|
DALAM psikologi, ada beberapa cara digunakan untuk mengurangkan penderitaan yang dialami oleh individu.
Individu menggunakan mekanisme atau helah bela diri untuk mengurangkan kesan kesakitan dan konflik yang dialami. Mekanisme ini banyak digunakan dalam politik terutama sekali ketika kempen pilihan raya.
Pada banyak waktu, helah bela diri ini digunakan untuk menutup kelemahan calon bertanding atau parti politik.
Justeru, pelbagai cerita negatif dibuat oleh pembangkang supaya parti pemerintah bergaduh dan menjadi lemah sehingga memudahkan mereka (pembangkang) mendapat keuntungan daripada keadaan yang kelam-kabut itu.
Menyangkal atau penafian merupakan satu helah bela diri yang digunakan untuk menafikan dan menolak akan wujudnya sesuatu realiti. Contohnya, sesuatu parti politik akan menggunakan kaedah penafian untuk menolak tentang pembangunan, kemajuan dan pelbagai kejayaan cemerlang yang telah dilakukan oleh pihak lawan.
Dalam kempen pilihan raya, projeksi juga digunakan. Projeksi ialah satu kaedah yang digunakan untuk membalik desakan dan keinginan yang tidak diterima oleh seseorang individu kepada orang lain. Misalnya, dalam konteks politik, kegagalan sesebuah parti politik untuk mentadbir sesuatu negeri tidak dapat diterima oleh parti politik tersebut. Sebaliknya kegagalan itu dianggap dimiliki oleh parti lawan. Kegagalan mentadbir dikatakan tidak wujud dalam parti politiknya tetapi sebaliknya wujud dalam pihak lawan
Ada kalanya parti politik menggunakan kaedah agresif dalam kempen pilihan raya. Keagresifan ialah satu tindakan bagi mengeluarkan, mencederakan atau merosakkan punca-punca ancaman atau kekecewaan. Misalnya, menggunakan cara yang agresif dalam kempen pilihan rayanya seperti mengugut penyokong parti lawan.
Mekanisme bela diri selalu berlaku dalam kehidupan harian yang dianggap normal. Ia dapat mententeramkan diri sementara sebelum dirinya memperoleh bantuan dan dapat menambahkan kemahiran hidup supaya diri menjadi lebih kreatif. Di samping itu, menggunakan mekanisme bela diri juga memberikan masa untuk seseorang itu menilai kelemahan diri dan mencari cara yang difikirkan sesuai untuk menyelesaikan masalah.
Bagaimanapun, sekiranya digunakan dengan berlebihan atau keterlaluan ia akan menimbulkan masalah kerana individu akan sering berselindung di sebalik tingkah lakunya yang sebenar.
Dalam konteks kempen pilihan raya, walaupun pelbagai mekanisme bela diri digunakan untuk memancing pengundi, adalah amat penting bagi pengundi untuk tidak terpengaruh dengan helah tersebut.
IKLAN@UTUSAN
|