Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 19/02/2008
Program tiada kaitan pilihan raya

Program tiada kaitan pilihan raya

KUANTAN 18 Feb. - Jabatan Latihan Khidmat Negara menegaskan Program Khidmat Komuniti tiada kaitan dengan pilihan raya umum yang akan diadakan 8 Mac ini.

Ketua Pengarahnya, Abdul Hadi Awang Kechil berkata, kehadiran pelatih PLKN pada program yang dilancarkan pada 13 Februari lalu bertujuan memenuhi Modul Khidmat Komuniti yang sudah dirangka dalam program PLKN.

''Saya berharap masyarakat jangan salah anggap dengan kehadiran pelatih PLKN kerana tujuan kita adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka menerusi konsep gotong-royong.

''Lagipun, jadual itu dirancang terlebih awal dan mungkin secara kebetulan jadual tersebut bersamaan dengan tarikh pembubaran Parlimen," katanya ketika ditemui di Dewan Serba Guna Kampung Cherok Paloh di sini hari ini.

Modul Khidmat Komuniti telah dimulakan sejak 2004 bertujuan membina penampilan pelatih.

Setakat ini seramai 308,948 pelatih menjalani latihan berkenaan untuk kumpulan 1 siri 5/2008 dan pada masa ini sejumlah 32,222 pelatih sedang menjalani latihan yang bermula dari 13 Februari hingga 5 Mac depan.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati semua pelatih PLKN yang terlibat dengan program tersebut gembira kerana berpeluang mengadakan gotong-royong dengan masyarakat setempat.

Bagi Siti Haifullia Ayob, 17, beliau menyifatkan dirinya sangat bertuah kerana berpeluang membantu orang kampung dengan cara menyertai aktiviti gotong-royong.

''Inilah kali pertama saya menyertai gotong-royong, memang mula-mula terasa penat tetapi lama kelamaan ia menjadi seronok selepas melihat semua kawan-kawan begitu bersemangat membuat kerja.

''Selepas ini, jika ada aktiviti gotong royong di kampung saya atau di mana sahaja, sudah pasti saya akan turut serta menyertainya," katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Seri Budiman, Terengganu.

G. Suvisha yang berasal dari Mentakab pula berkata, program khidmat komuniti wajar diteruskan kerana ia mampu membentuk perwatakan pelatih menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab.

Katanya, program tersebut juga mampu mengeratkan perpaduan sesama kaum kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain.

''Yang pasti, saya dan kawan-kawan seronok dengan program gotong-royong dan kami tidak teragak-agak untuk melakukannya lagi di lain waktu," katanya.

Pendapat tersebut turut disokong oleh Choo Wai Kien yang berasal Kuala Lumpur sambil menyifatkan program berkenaan mampu membentuk perwatakan positif dalam jiwa remaja sepertinya.

''Saya berharap amalan gotong- royong akan terus menjadi amalan dan budaya masyarakat di negara kita dan adalah lebih manis jika setiap aktivitinya disertai oleh pelbagai kaum," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN