|
![]() |
|
Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan jemaah masjid selepas menunaikan solat Isyak dan bacaan Yasin di Masjid Jamek Pongsu Seribu di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. |
KEPALA BATAS 28 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak terikut-ikut rentak pembangkang dengan mengumpat dan memaki hamun calon-calon pilihan raya parti lawan.
Perdana Menteri menegaskan, dalam konteks hubungan antara manusia, semua insan perlu menghormati dan menunjukkan kesopanan serta ketertiban kepada orang lain walaupun dalam bidang politik.
Sambil menyifatkan fatwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membenarkan calon parti itu membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan sebagai sesuatu yang menghairankan, Abdullah berkata, Abdul Hadi telah mengajar orang melakukan perkara yang tidak betul.
‘‘Saya hairan mengapa Presiden parti Islam boleh membuat fatwa yang macam itu. Sebenarnya ini adalah perbuatan yang ditegah oleh agama kita.
‘‘Takkan dia tidak faham, tapi dia masih lakukan. Jadi nyatalah walaupun dia memimpin parti Islam, dia memimpin dan mengajar orang buat (perkara) tidak betul,” kata Abdullah.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Kepala Batas di Dewan Milenium di sini hari ini.
Abdullah mengulas fatwa terbaru Abdul Hadi dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 yang membenarkan semua calon Pas yang bertanding mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan masing-masing.
Menurut Presiden Pas itu, Islam membenarkan tindakan tersebut kerana urusan memilih pemimpin merupakan satu perkara yang amat besar selain menepati sistem demokrasi moden.
Malah, Abdul Hadi turut menyamakan tindakan tersebut dengan sebuah hadis Rasulullah S.A.W. berhubung soal mencari jodoh yang membenarkan keburukan seseorang itu didedahkan bagi mengelak berlakunya penganiayaan kepada pasangan.
Abdullah berkata, Abdul Hadi memang seorang yang suka mengeluarkan fatwa malahan sebelum ini pernah membuat perkara yang serupa.
‘‘Dulu dia buat macam-macam fatwa juga. Dia rajin keluarkan fatwa sebenarnya,” kata Perdana Menteri.
Sebelum ini Pas mengkafirkan UMNO kerana mendakwa parti tonggak BN itu bersekongkol dengan MCA dan MIC sehingga mengeluarkan hukum bahawa daging sembelihan orang UMNO tidak boleh dimakan malah tidak boleh berimamkan orang-orang UMNO.
Sementara itu, Abdullah mahu umat Islam bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan tetapi turut membuat tambah nilai bagi memastikan Islam disegani dan dihormati.
Beliau menarik perhatian bagaimana negara-negara Islam tertentu berpecah- belah dan dilanda pergolakan disebabkan kegagalan membangunkan negara berikutan ketandusan ilmu.
“Kalau nak maju dan berjaya, inilah pilihan kita iaitu kuasai ilmu. Atas sebab itu, saya kata modal insan perlu diperkasakan. Barulah kita umat Islam boleh berjaya, dihormati, dan dimuliakan,” katanya ketika menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yasin di Masjid Pongsu Seribu di sini malam ini.
IKLAN@UTUSAN
|