|
BUTTERWORTH 3 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pengundi menolak konsep negara kebajikan yang dicanangkan pembangkang kerana ia akan mengakibatkan rakyat menjadi malas dan boleh menghancurkan ekonomi negara.
Perdana Menteri menegaskan, konsep itu jika dipraktikkan boleh menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban yang tinggi akibat kenaikan inflasi dan defisit.
Atas sebab itu, kata beliau, kerajaan lebih menekankan soal menjana banyak peluang pekerjaan dengan berusaha meningkatkan kemajuan pembangunan negara termasuk menarik pelaburan asing.
''Kalau kita nak tolong beri ikan seumur hidup, ia tidak akan menjadi maju. Itu tidak boleh menjadi dasar tapi apa yang dibuat ialah ajar cara mengail untuk cari ikan.
''(Konsep) negara kebajikan jadikan rakyat malas, tak kerja pun dapat duit. Kita tidak boleh tabur RM6,000 (setahun) kepada setiap keluarga sebab nanti inflasi dan defisit meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bangunan Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) Seberang Jaya di sini hari ini.
Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie.
Turut serta ialah para pemimpin dan ketua pegawai eksekutif syarikat utiliti negara tersebut.
Konsep 'Menuju Negara Berkebajikan' merupakan inti pati manifesto Pas yang dilancarkan sempena Pilihan Raya Umum Ke-12, yang antara lain mahu memberi pendidikan percuma di peringkat institusi pengajian tinggi di negara ini.
Pelan rancangan negara kebajikan Pas itu turut disokong oleh DAP dan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR).
DAP, misalnya, berjanji untuk memberikan bantuan RM6,000 setahun kepada keluarga berpendapatan kurang RM6,000 setahun manakala PKR mahu menurunkan harga petrol dan diesel sebanyak 30 sen.
Menurut Abdullah, sebab itu beliau berharap rakyat menyedari bahawa konsep negara kebajikan memang tidak boleh dipraktikkan.
''Tentang naik turun harga minyak, kalau turun seluruh dunia mesti turun. Apa yang berlaku dalam negara ini, kita hanya boleh tangani kesan-kesan penurunannya.
''(Oleh itu apa) yang perlu rakyat tanya (sekarang) ialah apa yang telah kerajaan buat. Kalau tidak boleh turun harga minyak, apa yang kerajaan boleh lakukan," katanya.
Perdana Menteri berkata, apa yang boleh dilakukan kerajaan tanpa menabur wang secara percuma ialah mengurangkan beban perbelanjaan rakyat.
Dalam konteks ini, kata beliau, adalah menjadi dasar kerajaan menyediakan semua bantuan supaya rakyat dapat berdikari dan produktif.
''Rakyat terus diberikan kemudahan, menimba kemahiran dan ilmu pengetahuan tetapi kalau bagi duit, duit akan cepat habis, lepas itu nak lagi (duit)," katanya.
Mengenai pembangunan Malaysia, Perdana Menteri berkata, tempoh empat tahun beliau memimpin negara bukan satu masa yang gagal sebaliknya banyak kejayaan yang dibuktikan kepada rakyat.
Beliau mengakui walaupun ada sedikit masalah dalam pentadbiran namun ia dapat diselesaikan dengan cepat.
''Kita (kerajaan) bukan pekak, kita dengar masalah rakyat. Kita bukan lena (tidur) atau tidak buat kerja malahan janji-janji dalam manifesto akan kita laksanakan.
''Rakyat bekerjasama dengan saya dan saya akan bekerjasama dengan tuan-tuan dan puan-puan semua," katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|