VERSI : Mobile | Akhbar Digital
28 Julai 2014 / 1 Syawal 1435  
  Carian Arkib
SABAH & SARAWAK

ARKIB : 08/02/2008

Bunga orkid industri berdaya saing

KOTA KINABALU 7 Feb. - Selain aktiviti pertanian dan penternakan secara besar-besaran, perusahaan bunga orkid merupakan satu lagi industri yang begitu berpotensi diteroka dan dikomersial melalui pelan tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang dilancar baru-baru ini.

Industri orkid sebelum ini kurang diberi perhatian oleh sektor swasta di Sabah sedangkan ia sebenarnya amat berdaya saing untuk diketengahkan sebagai salah satu produk yang cukup menguntungkan sama ada bagi pasaran tempatan atau dieksport ke luar negara.

Sabah sebenarnya mempunyai banyak kelebihan untuk muncul sebagai pusat pengeluar eksport utama orkid negara memandangkan negeri ini mempunyai lebih 1,000 spesies orkid yang tidak terdapat di tempat lain.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 850 spesies sahaja ditemui di Taman Kinabalu, di Ranau.

Mengikut rekod Persatuan Orkid Borneo Sabah (BOSS), kepulauan Borneo secara keseluruhan memiliki lebih daripada 1,500 spesies orkid dan sebanyak 1,000 daripadanya terdapat di seluruh hutan di Sabah.

Kekayaan sumber semula jadi itu bagaimanapun belum dimanfaat oleh pengusaha tempatan dan pihak yang bertanggungjawab lain untuk mengetengahkan potensi industri tersebut ke tempat yang sewajar dan selayaknya.

Presiden BOSS, Datuk Chan Chew Lam berkata, pada masa ini terdapat hanya 50 pengusaha bunga di Sabah yang membekalkan orkid untuk keperluan negeri ini dengan jumlah pendapatan sekitar RM50,000 setahun.

''Kita perlukan lebih ramai pengusaha orkid di Sabah, penanaman bunga ini perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan melakukannya secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

''Keperluan dalam negeri perlu diatasi terlebih dahulu kerana pada masa kini, Sabah masih mengimport orkid yang sudah siap dipotong dari Semenanjung dan juga negara jiran," katanya.

Beliau berkata, permintaan orkid di negeri ini biasanya datang dari industri hotel selain digunakan untuk majlis seperti perkahwinan, pengkebumian, hari jadi, upacara keagamaan, keramaian dan pada masa musim tertentu.

Pasaran orkid sama ada tempatan atau pun dunia terbahagi kepada tiga kategori permintaan iaitu orkid yang siap dipotong, orkid yang dikacukkan dan orkid yang dijual dengan pokoknya sekali.

Jenis orkid yang kedua menjadi permintaan utama pada masa kini dan kategori itu juga merupakan import utama ke Sabah. Selain itu, pilihan ketiga turut menjadi trend terkini berikutan jangka hayat pokoknya yang boleh hidup lama.

Orkid yang dikacukkan menjadi pilihan utama kerana ia mempunyai warna menarik, saiz lebih besar, bentuk serta kelopaknya yang berbeza selain bunga berkenaan tahan lebih lama berbanding spesies asalnya.

Bagi sesetengah negara yang tidak mempunyai orkid, bunga tersebut dianggap sebagai tumbuhan yang istimewa, unik dan eksotik. Di Sabah, setiap hari spesies orkid baru ditemui berikutan negeri ini kaya dengan flora dan faunanya.

Melalui spesies tempatan itu, ia mampu dikacuk menjadi beratus-ratus jenis orkid baru dan hasil tersebut mampu menjadikan Sabah memiliki produk orkid tersendiri yang hanya boleh didapati di Malaysia.

Justeru, bagi mengatasi masalah kekurangan orkid di sini, pengusaha tempatan perlu proaktif terlibat dalam industri tersebut dengan melakukan kajian dan seterusnya merancang penanamannya untuk jangka masa yang panjang.

Selepas keperluan dalam negeri dapat ditampung, langkah kedua yang perlu dilakukan ialah dengan mengeksport orkid yang terdapat di Sabah dan Borneo bukan sahaja ke Semenanjung tetapi ke serata dunia.

Bagi mengimport orkid ke luar Sabah, perusahaan berskala besar perlu dilakukan dan pengangkutan udara yang konsisten pada setiap hari perlu ada supaya bunga-bunga itu sampai pada waktunya bagi membolehkan ia terus segar dan tidak layu.

Bukan itu sahaja, kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah perlu memainkan peranan yang paling utama bagi memastikan industri itu mendapat pasaran bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Untuk tujuan itu, bakal para pengusaha bunga itu perlu mencontohi industri orkid di Thailand yang sudah 30 tahun membina nama dalam industri tersebut selain menjadi pengeksport utama bunga tersebut ke seluruh dunia.

Industri di Thailand itu disokong penuh oleh kerajaan mereka selain memiliki pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) khas untuk membangun dan memajukan bidang berkenaan.

Timbalan Presiden BOSS, Albert Yong Su Hin pula berkata, keistimewaan dan kemajuan industri tersebut di sana bukan sahaja diberi perhatian khusus oleh kerajaan mereka tetapi mempunyai perkhidmatan udara khas untuk tujuan eksport.

"Thailand menjadi salah satu pembekal orkid utama untuk pasaran dunia. Di negara mereka, bunga itu diambil dari kebun-kebun orkid di seluruh Thailand, kemudian dikumpul di sebuah pusat orkid khas sebelum dieksport.

"Industri orkid di sana mendapat sokongan penuh daripada pengusaha dan pihak kerajaan termasuk perkhidmatan udara yang menyediakan perkhidmatan khusus untuk mengeksport ke negara yang melanggan.

"Bekalan orkid boleh disediakan pada bila-bila masa dalam jumlah yang banyak untuk tujuan eksport dan perusahaan bunga di Thailand turut diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil," ujarnya.

Su Hin berkata, satu lagi contoh negara Asia yang berjaya dalam industri itu ialah Taiwan yang menjadi pengeksport utama orkid jenis phalaenopsis yang diusahakan di kawasan seluas 500 hektar.

Menurutnya lagi, Taiwan mengeksport 90 peratus orkid berkenaan dengan pokoknya sekali ke negara seperti Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun dengan harga yang sangat murah.

Sehubungan itu, tidak mustahil Sabah mampu muncul sebagai pengeksport utama orkid dunia kerana negeri ini mempunyai tanah yang subur, luas dan sesuai untuk penanaman bunga itu dalam skala yang besar.

Selain kawasan yang terbentang luas, Sabah juga mempunyai spesies orkid yang banyak malah sekiranya dikacukkan, akan lahir spesies baru yang lebih menarik dan unik sekali gus menjadikan negeri ini tumpuan utama dunia dalam perindustrian orkid.

Di negara seperti Taiwan, selain diusahakan di kebun-kebun bunga, ia turut diusahakan dalam bilik kaca disebabkan ketiadaan tanah yang cukup dan sesuai untuk tujuan berkenaan.

Sekiranya industri itu mampu dibangunkan secara komersial, ia secara tidak langsung akan menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun lalu yang mahukan Malaysia menjadi pengeksport orkid terbesar dunia.

Ketika berucap semasa merasmikan Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2007 di Pesisiran Tasik Presint 2 di Putrajaya, Ogos lalu, Abdullah berkata, tidak mustahil Malaysia muncul sebagai pengeksport orkid terbesar dunia.

Bagaimanapun, beliau membayangkan matlamat tersebut tidak akan dicapai selagi bunga orkid yang ditanam di negara ini tidak dieksport ke negara lain.

Sebagai langkah permulaan untuk memulakan industri itu, Pertunjukan Orkid Borneo 2007 di Kota Kinabalu pada Ogos tahun lalu yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan BOSS dilihat sebagai satu langkah untuk bergerak lebih jauh ke hadapan.

Penganjuran pameran orkid peringkat antarabangsa itu sudah tentu akan memperkenal kepelbagaian spesies dan keistimewaan orkid Borneo dan spesies orkid lain yang terdapat di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman melalui ucapannya pada majlis itu berkata, pameran seumpama itu akan melahirkan minat di kalangan masyarakat terhadap orkid dan seterusnya mengusahakan tanaman tersebut.

"Kerajaan Negeri menyokong usaha memajukan industri orkid ini kerana saya yakin ia mampu meningkatkan tahap sosio penduduk dan membantu menjana lebih banyak pembangunan di negeri ini.

"Kita berharap pameran ini akan dapat menarik minat di kalangan peminat orkid dan juga generasi muda kita di Sabah untuk menerokai industri penanaman orkid yang masih lagi belum diusahakan sepenuhnya.

"Saya menyeru pusat-pusat penyelidikan kerajaan seperti Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Pertanian, Universiti Malaysia Sabah dan taman-taman Sabah membuat penyelidikan bagaimana untuk menjana industri orkid di Sabah," ujarnya.

Selain pameran itu, usaha pihak BOSS untuk menerbit jurnal khas mengenai spesies orkid di Sabah, Malaysia dan seluruh rantau Asia Tenggara merupakan satu langkah positif untuk memperkenalkan orkid di kalangan rakyat Malaysia.

Chew Lam, selaku peneraju utama majalah berkenaan berkata, edisi pertama akan diterbitkan pada 28 Februari ini setebal 150 muka surat yang membariskan penulis dan pengkaji orkid dari seluruh dunia.

"Ia akan menampilkan spesies orkid dari seluruh dunia khususnya dari Sabah dan Malaysia. Penerbitan ini adalah yang pertama seumpamanya dan kita berharap dengan cara ini, pencinta orkid akan bertambah di Malaysia.

"Seterusnya ia akan menimbulkan kesedaran betapa negara ini kaya dengan spesies orkid dan pada masa yang sama, kita berharap perusahaan orkid akan dimulakan," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.