|
![]() |
|
MOHAMAD Hasan menyampaikan replika kunci motosikal kepada Ramlah Awang, 52, yang berjaya memenangi Pertandingan Memancing di Sungai Linggi, semalam. |
SEREMBAN 27 Jan. – Rakyat tidak akan terpengaruh dengan dakyah yang cuba dibawa oleh parti pembangkang melalui laman blog bagi meraih sokongan pengundi menjelang pilihan raya akan datang.
Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan berkata, laman blog pembangkang tidak mampu untuk mempengaruhi pemikiran rakyat melalui fakta-fakta yang diputar belit kerana rakyat mampu menilai maklumat yang diperoleh daripada blog.
Malah katanya, fakta yang diseleweng oleh pembangkang belum tentu dapat menawan hati rakyat yang dilihat sebagai cara memperoleh sokongan di saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum akan datang.
‘‘Malaysia adalah negara demokrasi, jadi rakyat boleh berkata apa sahaja yang mereka mahu melalui mana-mana saluran tanpa sekatan.
‘‘Tetapi maklumat yang mereka peroleh melalui laman blog tidak semestinya diterima bulat-bulat oleh kerana rakyat telah matang dan tahu menilai mana yang betul mana dan salah,” katanya kepada para pemberita selepas majlis Perasmian Penutup Pertandingan Memancing dan Bilik Gerakan UMNO Kampung Stesyen di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua UMNO Cawangan Kampung Stesyen, Hanafi Sulaiman.
Dalam pada itu, Mohamad juga meminta rakyat agar tidak terpengaruh dengan tohmahan yang cuba dilemparkan dalam laman blog sebaliknya mengambil maklumat yang tepat dan melalui saluran yang betul.
Pada masa yang sama, beliau tidak melihat blog sebagai satu ancaman kepada parti dan mengingatkan jentera Barisan Nasional bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya melalui penerangan dan sebaran maklumat mengenai isu-isu yang dilemparkan oleh pembangkang.
IKLAN@UTUSAN
|