VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 24/01/2008

Memudah cara pengurusan tanah


Azmi Khalid.


MUKADIMAH
ISU tanah terbiar yang tidak dibangunkan terutama di kawasan luar bandar sememangnya telah lama diperkatakan. Salah satu punca yang menghalang tanah-tanah tersebut dibangunkan ialah kesukaran mendapatkan hak milik bagi tanah yang bersaiz kurang daripada 0.4 hektar.

Masalah seumpama itu sering berlaku apabila pemilik tunggal tanah tidak memecahkan tanah mereka kepada lot kecil semasa mereka masih hidup.

Dan setelah meninggal dunia, waris si mati tidak boleh membangunkan tanah tersebut kerana lot yang tidak dipecahkan dan terpaksa berkongsi dengan pewaris-pewaris lain.

Wartawan Utusan Malaysia NORAINI ABD. RAZAK dan ROHANI IBRAHIM bertemu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid bagi mencari jawapan di sebalik kemelut yang membantutkan pembangunan tanah-tanah terbiar terutama di kawasan luar bandar.

Jawapan Azmi tertumpu kepada usaha kerajaan meminda Seksyen 204 dan 204A Kanun Tanah Negara untuk membolehkan tanah bersaiz kurang daripada 0.4 hektar diberi hak milik sendiri tanpa perlu mendapat keizinan

Pindaan yang telah diluluskan Parlimen baru-baru ini menunggu kelulusan Yang di-Pertuan Agong sebelum dapat diwartakan dalam masa terdekat ini.

UTUSAN MALAYSIA: Apa sebenarnya punca tanah-tanah terbiar tidak dibangunkan terutama di kawasan luar bandar?

Masalah utama ialah wujudnya banyak nama pada sebidang tanah, jangan terkejut jika saya katakan di kampung ada yang mendapat satu per 210 bahagian. Malah ada yang tidak tahu bahawa mereka mempunyai bahagian ke atas mana-mana harta.

Ini bermakna dalam sebidang tanah bahagian seseorang itu ialah satu per 210. Pokok kelapa juga perlu dibahagikan kepada 210 pecahan. Itu undang-undang tanah lama.

Jadi siapa hendak membayar hasil tanah atau cukai tanah setiap tahun. Setiap orang akan mendakwa bahagian mereka adalah satu per 100 dan sebagainya.

Jika ada yang enggan membayar cukai tanah maka waris-waris juga tidak mahu membayar cukai berkenaan. Dan mengesan saudara-mara yang lain bukanlah satu perkara yang mudah.

Banyak tanah di negeri-negeri yang tidak membayar cukai. Kalau tengok senarai hutang tertunggak di pejabat-pejabat tanah di seluruh negara kebanyakannya adalah kawasan orang Melayu termasuklah Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Ini satu contoh. Contoh yang lain di mana ada di atas sebidang tanah masing-masing mempunyai wilayah atau kawasan sendiri sama ada abang di depan, kawasan kakak berhampiran dengan sungai dan adik di belakang berdekatan dengan hutan.

Apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) ingin membuat pencawang untuk membuka kawasan baru dekat hutan ia melibatkan tanah si adik dan pembinaan tersebut melibatkan pampasan.

Apabila timbul isu pampasan semua orang akan mendakwa mereka berhak mendapat sebahagian daripada duit pampasan tersebut kerana kononnya mereka berhak. Padahal pembinaan pencawang tersebut hanya melibatkan tanah si adik sahaja.

Jadi masalah ini sentiasa berlaku di mana-mana di seluruh negara. Yang mengambil kesempatan ialah mereka yang berwang dan membeli tanah tersebut daripada pemilik tanah.

Kalau kawasan berkenaan tanah rizab Melayu mereka akan gunakan nama orang Melayu.

Mengapa perkara seperti ini boleh terjadi?

Dalam konteks inikita lihat ada kes di mana tanah berhampiran jalan raya yang melibatkan ramai pewaris. Berdasarkan undang-undang jika seseorang ingin mengusahakan sawah di tanah tersebut mereka perlu mendapatkan persetujuan semua pewaris.

Syarat tanah ialah untuk membuat sebarang pembangunan di mana-mana bahagian tanah ialah perlu mendapatkan kelulusan daripada kesemua pewaris tanah tersebut.

Bagi mendapatkan kelulusan untuk pecah geran perlu menukar syarat daripada pertanian kepada pembangunan atau perumahan misalnya.

Bagi tanah-tanah di bandar yang ditukar syarat pemilik perlu membayar cukai pintu yang tinggi dan kebanyakan pemilik tidak mahu berbuat demikian.

Jika tanah tersebut dianggap tanah pertanian premiumnya adalah rendah walaupun tanah tersebut menjadi tapak sebuah rumah kampung.

Oleh itu tanah berkenaan menjadi terbiar kerana pemiliknya tidak mahu menukarkan syarat daripada tanah pertanian kepada tanah pembangunan atau perumahan.

Maka tanah berkenaan akan terbiar sampai bila-bila.

Apa langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ini?

Sekarang melalui pindaan undang-undang yang dilaksanakan kesemua pemilik tanah boleh membuat geran untuk setiap seorang atau satu geran untuk kesemua tanpa memerlukan kelulusan atau persetujuan daripada pewaris atau pemilik tanah yang lain.

Melalui pindaan berkenaan ada yang boleh mengekalkan tanah pertanian mereka, ada yang boleh memajukan dan membangunkan tanah bahagian mereka bergantung kepada perancangan masing-masing.

Dulu jika hendak mendirikan rumah pun perlu mendapatkan kelulusan yang lain. Begitu juga untuk mendapatkan pinjaman bank.

Kadangkala apabila salah seorang daripada pewaris ingin membina rumah atau sebagainya ia memerlukan pewaris lain tanah yang sama untuk mencagar geran masing-masing dan tidak semua pewaris akan bersetuju.

Pernah juga berlaku salah seorang daripada pemilik tanah membina kedai di bahagiannya sendiri dan tidak membayar pinjaman bank. Akibatnya adik-beradik yang lain turut kehilangan tanah mereka apabila tanah tersebut dilelong.

Adakah pindaan ini melibatkan Kanun Tanah Negara dan boleh diguna pakai di seluruh negara?

Kita telah mengambil langkah meminda Kanun Tanah Negara bagi membolehkan sesiapa dalam konteks ini untuk membuat geran kecil yang dipanggil partition atau sempadan.

Keadaan sudah berubah khasnya di kawasan-kawasan Melayu. Dalam bandar banyak juga kawasan-kawasan Melayu yang disimpan yang dikenali sebagai rizab Melayu.

Kalau bukan rizab Melayu pun, mereka yang terlibat dalam sistem faraid tidak boleh mengendalikan tanah mereka secara muafakat menyebabkan banyak masalah timbul.

Atau mungkin tanah berkenaan diwarisi turun-temurun hingga tiga generasi sehingga tidak tahu siapa pemiliknya. Ini menyebabkan ada tanah dalam bandar yang tinggal terbengkalai dan menjadi tanah terbiar dalam bandar yang dipenuhi lalang dan semaksamun.

Pada masa ini pindaan Undang-Undang Kanun Tanah Negara Seksyen 204 sehingga 204A sudah dibuat dan diluluskan oleh Parlimen.

Adakah ia khusus untuk tanah rizab Melayu sahaja?

Ia bukan khusus untuk tanah rizab Melayu sahaja tapi semua jenis tanah dan boleh diguna pakai di semua negeri. Pemilik tanah perlu membuat permohonan di bawah seksyen berkenaan untuk memecahkan geran.

Pencapaian

Saya percaya ini adalah pencapaian besar dalam pentadbiran tanah negara kerana masalah yang timbul menjadi kekangan kepada usaha-usaha untuk membangunkan tanah-tanah terbiar dalam bandar dan tanah-tanah milik orang Melayu dalam bandar khasnya.

Akta pindaan ini akan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan selepas itu ia boleh diwartakan dan surat pewartaan akan diedarkan di kesemua pejabat tanah di seluruh negara.

Saya membuat pengumuman ini kerana masih ramai orang kampung yang tidak tahu mengenainya.

Kerajaan juga mahukan para peguam turut memahami isu ini kerana mereka banyak menguruskan isu-isu berkaitan tanah.

Kita juga mahu para pemilik tanah tahu hak mereka dan pindaan ini bertujuan memberi kemudahan kepada mereka.

Mungkin seseorang pemilik tanah itu mempunyai anak yang sedang menuntut di universiti yang kemudiannya bekerja dan ingin membangunkan tanah tersebut.

Tanpa geran sukar untuk mendapatkan pinjaman bank.

Ramai anak Melayu sekarang yang sudah keluar daripada kampung-kampung dan meninggalkan rumah di kampung.

Dengan kemudahan untuk membuat pinjaman bank dan sebagainya anak-anak mereka yang tinggal di bandar boleh mencantikkan rumah ibu bapa masing-masing sekali gus mencantikkan suasana kampung.

Pada masa ini terdapat rumah kampung yang usang dan sukar untuk mencari siapa pemilik rumah berkenaan.

Akhirnya rumah berkenaan ditinggalkan dan dibiarkan begitu sahaja kerana para pemilik menganggap undang-undang tidak menyebelahi mereka.

Apa harapan Datuk Seri apabila pindaan ini diwartakan kelak?

Pada saya pindaan undang-undang ini adalah salah satu cara untuk merungkai kekangan potensi ekonomi tanah-tanah di kawasan bandar dan luar bandar.

Satu cara untuk membangunkan kampung dengan lebih teratur. Kalau tidak sesiapa sahaja akan membina rumah sesuka hati tanpa geran.

Jika ada geran perancangan untuk membangunkan kampung-kampung boleh dibuat dengan lebih teratur.

Jadi saya melihat ini sebagai satu pemudah kepada banyak perkara yang dihadapi pada masa ini.

Bagaimanapun kalau tanah itu terlalu kecil, pemilik bahagian yang kecil itu boleh menjual tanah bahagiannya kepada pemilik lain supaya pemilik yang berminat boleh mengusahakan atau membangunkan tanah berkenaan.

Masalah yang timbul sekarang ialah kerana masing-masing ingin menuntut habuan sendiri walaupun sekadar sebatang pokok kelapa.

Kita juga berusaha untuk mengadakan sesi penerangan di kampung-kampung bagi menjelaskan pindaan ini kepada orang ramai. Ini termasuklah melalui khutbah Jumaat.

Selain memudah cara urusan pembahagian sempadan apa lagi manfaat pindaan akta ini?

Apabila akta dipinda masalah kutipan cukai tanah dan cukai pintu yang dihadapi kerajaan akan turut terungkai. Sebelum ini banyak tunggakan tanah datang daripada luar bandar begitu juga tunggakan di majlis-majlis perbandaran.

Kalau ini dimaklumkan kepada semua pihak saya percaya banyak pihak yang berminat untuk mewujudkan sempadan di tanah masing-masing dan membuat geran kecil.

Geran kecil akan menjadi milik persendirian yang boleh dipegang dan mudah dipindah milik. Namun akan ada orang yang bertanya kalau tanah terlalu kecil bagaimana untuk pindah milik. Jika tanah terlalu kecil jualkan sahaja kepada adik-beradik atau saudara-mara yang berminat untuk mengusahakan tanah itu.

Dalam hal ini pemilik tanah perlu berfikir secara praktikal. Takkanlah kerajaan perlu mengajar rakyat dengan menggubal undang-undang supaya mereka menggunakan otak. Kalau tanah itu terlampau kecil buat apa hendak tuntut hak milik.

Di kawasan mana paling banyak tanah terbiar gara-gara kesukaran mendapatkan hak milik?

Masalah ini berlaku di bandar raya termasuk Kampung Baru dan Keramat. Saya tidak berani katakan di mana masalah ini berlaku paling banyak di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah pun banyak berlaku.

Pindaan ini juga dijangka mengurangkan gejala orang kaya termasuk orang bukan Melayu membeli semua tanah orang Melayu bagi tujuan pembangunan.

Banyak orang Melayu di kampung yang memiliki tanah yang berpotensi dan bernilai untuk dibangunkan. Namun mereka tidak dapat menikmati kelebihan ini kerana kekangan ini.

Melibatkan

Kalau dia nak jual pun tidak ada orang yang sanggup membeli kerana tidak ada geran dan tanah itu melibatkan banyak waris bertindih.

Saya sendiri tak mahu beli tanah itu jika ia melibatkan pemilik berangkai. Ini kerana susah tanah seperti ini untuk dibangunkan. Persoalan tanah tidak boleh dibuat apa-apa menyebabkan orang tidak mahu membeli tanah yang sedemikian.

Apatah lagi jika kita ingin buat pinjaman bank untuk perniagaan atau mendirikan kedai. Kita menggalakkan orang di mana sahaja khasnya bumiputera untuk berniaga tapi hendak berniaga dia kena ada modal nak cagar tanah dan sebagainya. Bagaimanapun tanah yang ada tidak boleh dijadikan modal kerana perlu mendapatkan tandatangan semua yang terlibat.

Satu lagi masalah ialah kalau dia cagar dan buat perniagaan dan selepas itu tidak bayar tanah adik-beradiknya juga akan dilelong.

Setiap kali proses pindah nama dan status tanah masih ada banyak rungutan. Bagaimana pindaan ini dapat memudahkan proses berkenaan?

Itu soal pentadbiran tanah untuk menukar syarat dan sebagainya. Itu birokrasi dan sebagainya. Tapi itu pun kalau nak memajukan tanah dan sebagainya sekarang ada sistem CCC iaitu Certification of Completion and Compliance (Sijil Siap dan Pematuhan).

Sistem berkenaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Namun sebagai makluman dalam sistem ini dulu jika seseorang hendak memajukan tanah dia perlu tukar syarat kepada pembangunan perlu buat bayaran pertama, kemudian masuk pula persediaan pelan dan sebagainya.

Kemudian dia perlu pergi ke Jabatan Bomba dan Penyelamat, jabatan lain berkenaan perparitan dan Jabatan Kerja Raya pula perlu melihat jalan.

Urusan di kesemua agensi berkemungkinan mengambil masa bertahun. Sekarang melalui penubuhan CCC semua soalan disenaraikan untuk pemaju selesaikan terlebih dulu. Pusat sehenti itu membolehkan kesemua jabatan berjumpa untuk membuat satu keputusan. Melalui CCC proses yang dulunya mengambil masa bertahun kini mengambil masa beberapa bulan sahaja.

Jadi perubahan ini ialah kerana kita perlu lihat keadaan semasa. Masa berubah, kita perlu berubah.

Perubahan ini (pindaan akta) pada saya akan menyelesaikan kekangan yang ada dan memberi nilai kepada yang berhak dan memudah tunai kepada pemilik tanah.

Ini termasuklah mendapatkan kemudahan pinjaman bank untuk buat perniagaan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.