VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 04/02/2008

Sheila Majid - Satu dalam sejuta


PESONA dan kewibawaan Sheila Majid sebagai penghibur yang disegani tiada perlu dipertikaikan lagi.


KALI terakhir, penghibur tersohor negara, Sheila Majid bertemu dan menghiburkan peminat setianya adalah pada tahun 2001 menerusi sebuah konsert tertutup yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Setahun sebelum itu, dia tampil dengan sebuah konsert Ku Mohon yang diadakan di Stadium Negara.

Selepas itu, tiada lagi kedengaran sebarang perancangan anak jati Kuala Lumpur itu mengadakan konsert yang amat sinonim dengan dirinya.

Sudah pasti jauh di sudut hatinya, dia masih lagi mahu menghiburkan peminatnya yang tidak pernah jemu menyokongnya tetapi disebabkan sikap dan kerenah birokrasi yang melanda industri muzik, hasratnya itu dipendamkan sahaja.

Tidak keterlaluan dikatakan, jika setiap kali Sheila mengadakan konsert besar mahupun tertutup, sambutan yang diberikan terhadap persembahannya itu sememangnya luar biasa.

Lihat sahaja sambutan peminat terhadap konsertnya, Legenda The Concert yang diadakan pada tahun 1991 di Stadium Negara yang berjaya mengundang kehadiran 14,000 penonton dan peminat setianya.

Itulah penangan Sheila. Seorang penghibur yang berada di kelasnya yang tersendiri dan sudah pastinya dia merupakan antara penghibur terbaik negara dan mungkin juga di Asia Tenggara.

Mungkin kerana pesona dan populariti Sheila masih belum padam, langkah Institut Jantung Negara (IJN) untuk menampilkan penyanyi berusia 43 tahun tersebut dalam sebuah konsert amal selama dua malam berturut-turut dilihat begitu bijak sekali.

Buktinya, tiket-tiket berharga di antara RM150 dan RM350 semuanya habis dijual dan pastinya, peminat yang hadir untuk melihat Sheila beraksi untuk sekian kalinya tidak lokek untuk mengeluarkan sejumlah wang semata-mata untuk berhibur dengan penyanyi kecil molek ini.

Apatah lagi, hadirin yang hadir untuk menyaksikan konsert ini turut beramal apabila sebahagian daripada penjualan tiket akan disalurkan ke Tabung IJN bagi membantu mereka yang memerlukan.

Bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam 1 Februari lalu, gelaran penghibur sejati sememangnya layak dilabelkan kepada Sheila. Masakan tidak, sebaik sahaja dia menjelmakan diri dari bawah pentas dengan lagak seorang ratu, pekikan dan jeritan hampir 1,000 orang penonton tidak mampu dikawal lagi.

Anggun dengan mengenakan busana berwarna perak dari jenama Farah Khan, saat dia melontarkan vokalnya menerusi lagu Warna, dewan menjadi gamat dan peminatnya tidak mempedulikan rasa malu lalu terus menyanyi bersamanya.

Sheila bukanlah calang-calang penyanyi dan penghibur dan untungnya Sheila, beliau mempunyai rangkaian lagu-lagu yang cukup besar dan popular untuk dijadikan aset menghiburkan peminatnya.

Namakan sahaja lagu-lagu popularnya. Semuanya dinyanyikan oleh Sheila pada malam tersebut demi tidak menghampakan peminatnya. Lagu-lagu seperti Bahagia, Nada, Kerinduan, Pengemis Muda, Sinaran, Ku Mohon serta rangkaian lagu-lagu Seniman Agung, P. Ramlee semuanya disampaikan dengan penuh emosi dan bertenaga sekali.

Uniknya Sheila, apabila dia membuat persembahan, kita tidak akan melihat dirinya cuba untuk meniru atau mengambil konsep artis-artis lain. Kita dapat melihat Sheila akan tampil dengan dirinya sendiri dan disebabkan itu, persembahannya sentiasa menghiburkan dan jauh sekali, akan terbit rasa bosan menonton persembahannya.

Dalam usia 43 tahun, Sheila masih lagi bertenaga dan mampu memberikan persembahan yang cukup mengagumkan. Malah, vokalnya juga masih lagi ampuh dan masih mengekalkan identiti Sheila Majid yang dipegangnya selama 23 tahun menjadi anak seni dalam menyampaikan 33 buah lagu penuh dan medley.

Bukan itu sahaja, penghibur seperti Sheila juga berjaya merentasi budaya, kaum dan kedudukan apabila konsertnya itu juga berjaya mengundang pelbagai bangsa untuk sama-sama menyaksikan konsertnya. Malah, mereka juga turut sama menyanyikan lagunya sambil bertepuk tangan.

Melihat Sheila beraksi, timbul rasa bangga kerana Malaysia tidak pernah ketandusan dalam melahirkan penghibur dan bakat istimewa dalam memeriahkan industri negara.

Komunikasi Sheila dengan penonton juga cukup baik dan dia begitu bijak mengawal dan membangkitkan mood penonton. Terasa begitu dekat sekali dirinya dengan peminatnya bagaikan tiada sempadan yang dapat memisahkan mereka.

Perancangan awal, durasi konsert ini hanyalah satu setengah jam tetapi tidak mahu menghampakan peminatnya yang tidak jemu mahu menyaksikannya, Sheila meneruskan persembahannya selama satu jam lagi.

Malah, Sheila sendiri berkata, itu adalah lumrah dalam setiap persembahannya dan apa yang penting baginya adalah mahu memuaskan hati peminatnya.

Memang benar. Kepuasan maksimum dinikmati dalam menyaksikan persembahan Sheila Majid. Tiada apa lagi yang perlu diperkatakan tentang dirinya lagi.

Bukan itu sahaja, Sheila juga tidak perlu berulang kali menukar busananya. Hanya sekadar dua persalinan rekaan Farah Khan dan Michael Ong yang cukup anggun serta ditambah dengan solekan Alex Eu, sudah cukup menjadikan Sheila seorang diva di atas pentas.

Susunan muzik pada malam tersebut juga ternyata bagus, mantap dan begitu menyakinkan sekali. Barisan pemuzik handalan Pengarah muziknya, Acis yang juga suami Sheila telah menjalankan satu tanggungjawab yang besar dan ternyata, dia berjaya melakukannya. Hampir sempurna persembahan Sheila di tangannya.

Kembalinya Sheila Majid di atas pentas seperti ini, seharusnya membuka mata kepada penganjur konsert di Malaysia agar terus memberi peluang kepada penghibur profesional seperti Sheila untuk beraksi di pentas yang lebih besar.

Jika penganjur konsert boleh mengeluarkan sejumlah wang yang begitu besar hingga mencecah jutaan ringgit untuk membawa artis seberang dan luar negara, apa salahnya dilaburkan untuk artis tempatan.

Sheila Majid antara salah seorang artis yang mampu memberikan persembahan yang hebat di atas pentas. Malah, profil seninya juga hebat dan menjangkau ke negara luar seperti Indonesia dan Jepun.

Bukan itu sahaja, penyanyi generasi baru juga seharusnya mengambil peluang yang ada dan apa salahnya meluangkan masa untuk menyaksikan persembahan artis senior seperti Sheila Majid.

Malah, Sheila sendiri pernah mengakui bahawa dia tidak malu untuk menyaksikan persembahan artis-artis lain dalam usahanya untuk memperbaiki skil dan kelemahan yang ada dalam dirinya meskipun dia merupakan ikon dalam industri muzik negara.

Sekalung tahniah wajar diberikan kepada penyanyi muda dan baru seperti Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Atilia, Noryn Aziz dan Fazli Zainal yang membeli tiket semata-mata untuk menyaksikan persembahan diva itu.

Setidak-tidaknya, mereka mahu mempelajari sesuatu dari Sheila Majid dan ia merupakan satu ruang untuk memperbaiki diri masing-masing dan mempelajari sesuatu yang baru dengan menonton persembahan Sheila dari segi komunikasi dan pembawakan dirinya di atas pentas.

Sheila Majid In Concert sememangnya sudah cukup untuk membuktikan Sheila Majid merupakan penghibur yang tiada galang gantinya. Dialah satu-satunya ratu dalam sejuta! Mungkinkah selepas ini ada pihak yang mahu menaja konsert Sheila dengan diiringi pemuzik orkestra pula? Sama-sama kita tunggu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.