Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
KORPORAT

ARKIB : 18/02/2008
USF-Hicom fokus import model tertentu Honda

USF-Hicom fokus import model tertentu Honda

KUALA LUMPUR 17 Feb. - USF-Hicom (M) Sdn. Bhd. (USF-Hicom) memberi fokus secara agresif bagi membawa masuk model-model Honda yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ke pasaran Malaysia.

Pengarah Urusannya, Datuk William Chong berkata, buat permulaan dua model kenderaan pelbagai guna (MPV) telah diperkenalkan iaitu Elysion dan Stepwgn berharga RM180,000 hingga RM325,000 sebuah pada Disember 2007.

Menurutnya, kenderaan yang diimport oleh USF-Hicom menggunakan permit import baru bagi membawa masuk kenderaan serba baru dan bukannya kenderaan terpakai seperti tanggapan sesetengah pihak.

''Model-model Honda ini kami pastikan tidak bersaing dengan model-model yang dibawa oleh Honda Malaysia Sdn. Bhd. yang juga anggota Kumpulan DRB-Hicom.

''Kami merancang memperkenalkan kereta sedan 2 liter dan beberapa MPV seperti generasi baru Edix yang dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM150,000 sebuah," katanya kepada wartawan Utusan Malaysia JOHARDY IBRAHIM di sini hari ini.

Ditubuhkan pada tahun 1979, USF-Hicom yang dulunya dikenali sebagai United Straits Fuso Sdn. Bhd., merupakan pengimport sah, pemasang dan pengedar kenderaan pacuan empat roda, MPV, kenderaan komersial, pikap trak dan bas Mitsubishi sehingga awal tahun 2005.

Keputusan Mitsubishi untuk menubuhkan syarikat sendiri iaitu Mitsubishi Motors Malaysia, mendorong USF-Hicom memberi fokus kepada francais kenderaan Mahindra dan model tertentu Honda ke negara ini.

Chong berkata, dalam menjalin persefahaman tinggi, model serba baru Honda yang diimport oleh USF-Hicom seperti Elysion boleh dihantar untuk disenggara di pusat-pusat servis bertauliah Honda.

''USF-Hicom sendiri memiliki 12 pusat servis yang merangkumi beberapa pusat servis Honda Malaysia di seluruh negara," kata beliau.

Mengenai model Elysion, beliau berkata, sejak mula dipasarkan pada Disember 2007, 72 buah telah dijual.

''Ia menunjukkan wujud permintaan yang baik bagi model MPV mewah seperti Elysion di negara ini. Sasaran jualan kami bagi Elysion ialah 100 buah sebulan," katanya.

Menurutnya, USF-Hicom memperkenalkan tiga varian Elysion iaitu 2.4 liter berharga RM265,000 sebuah; 3 liter (RM295,000), 3.5 liter (RM325,000) dan Stepwgn 2 liter (RM180,000 sebuah).

''Dalam usaha mencapai sasaran jualan itu, USF-Hicom sedang giat menggandakan promosi di media massa dan pameran bergerak untuk membawa model-model tersebut kepada bakal pelanggan," katanya.

Chong berkata, kajian pihaknya mendapati wujud peralihan pemilik kereta mewah daripada sedan kepada MPV, yang mungkin didorong oleh keselesaan dan kemudahan mengangkut lebih ramai anggota keluarga kerana MPV berupaya membawa enam hingga tujuh penumpang.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN