa yang sama mesej jelas daripada rakyat melalui keputusan pada pilihan raya umum Sabtu lalu perlu menjadi asas dalam apa juga perancangan yang dilakukan selepas ini.
IKLAN@UTUSAN
|