|
Pendapat
BEBANAN kerja guru kini dilaporkan terlalu berat. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendedahkan selain tugas-tugas hakiki sebagai pendidik, guru juga terpaksa menanggung beban yang sepatutnya turut menjadi tanggungjawab ibu bapa seperti aspek disiplin.
Profesion perguruan dilihat sebagai satu profesion yang sering meletihkan dan banyak mengundang tekanan dan memberi kesan yang negatif kepada ahli-ahlinya.
Ini diakui oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mendakwa tahap tekanan di kalangan guru di negara ini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan ekoran bebanan tugas yang semakin meningkat.
Banyak kajian yang membuktikan mengajar merupakan salah satu profesion yang sangat mencabar di mana satu pertiga daripada mereka mendapati mengajar sebagai satu pekerjaan yang sangat tinggi tahap tekanannya (De Nobile 2003).
Guru yang terlalu terbeban bidang tugasnya dan akibatnya merasa tertekan akan memberi kesan negatif kepada mutu pendidikan negara. Menurut NUTP lagi, ramai guru di Malaysia kini menghidap penyakit barah payu dara, darah tinggi, sakit jantung, malah sedang mendapat rawatan psikiatri kerana semakin tertekan akibat bebanan tugas yang meningkat.
Bebanan kerja guru yang dilihat kini terlalu berat diakibatkan antara lainnya oleh pengharapan untuk menaikkan tahap akademik pelajar dan sekolah selain tanggungjawab remeh-temeh yang terpaksa digalas oleh guru.
Isu-isu pendidikan seperti masalah disiplin pelajar yang berleluasa, bebanan tugasan, masalah kekurangan guru, kekurangan bilik darjah, konflik peranan, kekaburan peranan, ketiadaan sistem sokongan sosial yang kuat dan rangkaian masalah lain yang tidak dapat diselesaikan dengan memuaskan boleh menggugat kesejahteraan guru. Sekiranya isu guru terlalu terbeban tidak diatasi segera, ia boleh menyebabkan guru merasa tertekan dan memohon untuk meletak jawatan atau memohon untuk bersara awal.
Bagaimanakah cara untuk mengurangkan bebanan kerja yang terlalu berat ini? Antara yang dicadangkan oleh Menteri Pelajaran ialah penglibatan ibu bapa dalam aspek pendidikan selain penyertaan pihak ketiga.
Pelbagai program boleh dilaksanakan dalam menyemarakkan hubungan guru dengan ibu bapa dan juga pihak ketiga. Sokongan yang diberikan dapat membantu mengurangkan bebanan kerja dan juga mengurangkan tahap stres yang dihadapi guru.
Sokongan sosial yang kuat boleh mengurangkan tahap tekanan. Ini kerana sebagai makhluk sosial, manusia hidup saling memerlukan diantara satu sama lain. Keperluan di antara satu sama lain ini membawa kepada sikap memberi sokongan sesama sendiri dalam mengurangkan tekanan. Kewujudan sistem sokongan yang kuat membolehkan guru-guru untuk berkongsi permasalahan antara satu sama lain di mana ia boleh menyumbang kepada cadangan yang membantu
Individu akan berupaya untuk berdaya tindak ke atas tekanan secara lebih efektif jika beliau mempunyai perhubungan sosial yang lebih berkesan. Kajian dalam bidang tekanan menunjukkan sokongan sosial sangat efektif dalam meningkatkan kesejahteraan kesihatan mental individu.
Ibu bapa dan masyarakat perlu lebih prihatin terhadap bebanan kerja yang terlalu berat. Memberi sokongan melalui penglibatan mereka dengan aktiviti-aktiviti sekolah amat membantu mengurangkan bebanan tugas yang dialami oleh guru. Ini kerana matlamat melahirkan guru yang berproduktiviti tinggi dan berupaya menyumbang kepada mutu pendidikan yang cemerlang dapat dicapai sekiranya guru tidak menanggung kerja yang terlalu berat dan tidak merasa tertekan.
– DR. SAPORA SIPON,
Program Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
IKLAN@UTUSAN
|