|
KUALA LUMPUR 26 Jan. – Rakyat sekali lagi diingatkan supaya tidak mudah terpedaya serta terpengaruh dengan helah parti pembangkang yang sedang bersungguh-sungguh untuk meraih sokongan mereka melalui ceramah parti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat harus sedar pihak pembangkang boleh menjanjikan apa sahaja walaupun ia tidak ‘berpijak di bumi yang nyata’ asalkan mereka boleh mendapatkan sokongan.
Beliau berkata, dalam keadaan pilihan raya yang semakin hampir, pihak pembangkang akan menggunakan pelbagai cara dan taktik termasuk menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin dapat ditunaikan.
‘‘Dalam situasi sekarang, perkara paling penting perlu diberi perhatian oleh pengundi ialah rekod kemampuan dan pencapaian parti-parti yang bertanding selama ini.
‘‘Apabila dua perkara ini dijadikan sebagai ukuran, parti yang mampu membawa perubahan besar dan mengisi harapan tidak lain tidak bukan ialah Barisan Nasional (BN),’’ katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Pemenang Anugerah Pelajar Terbaik ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah) Kolej Universiti Sunway di sini hari ini.
Hadir sama Canselor Kolej Universiti Sunway dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah.
Berikutan pilihan raya umum yang dikatakan semakin hampir, parti-parti pembangkang khususnya Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kini begitu agresif mengadakan ceramah di seluruh negara.
Dalam ceramah itu mereka telah menjanjikan pelbagai perkara antaranya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kebajikan walaupun penduduk di luar bandar dan di bandar ketika ini telah menikmati pelbagai kemudahan dan kebajikan yang disediakan oleh kerajaan BN.
Najib berkata, dalam membangunkan negara ini, perancangan projek yang dilaksanakan oleh kerajaan BN adalah amat realistik dan bukannya berbentuk janji kosong.
‘‘Semua orang boleh berjanji tetapi adakah janji itu boleh dilaksanakan? Berjanji amat mudah tetapi untuk melaksanakan adalah amat payah. Ini yang membezakan antara BN dan pembangkang.
‘‘Segala pembangunan yang kita jalankan adalah realistik. BN bukan jenis parti yang menabur janji-janji kosong. Jika kita berjanji pasti ia akan ditunaikan,’’ katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|