VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Ogos 2014 / 27 Syawal 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 06/03/2008

Remaja dan sifat kepimpinan

SETIAP manusia adalah pemimpin, sekalipun hanya pemimpin kepada diri sendiri. Sifat kepimpinan wujud secara semula jadi dalam diri manusia.

Manusia mempunyai pandangan dan kemahuan, dan pastinya inginkan pandangan mereka dituruti dan dilaksanakan. Yang pasti, remaja adalah pemimpin di masa hadapan. Remaja merupakan golongan yang berusaha untuk memaksimumkan keupayaan tenaga dan kekuatan akal dan mempunyai potensi tinggi bergelar pemimpin satu masa nanti.

Namun, sejauhmanakah remaja menyedari bahawa mereka adalah pemimpin di masa depan? Sebaliknya, ramai di kalangan remaja lebih gemar melibatkan diri dengan budaya bersuka-suka (hedonistik), tidak suka berfikir dan tidak serius apabila menghadapi realiti masa kini.

Banyak aspek yang perlu ditekankan untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti di kalangan remaja supaya remaja terdidik dengan sifat kepimpinan yang benar dan mampu membantu membina negara, masyarakat dan umat.

Pemimpin yang berkualiti

Kepimpinan dalam konteks masa kini menuntut kebijaksanaan serta daya upaya yang dinamik untuk mencari formula kepada penyelesaian permasalahan umat yang semakin dihimpit cabaran globalisasi.

Tidak salah bagi seorang remaja bercita-cita menjadi pemimpin negara, asalkan mempunyai idealisme dan matlamat yang betul dalam hidupnya. Dirinya harus dilengkapi dengan ilmu, iaitu ilmu mengurus diri dan juga ilmu mengurus sistem.

Ilmu mengurus diri yang baik mampu menjadikan remaja yakin, sentiasa bersedia dan teguh menghadapi cabaran mendatang, manakala ilmu mengurus sistem adalah penting dalam membentuk suatu corak kehidupan yang bersistematik dan berlandaskan prinsip-prinsip yang telus dan amanah.

Remaja perlu dididik untuk sentiasa berusaha menguasai ilmu dan menginsafi akan peranan ilmu dalam membina negara dan umat. Gambaran yang diberi kepada umat Islam bahawa umat Islam adalah umat yang malas, suka berbalah dan hanya mengharapkan bantuan harus diubah.

Justeru, pemimpin juga perlulah di kalangan mereka yang berwawasan dan berpandangan jauh serta berupaya untuk menyampaikan pandangan dan melaksanakan idea-idea yang bernas kepada masyarakat.

Mendidik pemimpin yang berkualiti dan beristiqamah (konsisten) dengan misi dan visi bukanlah tugas yang mudah dan tidak terletak di bahu sesetengah pihak sahaja. Ia menuntut banyak proses pembelajaran dan pengalaman. Ini kerana keterampilan dan kewibawaan pemimpin amat penting dalam menempatkan diri di kalangan kepimpinan. Selain mempunyai asas keilmuan yang baik, kredibiliti seorang pemimpin juga diukur sama ada memiliki akhlak contoh dan peribadi mulia. Pemimpin yang mempunyai asas ilmu yang baik dan peribadi yang mulia akan melahirkan pengikut yang bijak serta matang menghadapi isu-isu yang timbul.

Dalam Islam, Allah mengutuskan rasul dan nabi untuk menjadi pemimpin kepada kaum mereka. Dalam setiap diri nabi itu wujud sifat bijaksana dan Allah telah membentuk peribadi para anbiya dengan keteguhan sifat dan contoh ikutan yang tinggi. Allah berfirman: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (al-Ahzab: 21)

Oleh itu, kebijaksanaan akal perlu dikuatkan dengan iman dan peribadi yang mulia agar kepimpinan yang ditonjolkan berupaya merubah masyarakat ke arah sistem yang lebih dinamik dan maju dalam kerangka mentauhidkan yang Esa.

Selain itu, pemimpin yang baik juga harus mempunyai keupayaan menawarkan khidmat terbaik dan mampu mencari pendekatan terhadap masalah kepimpinan dan kepengikutan dengan bijaksana. Dalam konteks ini, remaja mempunyai pandangan dan kebijaksanaan yang terbatas.

Justeru, ilmu aqli dan ilmu naqli harus diseimbangkan agar permasalahan yang mendatang dapat diharungi bukan sahaja dengan pandangan zahir dan bersifat material tetapi juga dengan kekuatan rohani dan spiritual yang tinggi.

Secara umumnya remaja adalah golongan yang mempunyai banyak tenaga dan sifat memberontak yang kuat. Remaja mudah melatah, suka bertindak mengikut emosi namun tidak dinafikan semangat mereka yang tinggi. Oleh itu, remaja harus dididik supaya semangat tinggi dan keberanian dapat disalurkan ke lorong yang betul dan bermanfaat. Sikap bersedia menerima pandangan orang lain dan tabiat berbincang boleh disuburkan untuk melatih remaja supaya lebih terbuka dan terdedah kepada isu-isu persekitaran.

Dalam mendidik remaja menjadi pemimpin yang berkualiti, sikap kepekaan dan prihatin terhadap keadaam sekeliling adalah amat penting. Ini kerana, keramahan dalam memberi daya pimpinan mampu memikat perhatian pengikut agar faham mesej dan perjuangan yang ingin disampaikan. Pemimpin juga harus berupaya menjiwai dan mengamati permasalahan setempat serta mengolah cara penyelesaiannya.

Tanpa sikap prihatin dalam diri pemimpin, akan timbullah masalah yang berkuasa menindas mereka yang lemah, sekali gus tiada pembelaan masyarakat bawah. Apabila permasalahan dan hak-hak asas kehidupan manusia tidak dapat dipenuhi serta diburukkan oleh pemimpin yang tidak berintegriti, maka sistem masyarakat menjadi kucar-kacir.

Oleh itu, amat penting bagi remaja memahami bahawa kepimpinan mestilah mempunyai nilai-nilai yang baik untuk membantu merubah masyarakat ke arah suatu cara hidup yang lebih baik, bermakna dan saksama untuk semua.

Kesimpulan
BAKAT remaja perlu diasah dan dipupuk dengan matlamat yang betul supaya dapat melahirkan pemimpin yang seimbang, berakhlak mulia dan berketerampilan.

Banyak aspek yang perlu disuburkan dan remaja perlu dibantu supaya bakat dan potensi tidak disiakan begitu sahaja.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.