|
![]() |
|
PENGURUS HTC Malaysia (M), SK Wong (kiri) bersama Pengarah urusan HTC (M), Frank Teh (kanan) ketika melancarkan model terbaru HTC di Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
KURANG arif tentang selok belok jalan raya mahupun kawasan yang belum pernah dituju, akan timbul sekiranya anda berada di luar negara ataupun mempunyai masalah untuk mengingati arah ke lokasi yang perlu dituju.
Kini HTC memperkenalkan model terbaru rangkaian gajet pembantu peribadi digitalnya (PDA), HTC Touch Cruise yang didatangi dengan kemudahan GPS terbina berupaya untuk bertindak sebagai penunjuk arah yang efisien.
Berbekalkan sistem navigasi GPS yang dipacu dengan sokongan perisian MapKing R12, pengguna mampu untuk pergi ke destinasi yang diingini dengan cepat, mudah dan tepat.
Menurut Naib Presiden HTC Asia, Jack Tong, model Touch Cruise tersebut membuka dimensi baru kepada HTC dalam menerapkan teknologi GPS bersepadu untuk panduan navigasi persendirian selain dilengkapi dengan ciri-ciri menarik dan merupakan PDA ketiga bagi rangkaian model HTC Touch.
‘‘Model tersebut bertujuan untuk memenuhi permintaan pengguna yang kini mempunyai pelbagai cita rasa dan kehendak yang berlainan,’’ katanya.
Masih mengekalkan keunikan reka bentuk gajet terkini berwarna hitam, HTC Touch Cruise bagaimanapun tampil dengan kemudahan pengendalian menggunakan papan kekunci dan sentuhan pada skrin mengikut keperluan.
Kepuasan
Ia sekali gus memberikan lebih pilihan dan kepuasan kepada pengguna sama ada untuk mengoperasikan gajet itu menerusi papan kekunci seperti telefon bimbit biasa atau menggunakan kayu ria di atas layar skrin sesentuhnya.
Model PDA terbaru itu turut dilengkapkan dengan teknologi mobiliti yang lebih tinggi antaranya menyokong jaringan 3.5G.
Sama seperti HTC Touch Dual, ia juga katanya merupakan antara gajet yang dipacu oleh sistem operasi terbaru untuk peranti bergerak daripada Microsoft iaitu Windows Mobile 6 Profesional dengan kelebihan pelbagai aplikasi pejabat terkini.
Gabungan jaringan 3.5G dan sistem operasi Microsoft ini membolehkan pengguna sentiasa berhubungan dengan dunia maya dengan pantas dan pada bila-bila masa sesuai dengan keperluan kepantasan bekerja golongan eksekutif dan profesional.
Penggunaan teknologi TouchFlo memang tidak asing bagi rangkaian HTC Touch sekali gus menjanjikan pengendalian optimum menyeluruh terhadap aplikasi-aplikasi dalam gajet tersebut dengan mudah dan pantas.
Secara tidak langsung, TouchFlo memudahkan pengguna untuk melihat dan memfokus hasil rakaman foto yang diambil melalui kamera 3.0 mega piksel yang disediakan selain didatangi dengan kemudahan auto fokus.
Model tersebut juga didatangi dengan teknologi HSDPA, Wi-Fi dan sambungan Bluetooth yang menjanjikan sambungan pantas kepada pengguna dalam menonton video dan mendengar muzik melalui Windows Media Player yang terbina dalam.
Harga permulaan yang ditawarkan bagi model tersebut adalah pada RM2,799 dan model tersebut boleh didapati di pasaran pada awal Februari.
Maklumat lanjut dan spesifikasi lengkap boleh didapati dengan melayari laman web www.htc.com.
IKLAN@UTUSAN
|