|
![]() |
|
Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri, Jeanne Abdullah disambut meriah oleh penuntut kolej setibanya untuk merasmikan Kampus Utama Kolej SEGi di Kota Damansara, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Mohd Farizwan Hasbullah. |
SUBANG 18 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, senarai calon yang dikemukakan oleh negeri-negeri dan parti komponen untuk Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak boleh dianggap muktamad.
Ini kerana Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan, keputusan akhir mengenai siapa calon yang akan bertanding dan di kawasan mana mereka diletakkan akan ditentukan oleh beliau sendiri.
Setakat ini, menurut Perdana Menteri, beliau belum memutuskan senarai akhir calon itu.
‘‘Belum lagi. Jadi sebarang kenyataan yang dibuat oleh sesiapa pun mengenai pencalonan tidak boleh diterima sebagai muktamad,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kampus induk Kolej SEGi di Kota Damansara di sini hari ini.
Beliau turut ditanya mengenai tindakan sesetengah pemimpin parti komponen mengumumkan sendiri calon dan kawasan yang akan ditandingi mereka pada pilihan raya kali ini.
Mengulas perkara itu, Abdullah berkata: ‘‘Biarlah dia nak buat (pengumuman). Mai kat saya nanti, saya tukar pula. Baru dia kelam-kabut.’’
Ditanya kemungkinan ada lagi Ketua Menteri atau Menteri Besar selain Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang akan beralih ke Parlimen, beliau sekali lagi menjelaskan: ‘‘Senarai belum lagi ditetapkan siapakah calon-calon dan di mana mereka akan bertanding.’’
Dalam pada itu, Perdana Menteri menafikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo ada berjumpa dengannya bagi membincangkan senarai calon negeri itu hari ini.
Walaupun Dr. Mohamad Khir mahupun Ketua Menteri atau Menteri Besar lain ada ke Putrajaya katanya, tidak semestinya mereka datang berjumpa beliau.
Ini kerana kata Perdana Menteri, mereka telah diminta menyerahkan senarai nama calon masing-masing kepada Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Thajudeen Abdul Wahab.
Ditanya langkah Pas memberi laluan kepada bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali untuk bertanding kawasan Parlimen itu, Abdullah enggan mengulas.
Perdana Menteri juga enggan memberikan reaksi terhadap kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan komponen utama BN sebagai ‘orang utan’ kerana kononnya menolak Islam dan al-Quran.
Sementara itu di Putrajaya, borang pencalonan bertanding pilihan raya umum ke-12 laris bagai ‘pisang goreng panas’ apabila sebanyak 1,825 set borang tersebut telah dibeli daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat petang ini.
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor berkata, sejumlah 1,125 set borang untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 700 borang kerusi Parlimen dibeli sejak penjualannya dibuka seminggu lalu.
Katanya, setiap set borang satu muka surat itu berharga RM20.
‘‘Kita cetak set borang pencalonan itu dalam jumlah yang banyak. Orang hendak beli, jadi kita (SPR) tidak tolak,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sejumlah 30 parti berdaftar dijadual bertanding merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN pada pilihan raya umum 8 Mac ini.
Bakal-bakal calon masih boleh membeli borang pencalonan sehingga hari penamaan calon pada 24 Februari ini.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|