VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 Ogos 2014 / 25 Syawal 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 24/02/2008

Kaitan makanan, kesihatan mata

MATA adalah sebahagian daripada organ manusia. Ia merupakan bahagian dalam anggota badan manusia yang paling cepat berkembang jika dibandingkan dengan bahagian lain. Saiz bola mata manusia akan berkembang antara lima hingga tujuh milimeter (mm) sahaja sepanjang hayat. Diameter bola mata bayi yang baru dilahirkan adalah 17.5mm, manakala pada orang dewasa adalah 23mm. Isipadu bola mata juga hanya akan bertambah sebanyak 3.5 sentimeter padu dari manusia dilahirkan sehingga ia dewasa.

Ketika bayi baru dilahirkan, ketajaman penglihatannya adalah 6/60, perkembangan ketajaman penglihatan mencapai ke tahap 6/6 ketika kanak-kanak berusia 4 tahun. Sekiranya berlaku masalah atau gangguan dalam proses tumbesaran manusia, seperti penyakit kronik atau kekurangan makanan maka ia akan mengganggu perkembangan mata dan sistem penglihatan. Oleh itu, keseimbangan dalam pemakanan adalah amat penting untuk menjaga kesihatan mata dan sistem penglihatan.

Makanan yang seimbang mestilah terdiri dari tiga kumpulan makanan utama:

1. Kumpulan makanan untuk tumbesaran iaitu makanan yang mengandungi protein seperti ikan, daging, ayam, makanan laut, kekacang, susu dan hasil-hasil tenusu.

2. Kumpulan makanan yang memberi tenaga iaitu makanan berkarbohidrat dan makanan yang berlemak seperti nasi, bijirin, mi, minyak masak dan marjerin.

3. Kumpulan makanan yang mengelak penyakit iaitu makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Telah diketahui bahawa vitamin, garam galian, protein, karbohidrat, lemak dan air memberi kesan ke atas sistem penglihatan.

VITAMIN A

Vitamin A juga dikenali sebagai Retinol. Retinol berfungsi ke atas sel-sel yang sensitif pada cahaya di retina. Bersama protein iaitu Opsim, vitamin A akan bergabung membentuk Rhodopsin, pigmen yang sensitif kepada cahaya. Rhodopsin banyak terdapat pada sel-sel rod pada retina. Kekurangan vitamin A yang ketara boleh menyebabkan ‘rabun malam’. Pada sel kon, terdapat satu pigmen iaitu visual violet yang berfungsi untuk penglihatan warna. Vitamin A juga menjadi sebahagian komponen dalam membentuk visual violet ini.

Secara amnya vitamin A perlu untuk membolehkan mata melihat dalam keadaan kurang cahaya, memastikan perkembangan tubuh, memastikan kesihatan kulit dan memperbaharui tisu tubuh.

Dalam bentuk asli, Retinol (vitamin A) boleh didapati dari hati, ginjal, keju, kuning telur dan mentega. Dalam bentuk kedua, vitamin A adalah keratan yang boleh diperoleh dari sayur seperti lobak merah, bayam, kubis dan tomato. Dianggarkan kira-kira 80,000 orang di seluruh dunia mengalami masalah penglihatan akibat kekurangan vitamin A setiap tahun.

VITAMIN B KOMPLEKS

Vitamin B kompleks memainkan peranan penting dalam proses penglihatan. Masalah mata yang dihadapi dari kekurangan vitamin B kompleks termasuklah mata berair, keletihan mata berpanjangan dan sensitif pada cahaya.

Dikenali sebagai Tiamin, viatamin B1 merupakan co-enzim bagi tindak balas pembuangan karbondioksida (CO2). Kekurangan Tiamin akan mengganggu metabolisme karbohidrat serta menyebabkan sakit pada bahagian belakang bola mata. Vitamin B1 boleh didapati daripada yis, bijirin, kacang, daging dan hati.

Dikenali sebagai Riboflavin, vitamin B2 merupakan co-enzim untuk proses pembebasan hidrogen dari pelbagai struktur halus. Pada mata, kekurangan vitamin B2 menyebabkan rasa panas mata dan berkaitan dengan pembentukan katarak. Sumber vitamin B2 ialah susu, putih telur, hati dan sayuran berdaun.

Dikenali sebagai Pirodoksin, vitamin B6 bertindak sebagai co-enzim bagi proses tindak balas pemindahan kumpulan asid amino. Vitamin B6, B15, B2, Vitamin C dan Kolin dipercayai boleh mengehadkan tekanan kepada mata. Sumber vitamin B6 adalah bijirin, hati dan sayur segar.

Dikenali sebagai Sianokobalamin, vitamin B12 berperanan dalam proses pembentukan sel darah merah. Dalam badan manusia, vitamin B12 dihasilkan oleh usus. Pada mata, kekurangan vitamin B12 menyebabkan berlakunya penguraian lapisan yang melindungi hujung saraf. Penguraian ini juga ada kaitan dengan tabiat merokok yang boleh menyebabkan ‘Tobacco Ambyopia’. Sumber vitamin B12 ialah hati, susu, telur dan daging.

ASID FOLIK

Berperanan dalam sintesis beberapa Nukleotid bagi pembentukan protein nuklear dalam proses pembahagian sel dan pembentukan sel darah merah. Sebahagian besar bola mata terdiri daripada protein, maka kekurangan asid folik boleh menjejaskan kesihatan mata. Selain itu kekurangan asid folik boleh menyebabkan anemia (kurang darah) dan pembentukan antibodi yang berkurangan. Sumber asid folik adalah sayur berdaun, hati, cendawan dan yis.

VITAMIN C

Vitamin C boleh didapati dalam bentuk Bioflavinoid dan asid askorbik. Vitamin C perlu di dalam pemakanan setiap hari. Kanak-

kanak yang meminum susu botol kurang mendapat vitamin C berbanding dengan susu ibu. Kepekatan vitamin C agak tinggi dalam cecair bola mata iaitu dalam Aqueous dan Vitreous Humour serta kanta mata. Kekurangan vitamin C boleh menyebabkan penyakit skurvi, di mana berlaku anemia, gusi berdarah dan sendi-sendi bengkak dan mudah berdarah. Pada mata, kekurangan vitamin C boleh menyebabkan katarak akibat diabetes. Sumber vitamin C adalah buahbuahan segar seperti limau, sayur segar seperti kubis dan tomato.

VITAMIN D & E

Vitamin D & E mempertahankan struktur sklera mata dan mencegah bola mata dari menjadi tegang dan membesar akibat tekanan intraokular. Jadi ia dipercayai boleh mencegah terjadinya Axial Myopia (rabun jauh disebabkan bola mata membesar dari saiz normal). Sumber vitamin D dan E adalah minyak ikan, kuning telur, susu dan marjerin.

PROTEIN

Protein berperanan penting dalam sel hidup. Protein dibentuk dari Asid Aminodan merupakan bahan asas semua benda hidup. Kekurangan protein akan mengganggu proses tumbesaran pada kanak-kanak. Ia juga boleh menyebabkan hilang ketahanan terhadap penyakit. Kajian menunjukkan adanya kaitan antara kekurangan protein dengan keadaan rabun jauh. Protein yang mencukupi dalam diet boleh mengelak berlakunya rabun jauh. Sumber protein adalah daging, telur, ikan, ayam dan susu.

KARBOHIDRAT

Karbohidrat adalah sumber tenaga untuk manusia. Tenaga diperlukan untuk setiap aktiviti sel dalam tubuh, termasuk juga sel pada bahagian mata. Tenaga yang dihasilkan perlu untuk aktiviti hidup manusia. Kekurangan karbohidrat boleh menyebabkan rabun jauh pada mata. Sumber karbohidrat adalah nasi, bijirin, gula halus, kanji dan lemak haiwan.

AIR

Air adalah unsur tubuh paling mustahak. Tubuh manusia dibina dengan 60 peratus air. Air merupakan medium untuk sebarang tindak balas kimia dalam tubuh. Air juga akan mengekalkan bentuk sel dalam tubuh manusia.

Antara fungsi air dalam tubuh adalah memberi bentuk dan struktur kepada tubuh, sebagai medium bagi kitaran metabolisme sel danmenstabilkan suhu tubuh.

Secara amnya apabila seseorang mendapat makanan seimbang, ia akan menjadikan seluruh tubuh badan sihat, cergas, responsif dan bertenaga. Makanan seimbang bukan setakat perlu untuk kesihatan mata, tapi ia perlu untuk seluruh perkembangan fizikal dan mental manusia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:33
Maghrib 7:25
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.