Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SASTERA

ARKIB : 24/01/2008
15 minit ucapan A. Samad

15 minit ucapan A. Samad

LIMA hari lalu, dalam getar suara yang payah, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berbicara. Ada nada membantah, kecewa dan mungkin juga rasa marah yang tidak diluahkan secara langsung.

Perbicaraan beliau hanya memakan waktu 15 minit. Ia berkaitan dengan karya-karya cadangan sebagai teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.

Kita kadang-kadang tidak pernah terfikir, 15 minit akan memberi impak besar kepada sebuah peradaban sesebuah bangsa. Manusia tidak mungkin dapat membina sebuah tamadun dalam tempoh sesingkat itu.

Tetapi tempoh 15 minit yang dilontar melalui sebuah ungkapan atau aksi yang dilakukan oleh individu atau kelompok mempunyai erti yang sangat besar. Sejarah telah membuktikan kenyataan ini.

Ada peristiwa yang sangat dramatik pada 22 November 1963 di Amerika Syarikat. Presiden John F. Kennedy ditembak mati. Peristiwa itu berlangsung dalam tempoh yang sangat singkat - cuma beberapa detik tapi telah mengubah senario politik negara itu.

Begitu juga Peristiwa 11 September 2001. Kita tidak pernah membayangkan sebuah tindakan ketenteraan secara unilateral Amerika Syarikat yang menghancurkan banyak peradaban manusia. Kononnya ia dilakukan atas nama menghapuskan keganasan.

Begitu juga dalam konteks A. Samad, 15 minit ucapannya adalah demi sebuah peradaban. Mungkin kita dapat mentafsirkan kata-katanya itu sebagai sebuah protes ketika khalayak sastera Malaysia sendiri begitu sulit memahami kenapa karya picisan disenaraikan untuk Komsas 2010.

Pengarang dan sasterawan adalah lidah masyarakat. Sebutlah siapa sahaja pengarang besar dunia, karya mereka bukanlah sebuah kotak kosong tanpa terisi apa-apa.

Elizabeth Lowry dalam Times Literary Supplement menulis tentang J.M Coetze, pemenang Hadiah Nobel Sastera 2003. Penulis berasal dari Afrika Selatan itu digambarkan oleh Lowry sebagai seorang yang sangat peka terhadap bentuk sebagai sesuatu yang penting dalam sastera, sebagaimana tercermin dalam karya fiksyennya.

Coetze juga cermat dalam menyelusuri pengaruh seorang penulis terhadap penulis lain. Ia mengamati, misalnya, pengaruh Frederich Nietzsche dalam prosa Robert Musil atau Jonathan Swift dalam karya-karya Samuel Beckett.

Buku Coetze, Inner Workings: Literary Essays 2000-2005, sebuah kumpulan eseinya mencatatkan kenyataan ini dengan lengkap. Ia membahas tentang peranan sasterawan sejak akhir abad ke-19 hingga kini.

William Faulkner, Guenther Grass, Gabriel Garcia Marquez, Samuel Beckett, Nadine Gordimer, V.S. Naipaul dan lain-lain, dikupas sebagai lidah-lidah masyarakat yang memayungi kepengarangan mereka.

Dalam esei pertamanya dalam buku itu, beliau menulis tentang Italo Svevo pengarang novel The Confessions of Zeno (1923). Coetze mula-mula melihat latar belakang pengarang itu - anak pedagang Yahudi yang menjadi kaum borjuis.

Beliau lalu mengupas pelbagai pengaruh intelektual yang diterima Svevo, hubungannya dengan James Joyce (yang mengajarinya bahasa Inggeris) dan cita-cita besarnya untuk mengubah masyarakat.

Svevo juga turut memberi makna kembali terhadap psikoanalisis Freud dan perdebatannya dengan teori evolusi Charles Darwin. Lebih jauh, Coetze juga memikirkan alasan Svevo menulis dalam dialek Trieste daripada bahasa Itali.

Pandangan yang sama turut ditemukan dalam A Tranquil Star: Unpublished Stories (2007) karya Primo Levi, penulis esei, puisi, novel dan memoir.

Novelis Anita Desai menulis bahawa Levi sungguh yakin - sebagaimana tergambar dalam tiap cerita dan watak yang diciptakannya bahawa dia dan generasinya hidup ketika kemanusiaan berada dalam keadaan terlalu kacau.

Rangkuman mudah daripada kedudukan Coetze dan Levi tersebut ialah setiap protes atau pandangan seseorang pengarang adalah sebuah pendapat, pandangan dan idealisme untuk kebaikan dan kelangsungan peradaban bangsanya.

Tempoh 15 minit ketika A. Samad duduk di atas kerusi sederhana di Galeri RA, Kuala Lumpur itu cukup untuk menceritakan perjalanan peradaban bangsa ini jika pemikir-pemikir seperti Sasterawan Negara dipinggirkan.

Wajarkah karya-karya picisan yang berorientasikan komersial disenaraikan sebagai teks kajian wajib dalam Komsas, sedangkan karya Sasterawan Negara dipinggirkan dengan alasan yang sangat tidak logik.

Sesekali cuba kita renungkan pendapat pengkritik seni mutakhir, Jonathan Arac - penggiat-penggiat seni adalah manusia-manusia genius yang mampu mengubah mencipta peradaban baru untuk bangsanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN