VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 April 2014 / 16 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 10/02/2008

Sheila tetap berbisa di pentas

SUDAH lama tidak merasai tenaga dan semangat sebuah persembahan konsert sebenar. Tetapi malam Jumaat dan Sabtu lalu kita berpeluang menyaksikan Sheila Majid membawa semula rasa itu ketika menjayakan konsert amal untuk tabung Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).

Bergoyang, menyanyi bersama, tidak ketinggalan gimik serta persembahan lagu-lagu encore membuatkan malam di pentas tertutup Planery Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hangat.

Walaupun pada awalnya malu-malu, mungkin juga kerana kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali (pada malam pertama) dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah (malam kedua).

Namun semakin lama, Sheila menghangatkan suasana dan moodnya dengan gaya seorang penghibur sejati yang menjadi kesayangan ramai.

Tiada sempadan untuk menikmati muziknya, kelihatan pelbagai lapisan bangsa menikmati lagu-lagu Sheila dan menyanyi bersama.

Malah alunan dendangan Sheila juga berjaya membuatkan adik, abang, kakak, mak cik dan pak cik, bertudung ataupun tidak, berbaju batik dan kurung mahupun hanya berjean dan kemeja-t, masing-masing berdiri dan bergoyang bersama-sama.

Sementelah Sheila sendiri sudah 23 tahun sebagai anak seni cukup dengan rangkaian pilihan lagu-lagu yang cukup popular dan menjadi pujaan penggemarnya.

Malah ia menjadi aset paling besar buat dirinya yang hadir bersama pemuzik handalan di bawah pimpinan suaminya, Acis dalam memberikan hiburan terbaik kepada khalayak yang merindui erti sebenar sebuah persembahan konsert.

Mempersembahkan lebih 30 buah lagu penuh dan medley popularnya sepanjang dua dekad, dua jam setengah persembahannya nyata memuaskan walaupun perancangan awalnya Sheila hanya muncul untuk menyanyi selama sejam setengah.

“Malam ini kita datang bukan sahaja untuk berhibur tetapi juga untuk usaha yang mulia,” katanya yang disambut tepukan gemuruh penonton termasuk beberapa nama popular antaranya Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Chef Wan dan Noryn Aziz.

Sememangnya yang digelar Ratu Jaz ini mempunyai pakej sempurna dalam dunia showbiz. Keindahan suaranya yang gemersik bersama himpunan lagu-lagu yang terus menjadi siulan dan iringan muzik mantap, Sheila Majid juga punya pesona untuk memuaskan setiap keinginan penggemar yang rata-rata membesar bersama lagu-lagunya.

Tanpa perlu berlebih-lebihan gayanya penampilan, Sheila juga bijak bermain mood penontonnya. Selepas lapan tahun menyepi tanpa sebarang konsert, Sheila membuka tirai persembahan pada malam itu dengan lagu Warna yang telah memperkukuhkan dirinya sebagai anak seni.

Sheila berjaya membawa kemuncak persembahannya dengan baik walaupun pada beberapa pilihan lagu awalnya agak membuatkan penonton kelihatan kebingungan. Sheila sendiri menyedarinya terutama selesai mendendangkan lagu Patung.

Tapi sebagai seorang penghibur sejati yang punya pengalaman bertahun di pentas seni, mudah sahaja Sheila menaikkan semula semangat peminatnya.

Seperti janji Sheila lagu-lagu pilihan pada malam konsert amalnya itu adalah lagu-lagu pilihan peminat. Lalu lagu yang disampaikan tidak sahaja bertenaga tetapi juga penuh emosi.

Tidak ketinggalan pastilah pilihan rangkaian lagu-lagu Seniman Agung P. Ramlee yang menjadi idolanya dan dipetik daripada album Legenda.

Lagu-lagu P. Ramlee nyata membuatkan penonton kemudiannya sama-sama ikut menyanyi dan menari bersama.

Lagu Embun menyaksikan Sheila menamatkan set pertama persembahannya dengan begitu bersahaja apabila dia dan pemuzik pengiringnya sama-sama kaku untuk beberapa ketika sebelum kemudiannya Sheila ‘turun’ dan menghilang.

Antara Anyir dan Jakarta menjadi lagu pembukaan set keduanya dengan iringan gesekan biola teman dari seberang, Henry Lamiri.

Dan persembahannya bertambah hangat dengan pilihan rangkaian lagu Aku Cinta Padamu, Percayalah, Mengapa Kasih, Emosi, Bunyi Gitar, Tiru Macam Saya dan Bila Larut Malam.

Malah pada set ini, penonton semakin sporting dan terus menyanyi dan menari bersama Sheila memaksa si genit ini hanya mampu melayan permintaan yang mahukannya terus menghibur apabila dia mengumumkan persembahannya telah sampai ke penghujungnya.

Menyampaikan lagu Ku Mohon, Sheila turut mendedikasikan lagu popularnya, Dia khas buat Mahathir yang juga penyumbang kepada gagasan penubuhan IJN.

Masih tidak puas, malam itu Sheila terus berdendang lagu Sinaran namun penonton masih belum mahu berganjak dan Sheila terus bertanya, mengusik penonton, “Lagu apa yang belum dinyanyikan?”

Dan pastinya lagu Legenda yang dinantikan dan Sheila dalam ketawanya berkata, “Aku dah agak dah” dan kemudiannya mendendangkan lagu itu sekali gus meninggalkan satu lagi kenangan manis buat ingatan peminat setia Sheila serta para dermawan yang sanggup menderma demi menjayakan misi yayasan untuk membantu pesakit jantung selain usaha-usaha untuk kajian dan penyelidikannya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.