Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SELATAN

ARKIB : 03/02/2008
Muzium Adat perintis program budaya

Muzium Adat perintis program budaya


ORANG ramai tidak melepaskan peluang melawat Muzium Adat di Jelebu, Negeri Sembilan, semalam.


JELEBU 2 Feb. – Muzium Adat di sini akan menjadi lokasi perintis kepada program khas ‘Imbauan Budaya’ yang memaparkan elemen hiburan yang sesuai dengan cita rasa remaja.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, program mingguan itu bertujuan membawa golongan remaja menghayati semula keunikan adat dan budaya pelbagai kaum di negara ini.

‘‘Program itu akan diisi dengan aktiviti sesuai termasuk pertandingan kugiran lagu rakyat dan kuiz sejarah yang menawarkan hadiah menarik dan bernilai.

‘‘Program itu perlu ada kaitan dengan sejarah dan budaya untuk menarik remaja menyertainya sebelum diperluaskan ke Muzium Negara menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muzium Adat itu bersama Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Zakiah Ahmad dan Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Ibrahim Ismail.

Rais menjelaskan, modul program akan dilancarkan secara besar-besaran di Muzium Negara sebelum Ogos. Ia diharap dapat menyemarakkan semula adat, budaya serta tumpuan kepada muzium di kalangan generasi muda.

Dalam pada itu, Rais menegaskan peranan Muzium Adat akan menjadi lebih besar apabila menjadi tumpuan pelancong yang mahu melihat khazanah di dalamnya termasuk pelbagai artifak dan replika berkaitan adat setiap kaum dan kumpulan etnik di Malaysia.

‘‘Kita akan meletakkan ia sebagai satu produk mesti dilawati pelancong yang datang ke negara ini dan untuk itu, kita juga menyediakan jurupandu di muzium ini supaya pelawat mendapat maklumat yang tepat dan mendalam.

‘‘Teknik pencahayaan di sini juga adalah yang pertama diperkenalkan dan ia akan turut digunakan di Muzium Negara,” katanya.

Antara artifak dipamerkan muzium berkenaan ialah replika keris dari Pagar Ruyung, Sumatera yang dipercayai berusia hampir 1,300 tahun, sejarah Kesultanan Melayu serta Adat Perpatih.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN