|
![]() |
|
ALAT pintar dipercayai mampu dimanfaatkan umum. |
SETELAH sekian lama, pelbagai alternatif telah dijalankan dalam usaha membendung kadar kemalangan jalan raya, mungkin dengan kehadiran satu produk yang kian popular pengunaannya di Eropah mampu dimanfaatkan di negara ini.
Sehubungan itu, Smart Synergy Ventures (SSV) sebuah syarikat perunding pengurusan risiko dan juga merupakan pengeluar bagi produk keselamatan telah memikul tanggungjawab dalam mengusahakan pembuatan, pengeluaran dan seterusnya pengagihan alat yang berteknologi unik itu.
Smart Alert itu direka khas berbentuk seperti alat set kepala Bluetooth bagi disesuaikan untuk dipakai di telinga pemakai seperti alat pembantu dengar (hearing aid) yang bertindak sebagai alat amaran sekiranya berlaku sebarang pergerakan kepada kepala pemakai.
Sememangnya ia kecil, ringkas namun ternyata berguna kepada orang ramai. Ia berupaya membantu pengguna dalam memberi penumpuan secara total dan mengelak dari terlelap ketika memandu selain menjadi salah satu alat keselamatan dalam pencegahan kemalangan
Produk inovatif berteknologi Jerman itu dicipta bercirikan keselamatan dan didatangi dengan dua model NZ125- sound (bunyi) dan NZ120- vibration (getaran).
Alat pintar ini berfungsi berdasarkan prinsip Electronic Balanced (imbangan elektrik) di mana ia akan memberikan tindak balas serta-merta dengan menghasilkan amaran bunyi (beep) atau getaran sekiranya berlaku pergerakan kepada kepala pemakai.
Menurut Pengarah Urusan SSV, Aznain Abdullah, ini merupakan produk yang mampu dimanfaatkan oleh masyarakat selain merupakan inisiatif dalam menyahut saranan kerajaan dalam pelan tindakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sempena tahun baru 2008.
‘‘Usaha ini berteraskan keputusan kajian yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) di mana kebanyakan kemalangan yang berlaku di negara ini berpunca daripada kecuaian manusia itu sendiri dan salah satu faktornya adalah dengan memandu dalam keadaan mengantuk.
‘‘Kami berharap agar produk ini dapat digunakan oleh orang ramai sama seperti tali pinggang keledar yang berfungsi sebagai ciri-ciri keselamatan ketika memandu,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur.
Selain itu, SSV turut mendapat sokongan daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dalam memperkenalkan produk kepada para pengguna.
Dalam pada itu, alat ini telah disahkan dan terjamin tidak memberi sebarang kesan sampingan kepada pemakai.
Lebih menarik, produk ini bukan sahaja boleh dipakai oleh pemandu malah pengendali jentera berat, pelajar, pengawal keselamatan dan sesuai digunakan untuk apa jua aktiviti yang mampu membuatkan individu berasa mengantuk.
Produk yang masih belum dilancarkan itu dijangka berada di pasaran pada awal bulan depan serta dipercayai berupaya menyelamatkan jutaan nyawa sekali gus mengurangkan kadar statistik kemalangan jalan raya di negara ini.
Harga yang ditawarkan dikatakan amat berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.
IKLAN@UTUSAN
|