|
![]() |
|
Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO cawangan Pulau Sebatik, Sabah menaiki lori untuk menjelajah dari kampung ke kampung ketika berkempen. |
MENGAMATI kemeriahan pilihan raya yang memasuki fasa berkempen sejak lima hari lalu, bukanlah sesuatu yang sukar untuk menilai suasana kempen ketika ini berlangsung dalam keadaan suram dan membosankan.
Melainkan poster dan kain rentang, itu pun di sesetengah kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor tidak begitu kelihatan, selebihnya kempen pilihan raya kali ini seolah-olah tidak diambil peduli.
Sama ada calon yang bertanding masih dalam situasi ‘memanaskan badan’, atau tiada sambutan daripada rakyat kebanyakan, tempoh yang berlalu sebelum tibanya waktu penting 8 Mac ini tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.
Ini kerana sela masa dalam seminggu inilah yang merupakan tempoh paling penting buat wakil rakyat untuk menarik undi dan kepercayaan orang ramai memilih mereka untuk berkhidmat.
Jika pada peringkat awal ini lagi sudah tidak ditunjukkan kesungguhan, bagaimana mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu untuk bekerja apabila diberikan mandat?
Mungkin ada yang beranggapan, di sesetengah kawasan yang pengaruh parti tertentu boleh dilihat dengan jelas tidak memerlukan kempen yang terlalu agresif atau bersungguh-sungguh. Tetapi jangan dilupa, di kawasan yang kononnya ‘selesa’ inilah juga kebiasaannya parti lawan akan menggempur habis-habisan.
Mengakui kurang merasakan kehangatan kempen pilihan raya kali ini, pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nidzammudin Sulaiman berpendapat, ia mungkin disebabkan kelewatan jentera dalam parti menyusun strategi untuk bertanding.
Kelewatan itu katanya, barangkali kerana tidak bersedia termasuk tidak mempunyai senarai calon yang lengkap apabila Parlimen dibubarkan secara mengejut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
‘‘Sebab itu kalau kita perhatikan sewaktu proses penyerahan senarai calon, ada beberapa negeri yang agak terlewat kerana tidak menjangkakan akan berlangsungnya pilihan raya dalam masa yang terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nidzammudin menambah, tidak seperti pilihan raya lepas terutamanya pada 1999 dan 2004, kedatangan pilihan raya kali ini juga tidak memberi banyak isu dan peluang kepada pembangkang untuk disensasikan sebagai modal berkempen.
Beberapa isu seperti kenaikan harga barang dan minyak misalnya, tidak begitu berjaya mencuri perhatian rakyat yang menyedari bahawa isu tersebut adalah bersifat universal dan di luar kawalan parti pemerintah sedia ada.
Kemeriahan
Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian berpendapat, masih terlalu awal untuk melihat kemeriahan kempen pilihan raya ketika ini apatah lagi tempoh diberikan kepada parti untuk berkempen juga agak panjang iaitu selama 13 hari.
Dalam peringkat awal tempoh berkempen ketika ini juga jelas beliau, wakil rakyat dan jentera parti lebih sibuk membuat persiapan teknikal termasuk menyediakan poster, banting dan sebagainya sebaik calon mereka disahkan layak untuk bertanding.
‘‘Bagaimanapun, momentum kempen pilihan raya ini akan berubah menjadi lebih meriah dan hangat menjelang beberapa hari sebelum tiba hari mengundi,” katanya.
Sivamurugan menambah, meskipun isu yang akan dibangkitkan dalam kempen pilihan raya kali ini tidak begitu menonjol dan boleh dipatahkan, calon wakil rakyat bagaimanapun tidak boleh mengambil mudah dan sebaliknya perlu sentiasa turun padang berjumpa dengan pengundi.
Kempen dari rumah ke rumah misalnya, adalah pendekatan berkempen paling berkesan dalam mendekati dan memperkenalkan diri kepada rakyat apatah lagi kebanyakan calon dalam pilihan raya kali ini adalah muka baru.
Ketika ditanya apakah kempen secara debat terbuka seperti yang diminta oleh sesetengah parti sesuai diamalkan di negara ini, beliau menjelaskan, belum tiba masanya rakyat Malaysia boleh berbahas tentang sesuatu perkara dengan matang dan bersifat umum.
‘‘Persoalan utama dalam debat umum ialah kita tidak tahu sejauh mana calon yang bertanding boleh berbahas tanpa menyentuh isu-isu sensitif berkaitan perkauman, agama, bahasa dan sebagainya sesuai dengan suasana majmuk dalam masyarakat di negara ini.
Ini kerana sekiranya batas-batas ini dilangkaui, ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan tidak mustahil akan mewujudkan ketegangan di antara kaum,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berkata, kemudahan capaian kepada maklumat terkini mengenai perkembangan politik semasa sama ada menerusi media cetak dan elektronik turut mempengaruhi kemeriahan kempen pilihan raya kali ini.
Pengundi katanya, dapat menilai manifesto dan perjuangan parti menerusi liputan meluas media dan tanpa sebarang isu besar yang perlu diperjelaskan, kehadiran ke majlis ceramah bagi sesetengah golongan tidak lagi dianggap perlu.
‘‘Kurangnya kempen-kempen yang agresif dalam pilihan raya kali ini juga mungkin disebabkan pengundi sudah mempunyai parti pilihan masing-masing dan janji-janji calon yang berkempen tidak akan sesekali mempengaruhi undi mereka,” katanya.
Bagaimanapun menurut Amir, beliau tidak menolak pergerakan kempen seperti ceramah yang agak perlahan ketika ini adalah disebabkan peringkat berkempen yang masih awal dan keadaan akan berubah apabila menghampiri tarikh membuang undi pada 8 Mac ini.
Ini kerana katanya, amalan turun padang untuk berkempen di kalangan calon wakil rakyat yang bertanding adalah satu tradisi dalam pilihan raya dan keadaan itu masih diperlukan sama ada oleh calon ataupun rakyat.
IKLAN@UTUSAN
|