Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
TERKINI

ARKIB : 04/03/2008
Pengundi muda jangan terikut-ikut sentimen

Pengundi muda jangan terikut-ikut sentimen

04/03/2008 6:49pm

BETONG 4 Mac - Pengundi muda dan mereka yang bakal pertama kali mengundi dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan sentimen mahu menukar kerajaan sedia ada semata-mata kerana mahukan perubahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada telah terbukti mampu mengubah nasib rakyat dan menjamin masa depan yang lebih baik kepada negara.

Justeru, katanya, pengundi muda dan yang baru mengundi mestilah memilih kerajaan yang boleh memberi mereka pembangunan demi kebaikan negara, bukan sahaja pada masa kini tetapi untuk masa-masa akan datang.

``Kerajaan kini ditadbir dengan baik. Jadi kenapa nak ubah hanya semata-mata mahu berubah. Pada saya, kalau kita nak ubah mestilah kepada yang lebih baik.

``Jika tidak, lebih baik kekalkan kerajaan BN sedia ada,'' kata beliau pada sidang akhbar di majlis perasmian Pembangunan Tanah Bersama Tabung Haji Plantation (THP) Saribas Sdn. Bhd. di daerah kecil Pusa dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sentimen pengundi muda dan mereka yang baru mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang dilihat cenderung untuk mengubah kerajaan yang ada sekarang.

Turut hadir pada majlis tersebut, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Laila Taib; Calon BN Parlimen Batang Lupar, Datuk Rohani Abdul Karim dan Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

Najib berkata, pengundi muda tidak boleh terbawa-bawa dengan tanggapan bahawa dengan mengundi pembangkang akan boleh membawa perubahan sedangkan parti pembangkang di negara ini tidak mempunyai haluannya sendiri

``Tanggapan bahawa mengundi pembangkang mesti ada perubahan adalah tidak tepat. Ia tidak semestinya mendatangkan kebaikan kepada kita,'' kata beliau.

Beliau berkata, BN merupakan parti yang dapat mewujudkan pemuafakatan yang tulen antara semua kaum dan ini perlu diakui oleh rakyat kerana semua kaum di negara ini mampu menikmati pembangunan yang sama rata dan adil.

``Kita tahu tidak ada alternatif lain yang boleh menggantikan BN,'' katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, kesemua jentera BN mestilah bekerja bersungguh-sungguh sehingga hari pembuangan undi 8 Mac ini.

Apa yang penting, katanya, ialah memastikan penyokong-penyokong BN keluar mengundi supaya majoriti BN akan menjadi lebih besar berbanding pilihan raya umum sebelum ini.

``Saya masih positif bahawa rakyat masih menyokong BN. Saya berharap semua komuniti di negara ini sokong kita sebab BN merupakan parti yang dapat mewujudkan pemuafakatan yang tulen untuk semua kaum,'' jelas beliau.

Beliau juga ditanya tentang dakwaan Pas bahawa kerajaan BN membuat pakatan sulit dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan calon BN menang di Kelantan, beliau menegaskan perkara itu tidak berlaku.

``Kita tiada pakatan sulit dengan SPR. Peluang untuk calon BN menang kini terletak di tangan rakyat,’’ katanya.

Beliau juga memberitahu kedatangannya ke Sarawak adalah untuk membantu jentera BN yang kini dilihat berjalan dengan baik dan mampu menyumbang majoriti kemenangan yang lebih besar kepada BN.

``Kita berharap Sarawak sekali lagi menyumbang kemenangan yang besar kerana Sarawak ini secara tradisi adalah kubu kuat kepada BN,'' katanya. - Utusan

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN