Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
SUKAN

ARKIB : 17/01/2008
Pemain pilihan mara

Pemain pilihan mara


Aksi perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo sewaktu menentang rakan senegara, Julia Wong dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. – Gambar SHAIFUDIN MOHD. NOR.


KUALA LUMPUR – Pasangan nombor satu dunia, Koo Kien Keat- Tan Boon Heong mencetuskan suasana cemas di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam sebelum mengetepikan beregu Indonesia, Hendra Gunawan-Joko Ryadi 14-21,21-17, 21-15 untuk mengetuai kemaraan pemain negara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.

Turut meneruskan cabaran ialah beregu senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan bekas pasangan nombor satu dunia yang kembali bergandingan selepas empat tahun berpisah, Chew Choon Eng-Chan Chong Ming.

Jaguh veteran, Wong Choong Hann pula mencerahkan impian untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas menumbangkan jaguh China, Chen Hong, sekali gus mengekori jejak Lee Chong Wei dan Sairol Amar Ayob yang terlebih dulu melayakkan diri ke pusingan kedua.

Naib juara 2007, Wong Mew Choo pula muncul satu-satunya pemain negara yang akan beraksi dalam saingan perseorangan wanita hari ini selepas menumpaskan rakan sepasukan, Julia Wong 21-17, 21-13 pada ketika dua lagi pemain kita, Anita Raj Kaur dan Lydia Cheah tersingkir awal.

Cabaran Malaysia hari ini juga akan diteruskan Mohd. Razif Abdul Latif-Chong Sook Chin dalam beregu campuran selepas pasangan muda itu berjaya menewaskan Howard Bach-Eva Lee dari Amerika Syarikat 14-21, 21-18, 30-29 manakala Fong Chew Yen-Mooi Hing Yau melepasi halangan awal beregu wanita dengan kemenangan 15-21, 21-18, 21-17 ke atas Chau Hoi Wah-Louisa Koon dari Hong Kong.

Reputasi selaku penyandang juara dan pasangan nombor satu dunia, nyata tidak banyak membantu Kien Keat-Boon Heong, yang bukan saja mempamerkan aksi perlahan, malah kalah mengejut 14-21 di set pembukaan, sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 21-17, 21-15.

Malah, juara Seluruh England itu turut dipaksa mengharungi detik mencemaskan dalam set penentuan apabila ketinggalan 11-15, sebelum mengejar kedudukan kepada 15-15 dan seterusnya menamatkan saingan dengan kemenangan 21-15.

Bagi Kien Keat, permulaan perlahan dalam perlawanan pembukaan hanya perkara biasa dan bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan, namun bagi Boong Heong, turun selaku penyandang juara di gelanggang sendiri menghadirkan satu perasaan yang begitu menakutkan.

Beregu nombor satu negara itu kini akan berdepan pasangan berpengalaman Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen, beregu nombor 14 dunia yang berjaya dikalahkan dalam satu-satunya pertemuan kedua-dua pasangan pada Terbuka Indonesia, Mei tahun lalu.

Sementara itu juara 2004, Tan Fook-Wan Wah hanya memerlukan 21 minit untuk mengetepikan pasangan senegara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong 21-10, 21-11 dan menempah pertemuan dengan satu lagi beregu negara, Bin Shen-Soon Hock, yang dipaksa berhempas pulas untuk menumpaskan pasangan Hong Kong, Albertus Susanto-Yohan Hadikusuma 17-21, 25-23, 22-20.

Choon Eng-Chong Ming, yang dipisahkan selepas berakhirnya Sukan Olimpik Athens 2004, mempamerkan aksi meyakinkan apabila menumbangkan pilihan kelapan, Lee Jae Jin-Hwang Ji Man dari Korea 13-21, 21-18, 21-10.

Terdahulu, Chong Wei melebarkan rekod pertemuan antarabangsanya ke atas rakan sepelatih, Muhammad Hafiz Hashim kepada 3-2 selepas mengalahkan rakan sepelatihnya itu 21-17, 21-16, manakala Roslin mengalami nasib yang serupa dengan adiknya, apabila kalah 21-11, 14-21, 16-21 kepada Sairul.

Chong Wei, pilihan pertama kejohanan kini akan menentang pemain Poland, Wacha Przemyslaw pada pusingan kedua hari ini, sementara Sairol menempah pertemuan dengan bekas pemain utama Korea Selatan, Shon Seung Mo.

Bekas pemain utama negara, Choong Hann bagaimanapun menjadi tumpuan utama di Bukit Jalil semalam dengan mencatat kemenangan selesa 21-13, 21-8 ke atas bekas pemain nombor satu dunia, Chen Hong untuk menempah pertemuan dengan pilihan kedua, Bao Chunlai dari China.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN