Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 28/01/2008
Jangan gadai masa depan mengundi pembangkang

Jangan gadai masa depan mengundi pembangkang

PADANG TERAP 27 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar tidak menggadai masa depan mereka dengan mengundi parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang kerana pemimpin pembangkang hanya pandai berjanji.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat membela nasib rakyat dengan menjamin keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang dikecapi negara sejak dahulu.

Keadaan itu, kata beliau, adalah berbeza dengan parti pembangkang yang tiada kesepakatan sesama mereka.

"Kita tidur sebantal, mimpi pun sama. Tetapi pembangkang mimpi lain-lain walaupun tidur sebantal. Macam mana pembangkang nak tadbir negara kalau tiada kata sepakat? Tapi BN kongsi kuasa (secara) bersama, sebab itu berjaya.

"Kerajaan BN tidak bohong tetapi hanya bercakap yang benar. Kita dapat laksanakan segala janji untuk rakyat. Kerajaan BN boleh membuat perubahan dan boleh menjadikan impian menjadi realiti dan cita-cita menjadi kenyataan," katanya.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO berkata demikian di hadapan kira-kira 10,000 hadirin terdiri daripada kalangan peneroka dan ahli-ahli parti komponen BN ketika melancarkan Gerak Kerja Pilihan Raya BN Kedah di Felda Lubuk Merbau di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran yang diadakan serentak dengan Perhimpunan Peneroka Felda Wilayah Utara itu ialah Pengerusi BN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Timbalan Perdana Menteri berkata, konsep pembahagian kuasa yang diamalkan oleh kerajaan BN telah membawa keamanan kepada Malaysia.

Menurutnya, sejak memerintah negara 50 tahun lalu, kerajaan BN berjaya membela nasib rakyat dengan membuat pelbagai pembangunan dan pembaharuan bagi menambah nilai dalam kehidupan mereka.

Beliau memberikan contoh tanah rancangan Felda yang telah mengalami arus perubahan pembangunan ketara berbanding pada awal kewujudannya dahulu.

Malah, kata beliau, nasib generasi kedua dan ketiga Felda juga akan terus dibela oleh kerajaan BN.

"Dalam tangan saya ini ada lebih daripada 40 pembaharuan yang dilakukan sejak menjadi 'Menteri Felda' dan banyak lagi akan dibuat selepas ini.

"Itulah kerajaan di bawah BN. Kita dapat melihat pembaharuan dengan menunjukkan hari ini adalah lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini," kata Najib.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN