|
![]() |
|
WAN AHMAD FARID WAN SALLEH. |
KUALA TERENGGANU 1 Feb. – Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh enggan mengulas spekulasi mengaitkan namanya sebagai calon bertanding di negeri ini.
Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, terpulang kepada pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan pusat jika mahu memilihnya sebagai calon pada pilihan raya umum ke-12 nanti.
“Senarai calon tidak ditetapkan lagi, Parlimen pun belum dibubarkan lagi, jadi tidak tahu siapa yang akan bertanding, terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis Gerak Gempur Jentera Pilihan Raya DUN Batu Burok di sini hari ini.
Ketika ini khabar angin mengaitkan beliau jika menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan membolehkannya dilantik menjadi menteri besar tersebar luas di seluruh negeri ini, terutama di peringkat akar umbi.
Khabar angin itu bertiup semakin kencang berikutan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa beliau bersedia untuk dilantik sebagai Menteri Pusat jika pucuk pimpinan tertinggi parti memutuskan demikian.
Ketika ditanya sama ada beliau sedar mengenai kewujudan khabar angin tersebut, Wan Ahmad Farid berkata, beliau tidak peduli mengenainya.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya menghentikan spekulasi berkenaan supaya perkara itu tidak menggugat keutuhan dan muafakat ahli-ahli UMNO di negeri ini.
‘‘Ia adalah spekulasi. Saya tidak pernah dengar mengenainya dan tidak mahu bertindak balas terhadapnya. Sampai masanya, saya akan ulas,” katanya.
Beliau sebaliknya, meminta semua pihak memberi sepenuh tumpuan dalam memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam hal itu, Wan Ahmad Farid berkata, pihaknya telah melancarkan pelbagai strategi dalam memastikan BN merampas kembali dua daripada empat kerusi DUN di Parlimen Kuala Terengganu iaitu Wakaf Mempelam dan Batu Burok yang kini dipegang oleh Pas.
‘‘Antara tanda yang dapat saya lihat bahawa UMNO dan BN akan mencapai kemenangan besar di Parlimen Kuala Terengganu ialah perpaduan antara anggota-anggota parti.
‘‘Malah, usaha ahli parti bergerak tanpa menerima sebarang upah juga memberikan keyakinan kita akan menang besar,” ujarnya.
Beliau berkata, rakyat kini sedar BN merupakan parti yang berkhidmat kepada mereka berbanding parti pembangkang.
‘‘Kita juga perlu menyebarkan perkara ini supaya masyarakat tahu dan memberikan sokongan kepada parti,” katanya.
IKLAN@UTUSAN
|