VERSI : Mobile | Akhbar Digital
15 September 2014 / 20 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 03/02/2008

Perkembangan terkini kaedah endoskopi


IMEJ permukaan dalaman usus kecil dapat dilihat dengan jelas menggunakan kapsul kamera.


ENDOSKOPI merupakan antara kaedah terkini untuk melihat ke dalam rongga badan manusia untuk tujuan perubatan. Kaedah ini membolehkan doktor melihat ke bahagian tertentu di dalam badan melalui kamera yang dimasukkan melalui tiub serta membolehkan pengambilan biopsi (contoh tisu) dan mengeluarkan objek asing.

Kaedah endoskopi untuk salur penghadaman boleh dilakukan melalui teknik esophagogastroduodenoskopi (OGDS) ataupun kolonoskopi. OGDS menggunakan tiub yang dimasukkan melalui mulut untuk menyiasat struktur atas salur penghadaman seperti esofagus, perut dan sebahagian duodenum (bahagian pertama usus kecil). Kolonoskopi pula menggunakan tiub yang dimasukkan melalui rektum untuk menyiasat struktur bawah sistem penghadaman, sehingga penghujung usus besar sahaja.

Kedua-dua teknik ini bagaimanapun tidak dapat digunakan untuk melihat struktur dalaman sebahagian besar usus kecil. Oleh itu, endoskopi usus kecil (enteroskopi) digunakan untuk melihat masalah dalaman usus kecil. Namun, teknik enteroskopi mengambil masa yang panjang (satu hingga dua jam) serta memerlukan pemberian ubat sedatif, menyebabkan sesetengah pesakit tidak dapat menahan ketidakselesaan akibat teknik ini.

Pakar Perunding Gatroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan pendarahan usus kecil atau anemia yang disyaki melibatkan pendarahan usus kecil menghadapi masalah prosedur diagnosis.

“Pengalaman peribadi saya menunjukkan anemia atau pendarahan dalam usus kecil sukar didiagnosis akibat batasan dalam kaedah endoskopi.

“OGDS dan kolonoskopi tidak dapat melihat struktur dalaman sebahagian besar usus kecil sementara teknik enteroskopi pula mengambil masa yang lama dan memerlukan banyak sedatif untuk pesakit,” katanya.

Menurut beliau, doktor yang melakukan ujian enteroskopi juga perlu terlatih dan berpengalaman untuk melihat keseluruhan usus kecil sepanjang 20 hingga 25 kaki (6.1 hingga 7.6 meter) tanpa mencederakan usus pesakit.

Tambahnya, kerapkali pemeriksaan enteroskopi tidak dapat dilakukan secara menyeluruh disebabkan tempoh prosedur yang memakan masa, terutamanya pada hari ramai pesakit menunggu untuk pemeriksaan endoskopi.

Pendarahan usus kecil antara bahagian akhir duodenum, jejunum dan ileum jarang berlaku tetapi kebiasaannya berlaku akibat ulser, polip atau salur darah abnormal (angiodisplasia) yang menyebabkan pendarahan bermula dan berhenti secara tiba-tiba. Untuk itu, satu teknologi baru dikenali sebagai endoskopi kapsul kini diperkenalkan untuk memudahkan diagnosis masalah kesihatan melibatkan usus kecil. Teknik ini menggabungkan penggunaan kamera mini dalam bentuk dan saiz kapsul ubat untuk melihat struktur dalaman salur penghadaman.

Pil kamera

Mengikut Dr. Ahmad Shukri, Hospital Putrajaya sendiri telah mula menggunakan teknik endoskopi kapsul sejak tiga bulan lalu dan kini merupakan antara hospital terawal menggunakan teknologi berkenaan.

“Pil kamera ini khusus untuk salur penghadaman dan menjadi prosedur sampingan selain OGDS dan kolonoskopi.

“Walaupun tidak memerlukan latihan khas untuk menggunakan teknologi baru ini, pakar gastroenterologi lebih sesuai melakukan ujian berkenaan supaya mudah mengenal pasti struktur dalaman usus yang normal atau tidak serta menentukan prosedur atau rawatan selanjutnya untuk pesakit,” ujarnya.

Beliau menyatakan kapsul ini juga tidak akan digunakan semula untuk pesakit berasingan dan ia akan dilupuskan bersama najis pesakit selepas lapan jam rakaman berjalan.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, selain amat mudah digunakan, kapsul kamera ini turut menyampaikan imej jelas struktur dalaman usus kecil berbanding kaedah sedia ada.

“Kapsul ini cuma perlu ditelan seperti ubat biasa dan imej akan dirakamkan untuk dinilai oleh pakar gastroenterologi.

“Teknik ini jauh lebih mudah untuk pemeriksaan usus kecil di samping selamat digunakan, tidak memerlukan wayar, tidak invasif dan tidak memerlukan sedatif untuk pesakit,” jelasnya.

Katanya lagi, teknik ini juga lebih sensitif dan lebih baik daripada kaedah lain yang digunakan kini untuk pemeriksaan salur penghadaman dan merupakan yang paling berkesan untuk diagnosis masalah usus kecil.

Pemeriksaan

Pil kamera ini juga dikatakan boleh diguna untuk melihat punca sakit perut yang sering berulang, berkemungkinan disebabkan polip besar atau ulser. Selain itu, ia juga sesuai digunakan untuk kes cirit-birit kronik, penyakit Crohn (usus kecil membengkak), barah seperti Limfoma dan juga untuk mengesan jangkitan kuman tuberkulosis di dalam usus kecil. Penggunaan pil kamera ini berjaya mengurangkan masa ujian dan menjimatkan kos tetapi ini tidak bermakna ia akan menggantikan kesemua teknik endoskopi yang lain.

Dr. Ahmad Shukri menegaskan OGDS masih menjadi ujian pilihan untuk salur penghadaman sehingga awal usus kecil, kolonoskopi untuk usus besar sementara pil kamera ini khusus untuk usus kecil sahaja.

“Penggunaan pil kamera ini untuk saringan kanser usus kecil juga tidak menjadi polisi hospital kerana kanser usus kecil jarang sekali berlaku.

“Pesakit tetap boleh memilih untuk menggunakan kapsul ini tetapi hanya jika mereka mampu membayar kos kapsul yang tidak boleh digunakan berulang kali,” katanya.

Beliau berkata, doktor selalunya tidak akan mencadangkan pil kamera ini untuk masalah sakit perut biasa atau masalah usus besar kecuali disyaki masalah usus kecil.

Tambahnya, walaupun pesakit mempunyai pilihan untuk menggunakan teknik endoskopi sahaja, pil sahaja atau kedua-duanya sekali, adalah lebih baik untuk mengikut nasihat doktor dalam memilih cara ujian yang sesuai digunakan untuk mereka.

Kapsul ini turut disahkan selamat untuk digunakan pesakit seawal usia 10 tahun, tidak menyakitkan dan tidak akan merasakan pergerakan kapsul di dalam badan. Bagaimanapun, pesakit yang menggunakan alat bantu denyut jantung (pacemaker) atau wanita mengandung dinasihatkan tidak menggunakannya disebabkan frekuensi radio yang digunakan teknologi ini.

Dr. Ahmad Shukri menyatakan antara perkara lain yang dikhuatiri oleh pesakit dalam penggunaan teknik ini adalah masalah tercekik atau kapsul terlekat di dalam salur penghadaman.

“Setakat ini, tidak pernah berlaku lagi kejadian pesakit tercekik atau pil terlekat di dalam salur penghadaman.

“Tiada risiko kapsul tersangkut kecuali terdapat ruang usus yang menyempit akibat masalah tertentu dan doktor akan memastikan tiada tanda usus kecil tersumbat terlebih dahulu,” jelas beliau.

Dr. Ahmad Shukri juga menekankan bahawa pemilihan untuk menggunakan teknik ini hanya akan dibuat dengan teliti mengikut jenis penyakit.

Beliau bagaimanapun membangkitkan kelemahan teknik ini dalam pengambilan biopsi atau membuang polip yang ditemui di dalam usus kecil pesakit.

“Pil kamera ini membolehkan kita melihat struktur dalaman usus tetapi ia tidak dapat mengambil biopsi. Doktor perlu menjalankan teknik enteroskopi jika struktur abnormal ditemui untuk mengambil biopsi, mengeluarkan polip usus kecil (polipeptomi) atau ‘membakar’ salur darah abnormal untuk menghentikan pendarahan,” ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:11
Asar 4:12
Maghrib 7:14
Isyak 8:23


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.