Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 27/01/2008
Zainuddin sedia bertanding semula

Zainuddin sedia bertanding semula

SUNGAI PETANI 26 Jan. - Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin menolak spekulasi beliau enggan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Merbok pada pilihan raya umum ke-12 ini.

Sebaliknya, Zainuddin menegaskan, beliau akan terus mempertahankan kerusi Parlimen tersebut sekiranya pucuk pimpinan mahukan beliau berbuat demikian.

''Tiada sebarang perubahan. Saya dan Datuk Arzmi Abd. Hamid (Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tanjung Dawai) memang bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau peti undi Barisan Nasional (BN) bersama Arzmi di Dewan UMNO Sungai Lalang, dekat sini.

Zainuddin menyatakan demikian ketika diminta mengulas desas-desus bahawa beliau tidak dicalonkan semula untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Merbok pada pilihan raya kali ini.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Merbok itu berkata, spekulasi sedemikian sengaja dimainkan oleh sesetengah pihak terutama pembangkang bagi melemahkan semangat penyokong BN.

"Ini semua kerja pembangkang. Dia pi (pergi) bohong kata kita nak tangguh atau takut pilihan raya.

"Pada hal, pemimpin mereka sendiri yang takut dan buat cerita macam-macam," katanya.

Pada pilihan raya umum ke-11, Zainuddin menewaskan Saiful Izham Ramli dari Parti Keadilan dengan memperoleh majoriti sebanyak 15,162 undi.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan itu dipilih menggantikan penyandang kerusi Parlimen Merbok ketika itu, Tun Daim Zainuddin.

Zainuddin berkata, pihaknya berhasrat mengekalkan kekuasaan BN di Parlimen Merbok yang tidak pernah kalah dalam mana-mana pilihan raya.

"Di Merbok kami tidak ada sebarang isu. Namun, kami ada satu masalah iaitu bagaimana nak bagi calon pembangkang hilang deposit dalam pilihan raya kali ini," tegasnya.

Beliau memberitahu, jumlah pengundi kawasan Merbok kini bertambah sebanyak 15,000 orang.

Pada pilihan raya lalu, Parlimen Merbok mempunyai seramai 57,922 pengundi berdaftar dengan 62.55 peratus terdiri daripada kaum Melayu diikuti Cina (18.56 peratus); India (18.02 peratus) dan lain-lain (0.88 peratus).

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN